Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 29 May 2022

Sejarah Ringkas Riwayat Hidup P. Ramlee

Tarikh 29 Mei 1973 P. RAMLEE MENINGGAL DUNIA


Pusara Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh @ Allahyarham P. Ramlee (A.M.N)

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri bersamaan Rabu, 22 Mac 1929.

Bapanya seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho’Seumawe, Acheh telah berkahwin dengan Che Mah binti Hussien pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth.

P. Ramlee telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan seterusnya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.

Semenjak di bangku sekolah lagi, P. Ramlee telah menunjukkan minat dan bakat dalam bidang seni, terutamanya dalam seni muzik.

Di Penang Free, P. Ramlee belajar seni muzik dengan Encik Kamaruddin iaitu pemimpin Brass Band di sekolah tersebut. Semasa pendudukan Jepun di Malaya, P. Ramlee pernah memasuki sekolah tentera laut Jepun (Kaigun). Di sini beliau berpeluang mempelajari lagu-lagu Jepun.

PERMULAAN KERJAYA SENI

Beliau mula bermain peralatan muzik yang bernama ukulele dan akhirnya beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin yang merupakan seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Beliau juga pernah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara bagi pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan nama "P. Ramlee" itu kekal hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. 

Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. 

Filem terakhir lakonan beliau ialah Laksamana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.


Berkongsi Artikel  Hari P. Ramlee Meninggalkan Studio MFP


PERKAHWINAN

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada tahun 1954. Perkahwinan kedua beliau adalah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. 

Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1961. Kali terakhir adalah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Norizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. 

Walau bagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

ANAK-ANAK

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). 

Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau :
  1. Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  2. Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
  3. Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
  4. Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
  5. Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
  6. Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
  7. Betty : Anak angkat
  8. Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
  9. Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
  10. Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)
MENINGGAL DUNIA

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa yang bertarikh 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung semasa mahu tiba di Hospital Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 

Al-Fatihah dibaca. Aamiin.

Sumber dan gambar penuh di sini :-


-------------------------------------------------------------------------------------




SEJARAH FILEM : "HARI INI DALAM SEJARAH" P. RAMLEE MENINGGAL DUNIA.

29 Mei 1973 merupakan suatu tarikh keramat bagi semua peminat seni tanah air. Dimana kita telah kehilangan seorang lagenda seni yang tiada galang gantinya lagi. 

Pemergian Almarhum disifatkan sebagai suatu kehilangan yang besar bagi industri perfileman tanah air. Walaupun begitu, karya seni Almarhum akan terus hidup sepanjang zaman dalam mewarnai dunia seni. 

Filem-filem Almarhum akan terus ditonton oleh setiap lapisan masyarakat dari generasi ke generasi. Nasihat, sindiran dan kritikan masyarakat yang ada didalam filem Almarhum samada tersurat mahupun tersirat akan terus diambil, digali dan dibedah untuk dijadikan ilmu serta pengajaran. 

Al Fatihah untuk Allahyarham Tan Sri P.Ramlee semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat. Aamiin.

#SejarahFilemBraderFilem


-----------------------------------------------------------------------------------------------


Gambar daripada sumber New Straits Times

Alfatehah..Aamiin.Mengingati Hari Pemergian P.Ramlee

29/5/1973 …. Arwah Daddy telah tiada lagi bersama Mama dan kami di 22, Jalan Dedap Setapak. Saya juga pada masa itu di Singapura baru saja sampai pada tanggal 28/5/1973. Arwah Daddy berhasil memujuk saya menjenguk nenek di sana.

Ya 29/5 /1973 hari yang membawa kesedihan kepada kami sekeluarga dan juga kepada semua yang menyayangi daddy.

Setelah mendapat berita itu saya terus menaiki pesawat balik ke Kuala Lumpur.

Sampai saja terlihat Mama yang tenang dengan menahan perasaan menenangkan saudara mara rakan rakan dan semua yang hadir. Ada yang bergolek meraung tapi Mama tetap tenang.

Di perkarangan  kawasan Perkuburan Ampang di banjiri ramai yang mendoakan pemergian Daddy
Selesai upacara kebumian Mama masih kelihatan kuat sampai di rumah Mama dengan pertolongan Ramli Kecik  untuk khidmat kumpulan Tahlil buat Arwah Daddy.

Yang kerap diadakan selepas hari bersejarah itu.

Malam itu dan malam-malam berikut Mama memberitahu kami semua yang beliau tidak akan tidur di bilik tidur tapi tidur ruang tamu dan saya menemani Mama. Ingat lagi …. Kedengaran motosikal  Mama buka pintu mengambil berapa berapa naskah suratkhabar yang biasa di hantar ke rumah Mama duduk di depan pintu… kedengaran suara Mama menyanyi ‘Di manakan ku Cari Ganti’  tetapi Mama tidak dapat menahan perasaan lalu menangis buat kali pertama selepas hari Daddy meninggalkan Mama dan kami.

Hari hari berikut tidak sama saperti ada nya Arwah Daddy. Mama selalu bersedih.

Mama akan menziarahi kubur setiap hari. Mama sering mendapat panggilan dari suara mirip suara Arwah Daddy yang sedikit sebanyak menggangu perasaan Mama. Mama tidak dapat menahan perasaan bila mendengar lagu-lagu selalu akan menangis. Tidak lama kemudian Mama di undang  ke RTM  untuk membuat persembahan Lagu Arwah Daddy sebuah rancangan Hiburan…. masa di bilik rakaman  mama tidak dapat nyanyi tidak dapat masuk Que, saya berada di luar cermin bilik rakaman mengharap dapat menguatkan semangat Mama setelah berapa kali percubaan. Alhamdulillah  

Mama dapat menyanyi kembali dan selepas itu kehidupan mama sebagai Penyanyi kembali saperti dulu cuma perasaan kehilangan dan merindui Arwah Daddy wujud setiap hari hingga meninggalkan kami buat selama lama nya. Aamin.

Shashah Hamid

[Anak Seniwati Mariani Ismail]


Al-Fatihah dibaca buat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dari Allah s.w.t. dan ditempatkan bersama-sama dengan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Aamiin 🤲

29 Mei 1973 Pemergian Allahyarham P. Ramlee buat selamanya


Bacaan sepenuhnya di sini :-


25 April 1983 Seniwati Lagenda Puan Sri Saloma Meninggal Dunia


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...