Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Tuesday 30 August 2022

IKON PATRIOTISME BIDANG SENI

Arkib : 25 Ogos 2018

SUDIRMAN IKON PATRIOTISME BIDANG SENI

Oleh : Rozdan Mazalan
Diterbitkan : 25 Ogos 2018 @ 11:00am
Sumber : Berita Harian

TIDAK sempurna andainya sambutan Hari Kebangsaan negara jika tidak ditiupkan semangat menerusi lagu keramat, Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Lagu yang menjadi nyanyian wajib tema kemerdekaan sejak mula diperdengarkan pada 1982 menerusi album Abadi, sudah cukup sebati dalam jiwa pendengar hingga kini.

Nescaya, hingga hari ini walaupun kita sudah melalui pelbagai revolusi muzik mengikut perubahan masa dan zaman, tiada lagi lagu lain yang mampu mengubah rasa semangat kecintaan terhadap tanah tumpah darah kita menerusi lagu berkenaan.

Lagu patriotik ciptaan dan nyanyian asal penyanyi kelahiran Medan, Indonesia, Ahmad Chass Barra (Ahmad CB) itu dipopularkan semula dengan nyanyian menerusi gaya penyampaian yang kreatif serta gubahan semula lebih rancak oleh penghibur nombor satu Asia itu.

Memang ia amat sesuai dengan cita rasa sepanjang masa dan terus melekat dalam ingatan masyarakat, tidak kira pelbagai latar keturunan, kaum mahupun peringkat umur di negara ini turut meminatinya.

Sudirman mengeksperimentasi dunia seninya dengan melangkaui warna kulit dan ras, tetapi mendekati, mendalami dan menjiwai makna falsafah nasionalisme yang diterjemahkan melalui lagunya yang lain.

Antaranya Warisan, Anak Gembala, Di Bumi Bertuah, Anak Dagang, Aku Budak Kampung, Gerimis Di Lautan, Aku Penganggur, Apa Khabar Orang Kampung dan Anak Dunia bagi membentuk perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Malah, kekuatan jati diri berlandaskan patriotisme yang kental terletak pada Sudirman menerusi lagunya itu jelas memaparkan manifestasi jiwa dan sanubari Sudirman yang kuat pada elemen anak watan, bumi tanah tumpah darahnya yang harus dibanggakan.

Menerusi album Abadi itu juga, Sudirman menyelitkan beberapa lagi lagu patriotik. Antaranya 8 Ke 4 ¼ (Punch Card), Kehadiranku dan Tegakkan Bendera Kita.

Sudirman tampil dengan imej nyanyian Melayu yang boleh diterima ramai bangsa lain, terutama masyarakat India, Cina, Sikh serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bukan sekadar omong kosong, tetapi sudah dibuktikan oleh anak jati dari Temerloh, Pahang itu dalam menyatukan semua kaum, khususnya golongan bawahan ketika menganjurkan konsert jalanan secara percuma pada 1986.

Konsert berkenaan dihadiri lebih 100,000 penonton dari pelbagai kaum, meskipun di ruangan sempit dikelilingi bangunan kedai di Jalan Chow Kit.

Kejayaan konsert itu tersimpan kemas di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketika itu, Melayu, Cina, India dan kaum minoriti lain berasak-asak, saling berlaga bahu, malah bersatu dengan satu tujuan melihat, menghayati dan berkongsi rasa daripada penghibur nombor satu Asia itu.

Sudirman memahami konsert umumnya, termasuk persembahan di kaca TV, beliau tidak pernah mengabaikan ruang untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin dan Tamil, selain lagu Inggeris.

Patriotik Sudirman ini terserlah menerusi semangat untuk menyatukan pelbagai kaum menerusi kerja seni suaranya.

Ia dapat dilihat pada setiap persembahan dititipkan pesanan supaya peminatnya cintakan negara dan mengajak saling menghormati serta menyuburkan rasa harmoni sesama insan.

Ia diakui sendiri kakaknya, Datin Rudiah Hj. Arshad yang dipetik daripada satu akhbar tempatan pernah berkata: “Sudirman tak melihat warna kulit atau agama. Dia ikhlas, rendah diri dan sentiasa peramah. Peminat dia terdiri dari Melayu, Cina, India, Sikh dan semua jenis bangsa. Mereka semua nak tengok mamat yang ketinggian lima kaki ini. Itu je,” katanya.

