Hari ini 121 tahun yang lalu, Pelabuhan Swettenham di Klang dibuka.
Pada 1880, ibu negeri Selangor dipindahkan dari Klang ke Kuala Lumpur. Begitupun, Klang kekal sebagai wilayah yang sibuk di mana pertebingan sungainya menjadi tumpuan kapal-kapal dagang dari sekitar Negeri-Negeri Selat berlabuh.
Pada September 1882, Frank Swettenham dilantik sebagai Residen British Selangor ke-3 & menggerakkan pembinaan laluan kereta api Klang-Kuala Lumpur sebagai penyelesaian masalah pengangkutan terutamanya buat kepentingan bisnes bijih timah.
Rel sepanjang hampir 20km dari Kuala Lumpur ke Klang yang siap pada 1890 melancarkan & merancakkan lagi bisnes bijih timah di Selangor, namun jeti-jeti sedia ada di pertebingan Sungai Klang tidak membenarkan kapal-kapal besar untuk berlabuh.
Selepas beberapa cadangan dikemuka, Kuala Kelang dipilih untuk membina sebuah pelabuhan di kawasan pantai. Di samping dermaga, sekitarnya dibina gudang-gudang & stesen kereta api untuk memudahkan pengalihan barang dagang ke kapal.
Dibina & diuruskan oleh Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu, ia mengambil masa 15 tahun untuk siap & dibuka pada 15 September 1901, diberi nama Pelabuhan Swettenham sempena Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama itu.
Port Swettenham menjadi pelabuhan terpenting untuk British di Tanah Melayu selepas Singapura & Pulau Pinang. Selepas Tanah Melayu merdeka, pelabuhan ini terus memainkan peranan besarnya sebagai gerbang perdagangan utama di semenanjung.
Pada Julai 1963, kerajaan persekutuan mengasaskan Pentadbiran Pelabuhan Swettenham untuk mengambil alih pengurusannya dari Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu. Pada Julai 1972, namanya ditukar menjadi Pelabuhan Klang.
Hari ini, Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan terbesar di Malaysia & antara pelabuhan kontena tersibuk di dunia, menjalin hubungan dagang dengan lebih 120 negara serta berurusan dengan lebih 500 pelabuhan di seluruh dunia.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Mon bin Jamaluddin: A History of Port Swettenham (Malaysia Publications Ltd., 1965)
#PeristiwaHariIni
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment