Pada hari ini dalam tahun 1964, Tuanku Yahya Putra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim telah merasmikan pembukaan Bangunan Persekutuan di Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir ketika majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Menteri Penerangan dan Penyiaran, Encik Senu Abdul Rahman dan Menteri Besar Kelantan, Encik Mohd Asri bin Hj. Muda.
Bangunan bernilai RM1.2 juta itu mengandungi tiga blok bangunan setinggi tiga tingkat. Bangunan tersebut telah siap dibina pada bulan September dan menempatkan tujuh buah Jabatan Kerajaan Persekutuan iaitu Pejabat Buroh, Pejabat Pelajaran, Pejabat Geologi, Syarikat Kerjasama, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Audit dan Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya. Tujuan pembinaan Pejabat Kerajaan Persekutuan tersebut adalah untuk memudahkan Kerajaan Negeri dan orang ramai berurusan dengan kerajaan pusat berhubung perkara-perkara di bawah pengurusannya.
Di samping itu dengan adanya bangunan tersebut akan memudahkan kerajaan pusat menjalankan tanggungjawab untuk memajukan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat Kelantan. Sesungguhnya, pembukaan bangunan Persekutuan Kota Bharu telah menunjukkan keazaman kerajaan pusat di dalam membangunkan negeri-negeri Pantai Timur, khususnya negeri Kelantan.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment