Pada hari ini dalam tahun 1968, Akuarium Tunku Abdul Rahman di Pulau Pinang, dirasmikan oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Akuarium ini dibina bertujuan mewujudkan satu pusat penyelidikan yang lengkap bagi aktiviti-aktiviti perusahaan perikanan di samping mempamerkan berbagai jenis ikan dan hidupan air serta pameran barangan yang berkaitan dengan perusahan perikanan.
Pengurusan akuarium ini diletakkan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Bahagian Perikanan, Kementerian Pertanian Malaysia, Pulau Pinang. Akuarium tersebut terbahagi kepada bahagian pameran, bahagian muzium dan bahagian penyelidikan. Buat permulaan akuarium ini mempamerkan sebanyak 64 jenis ikan air tawar dan 34 jenis ikan air masin serta beberapa jenis ikan yang dibawa dari benua Afrika. Dengan perasmian akuarium ini, penyelidikan mengenai perusahaan perikanan dapat dijalankan dalam usaha memperluas dan memajukan industri perikanan di negara ini.
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment