Pada hari ini dalam tahun 1922, satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Kastam telah ditandatangani oleh Putera Purachatra, Ketua Pesuruhjaya Keretapi Negeri Siam yang mewakili kerajaan Baginda Raja Siam dan Sir Lawrence Nunns Guillemard. Pesuruhjaya Tinggi Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu yang tidak Bersekutu. Perjanjian ini telah memudahkan lagi segala kerja yang berkaitan dengan soal pengangkutan keretapi di antara kedua-dua kerajaan. Kedua-dua kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan undang-undang kastam seperti tercatat di dalam perjanjian ini. Perjanjian Kastam yang dipersetujui ini di antara lain menyebutkan :-
- Undang-undang Kastam hendaklah dilaksanakan serentak di kedua-dua negara.
- Sempadan-sempadan kawasan ditetapkan dengan mengadakan pagar-pagar dan pintu pagar pula disediakan untuk urusan keluar masuk seperti yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan Kastam kedua-dua-kerajaan. Belanja untuk membina pagar dan pintunya akan dibiayai bersama.
- Pegawai dan kakitangan Kastam yang bertugas di Pusat Kawalan Bersama dibenarkan memakai pakaian seragam masing-masing dan tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata kecuali semasa bertugas di waktu malam. Kastam kedua-dua kerajaan dikehendaki bekerjasama dan memberi bantuan jika diperlukan. Kesemua pejabat kastam dan pusat-pusal kawalan bersama adalah disediakan oleh Jabatan Keretapi Negeri di mana Pusat Kawalan Bersama itu terletak.
- Pemeriksaan ke atas barang-barang yang dibawa oleh keretapi dibuat oleh pihak Kastam mengikut arah matlamat keretapi di mana pemeriksaan dilakukan di dalam keretapi yang masuk ke dalam negeri masing-masing. Pemeriksaan ke atas keretapi penumpang telah dipersetujui akan dijalankan sekali sahaja oleh satu-satu pihak.
- Dari segi penangkapan dan pendakwaan ia adalah kuasa bersama bergantung di tempat di mana satu-satu kesalahan itu dilakukan. Pendakwaan akan dijalankan di mahkamah di dalam negeri di mana kesalahan itu berlaku.
- Jabatan Keretapi Negeri Siam dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dikehendaki mengambil beberapa langkah seperti menentukan semua barang-barang penumpang dan barang-barang serta surat yang dibawa antara satu negeri ke satu negeri melalui Pusat Kawalan Bersama atau melalui pintu yang dikhaskan.
Kedua-dua pihak bersetuju perjanjian ini berkuatkuasa selama sepuluh tahun bermula dari tarikh ini. Selepas tempoh itu ia hanya sah dari setahun ke setahun sehinggalah salah satu pihak bercadang membatalkannya.
#hariinidalamsejarah
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
22 OKTOBER 1934 AKTA KASTAM & EKSAIS DIWARTAKAN
https://normanhafizi.blogspot.com/2022/10/22-oktober-1934-akta-kastam-eksais.html
No comments:
Post a Comment