Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 29 October 2022

29 OKTOBER 1883 SEJARAH KUALA KUBU DI SELANGOR

 

29 Oktober 1883 – Pada tahun 1883, banjir besar telah berlaku di Sungai Selangor. Banjir ini telah menyebabkan Empangan Kuala Kubu pecah lalu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu. Peristiwa penting ini dicatatkan dalam sejarah kerana bertolak dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang.

Empangan ini terletak dekat Kampung Asam Lenggong sekarang dikenali sebagai Kampung Ampang Pecah kira-kira 2.4 km dari pekan Kuala Kubu. Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. la dibuat dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor. Daerah Kuala Kubu sering dilanda hujan. Ini menyebabkan kerap berlaku bah di Sungai Selangor.

Sungai ini pula menjadi cetek oleh takungan tanah dan pasir yang mengalir akibat hujan dan kegiatan melombong di bahagian hulu sungai. Lama-kelamaan Sungai Selangor menjadi sebak dan apabila hujan lebat turun dan sungai ini banjir, empangannya tidak berdaya lagi membendung arus air yang deras, lalu roboh dan menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Kejadian ini telah mengorbankan nyawa dan harta benda. Seramai 33 orang termasuk Cecil Ranking, Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di daerah itu telah terkorban manakala 38 buah rumah hanyut. Satu-satunya mata pencarian penduduk kawasan itu iaitu mendulang bijih timah juga turut terjejas.

Tragedi pecahnya Empangan Kuala Kubu ini juga dikenali sebagai ‘Sejarah Kuala Kubu’. Akibat dari kejadian ini, Kuala Kubu sebagai sebuah mukim, pekan dan pusat pentadbiran jajahan Hulu Selangor tidak lagi wujud dalam sejarah. Pusat tersebut dipindahkan ke Rasa buat sementara.

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah ini juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874.

Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal dalam kenangan. Kini Kuala Kubu Bharu ini terkenal dengan pusat latihan yang penting di Malaysia seperti Maktab Latihan Bomba Malaysia, Maktab Polis Diraja Malaysia dan Pusat Latihan Belia Negara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

30 JUN 1930 EMPANGAN CHENDEROH


https://normanhafizi.blogspot.com/2022/08/30-jun-1930-empangan-chenderoh.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...