Sudirman juga memperjuangkan irama yang berteraskan warisan tradisi muzik Melayu seperti lagu Seri Langkat, duetnya bersama Zaleha Hamid, selain Mak Inang Melayu duet dengan Sharifah Aini serta lagu lain seperti Joget Kenangan Manis dan Anak Dagang.

Semangat patriotisme yang dimiliki Sudirman itu barangkali diwarisi dan mengalir dari darah sama, iaitu keluarganya kerana bapa dan ibunya ialah pejuang bangsa menerusi platform politik Melayu.

Difahamkan menurut kisah keluarganya, nama Sudirman yang diberikan itu diambil bersempena nama seorang tokoh perajurit terkenal pada era kemerdekaan Indonesia, Panglima Tentera Indonesia, Jeneral Sudirman.

Selain itu, Sudirman satu-satunya insan seni yang cukup kreatif, lihat sahajalah penampilannya yang unik dan sentiasa mengejutkan peminat setiap kali tampil di pentas persembahannya.

Beliau sentiasa mencari kelainan malah ramai yang terkejut apabila anak jati negara pertama tampil mengenakan pakaian yang diperbuat daripada bendera Malaysia.

Lebih mengejutkan ketika kemunculannya di padang balapan Stadium Merdeka bersempena Majlis Penutupan Sukan SEA 1989, sekali gus sambutan bulan kemerdekaan ke-32, beliau tampil dengan mengenakan pakaian bendera Malaysia sepanjang 120 meter untuk persembahannya.

Malah, bendera yang memerlukan 100 pengiring untuk mengiringinya masuk hingga pentas utama stadium itu ialah ideanya sendiri dan beliau sanggup mengeluarkan wang sendiri tanpa mengharapkan penajaan, demi tanah airnya sendiri.

Perekanya, Den Wahab berkata, Allahyarham sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menghasilkan pakaian itu yang mencecah hampir RM20,000.

Sikap itu membuktikan betapa kental dan kuat semangat patriotik dalam diri Sudirman.

Pada mulanya, Den menyatakan beliau menolak tawaran arwah kerana tidak sanggup untuk mengalas amanah itu kerana kekurangan masa.

Namun, disebabkan budi pekertinya yang sangat baik dan ikhlas, saya tewas lalu menerimanya untuk buat yang terbaik,” katanya.

Seperti yang dimaksudkan dalam lagunya, fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan lagu Warisan itu. Semangat pejuang kemerdekaan dulu diambil dan diterjemahkan dengan cara sendiri.

Generasi anak seni hari ini dilihat tidak mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam menyambung warisan semangat yang ditinggalkan beliau bagi melihat Malaysia bersatu dan hidup dalam harmoninya.

Meskipun sudah 26 tahun (2018) meninggalkan kita pada usianya yang masih muda, iaitu 37 tahun akibat pneumonia (radang paru-paru), namun jika kerajaan lalu tidak melakukan sesuatu untuk menunjukkan tanda penghargaan yang boleh memberi inspirasi kepada generasi hari ini, kerajaan sekarang haruslah mengiktiraf beliau sebagai ikon nasionalisme.


Nota Tambahan :-

SUDIRMAN - KENALI MALAYSIA, CINTAI MALAYSIA & KOTA MELAKA KOTA BERSEJARAH

Sempena Sambutan Hari Malaysia tahun 2022 dikongsikan lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad berjudul KENALI MALAYSIA, CINTAI MALAYSIA dan lagu KOTA MELAKA KOTA BERSEJARAH kerana sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan tahun ini disambut di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir Melaka.

Pada tahun 1986, Tourism Malaysia melantik Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sebagai ''Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia''. Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, Allahyarham Sudirman telah mempopularkan lagu ''Kenali Malaysia, Cintai Malaysia'' (To Know Malaysia is to Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia ketika itu.

Lagu "Kota Melaka Kota Bersejarah" pula adalah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sendiri sempena Konsert percumanya tajaan SUDI Sdn. Bhd. yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada 09 Mac 1991 dan ditujukan buat rakyat negeri Melaka yang menyokong kerjaya seninya.



Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

HARI RAYA HAJI INGATAN SAYA


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...