17 Ogos 1606 – Satu pertempuran di antara kapal-kapal angkatan perang Belanda dengan kapal-kapal angkatan perang Portugis telah berlaku di pelabuhan Melaka pada tahun 1606. Dalam pertempuran Belanda-Portugis di Pelabuhan Melaka ini telah berlaku tembak-menembak dengan meriam dari kapal masing-masing dan kedua-dua pihak telah kehilangan dua buah kapal.
Walaupun pihak Belanda yang diketuai oleh Admiral Matelief telah berjaya dalam pertempuran itu, mereka telah meninggalkan pelabuhan Melaka seminggu kemudiannya kerana gagal mengalahkan orang-orang Portugis di Kota Melaka. Pertempuran ini adalah ekoran daripada serangan askar-askar Belanda ke atas askar-askar Portugis yang bertahan di Kota Melaka sebelum itu.
Dalam serangan ini askar-askar Johor telah membantu orang-orang Belanda mengikut syarat-syarat dalam perjanjlan yang telah dibuat oleh Raja Abdullah dengan Belanda. Selama Admiral Matelief mengepung dan menyerang Kota Melaka, orang-orang Portugis yang bertahan dalam kota itu terpaksa menanggung penderitaan, terutamanya kekurangan bekalan makanan.
Tetapi orang-orang Portugis tetap melawan dengan gigihnya sehingga askar-askar Belanda dan Johor itu telah gagal menembusi Kota Melaka, padahal kampung-kampung dan tempat-tempat di luar kota di sekitar bandar Melaka telah dikuasai oleh pihak Belanda dan Johor.
Bagaimanapun pada 17 Ogos, sebuah angkatan perang Portugis yang besar yang mengandungi empat belas buah kapal perang besar dan sebanyak itu pula kapal-kapal kecil dari Goa telah sampai ke pelabuhan Melaka untuk membantu mempertahankan Melaka.
Askar-askar Belanda pula yang telah menunggu di sekeliling Kota Melaka sekian lama itu telah balik semula ke kapal-kapal mereka dengan membawa meriam-meriam serta alat-alat senjata mereka. Kedua-dua pihak itu terus bertembung dan berlakulah pertempuran sengit pada hari ini dalam tahun 1606 di pelabuhan Melaka.
#hariinidalamsejarah
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
15 OGOS 1587 PERANG DI KOTA BATU
Peristiwa Portugis Menyerang Balas Kerajaan Johor Lama di Negeri Johor
No comments:
Post a Comment