8 November 1873 – Pada tahun 1873, Tengku Dhiauddin ibni AI-Marhum Sultan Zainal Abidin Halim Shah, yang juga dikenali dengan nama Tengku Kudin menawan Kuala Selangor setelah berjaya menewaskan Raja Mahadi dan menawan Kuala Selangor, kubu pertahanan Raja Mahadi. Peristiwa ini berlaku semasa Perang Saudara di Selangor antara tahun 1867-1874. Kejayaan Tengku Kudin di Kuala Selangor ini merupakan peristiwa penting yang menjadi titik-tolak membawa kepada campur tangan Inggeris di negeri Selangor.
Perang Saudara di Selangor pada mulanya adalah berpunca dari persengketaan antara penyokong-penyokong Raja Mahadi dengan pengikut serta keluarga Raja Abdullah. Perselisihan berlaku akibat masalah kutipan cukai dan perebutan jawatan Orang Besar Kelang. Raja Mahadi telah berjaya menewaskan Raja Abdullah dalam pertentangan ini dan sekaligus menguasai daerah-daerah yang dikuasai oleh Raja Abdullah sebelumnya iaitu Kuala Lumpur, Ampang, Petaling dan Kanching. Biarpun telah berkuasa, Raja Mahadi terus mendapat tentangan dari musuh-musuhnya dan ini menjadikan keadaan buruk di Selangor terus berlanjutan.
Sultan Abdul Samad, yang memerintah Selangor pada masa itu tidak berdaya untuk menyelesaikan masalah itu lalu melantik menantu baginda, Tengku Kudin, untuk menyelesaikannya. Pelantikan ini telah menjadikan suasana Perang Saudara di Selangor kini bertukar dari perlawanan antara pengikut-pengikut Raja Mahadi dengan Raja Abdullah kepada pertentangan antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin.
Tengku Kudin, yang telah dilantik menjadi Yamtuan Selangor telah menggunakan kuasanya untuk melemahkan kedudukan Raja Mahadi di kawasan-kawasan yang dikuasainya. Dengan bantuan pengikut- pengikutnya yang dibawa dari Kedah dan hubungan baiknya dengan Inggeris, Tengku Kudin telah berjaya mengusir Raja Mahadi menyebabkan Raja Mahadi terpaksa berundur ke Kuala Selangor pada tahun 1870.
Kuala Selangor menjadi kubu pertahanan terpenting bagi Raja Mahadi. Daerah ini dijadikan sebagai ibu negeri dan dari sinilah Raja Mahadi dengan dibantu oleh Raja Hitam, Raja Ali, Syed Masahor dan Chong-Chong mengatur gerakan menguasai kawasan-kawasan pedalaman di negeri Selangor. Tengku Kudin pula telah mengumpul pengikut-pengikutnya dari Kedah dan mendapat kerjasama dari Inggeris.
Inggeris menggunakan kesempatan dari hubungan baiknya dengan Tengku Kudin untuk mencampuri urusan di Selangor. Dalam bulan Julai 1879, kapal perang Inggeris ‘Rinaldo’ telah mendarat di Kuala Selangor dan dari kapal inilah Kuala Selangor dibedil menyebabkan Raja Mahadi dan orang-orangnya terpaksa berundur.
Bagaimanapun tidak lama kemudian Raja Mahadi dapat menawan semula Kuala Selangor. Kali ini Raja Mahadi mendapat sokongan dari anak-anak raja dan pembesar Selangor yang lain. Namun begitu kekuatan Raja Mahadi tidak mampu menentang kekuatan angkatan Tengku Kudin yang disertai juga oleh bantuan dari Pahang, Inggeris dan askar upahan.
Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1873, Tengku Kudin berjaya menawan Kuala Selangor kembali dan bertolak dari sini, bermulalah siri campurtangan Inggeris di negeri Selangor sehinggalah wujudnya pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu pada tahun 1874.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment