KEJATUHAN KERAJAAN PATANI
Kerajaan Patani jatuh ke tangan Kerajaan Siam (11/11/1785) setelah mereka bermati-matian berperang mempertahankan tanah air mereka. Peristiwa ini terjadi selepas satu perutusan telah dihantar oleh Raja Muda Siam ke Patani agar tunduk tanpa perang pada Siam dengan alasan Patani tidak menghulurkan bantuan kepada Siam pada tahun 1776. Sultan Muhammad telah bermesyuarat dengan para pembesar mengenai perutusan itu. Keputusan telah diambil yang mana Patani bersedia untuk berperang jika Siam meneruskan niat meneruskan niat menakluk dan menghapuskan kedaulatan Islam di Patani.
Rakyat Patani telah dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama berkawal di kubu-kubu di tepi pantai untuk menahan serangan Siam dari arah laut. Pasukan kedua pula berkawal sekitar Istana Kota Chabang Tiga. Dua meriam kebanggaan Patani iaitu Seri Patani dan Seri Nagara telah dikeluarkan.
Patani telah dikhianati oleh pembesar yang bernama Nai Chan Tung yang berasal dari Ligor. Beliau bersama-sama rakan-rakanya telah ke Patani dan telah banyak melakukan jasa dan bakti hingga mendapat kepercayaan Sultan Muhammad dan telah dilantik menjadi pembesar negeri. Di ambang serangan Siam, Nai Chan Tung ini telah merencana pakatan jahat untuk menumbangkan Patani.
Nai Chan Tung telah mengadap Sultan Muhammad dalam keadaan tergopoh gapah untuk memberitahu kepada Sultan bahawa Siam telah tiba di Kuala Patani. Beliau telah menzahirkan kebimbangan akan serangan Siam dan berjanji beliau dan rakan-rakannya sanggup berperang mempertahankan Patani. Beliau telah memohon supaya dilantik sebagai Ketua pasukan tentera Patani yang berkubu di kawasan pantai. Sultan Muhammad telah memperkenankan permintaan itu tanpa syak wasangka dan juga telah mengurniakan sebuah perahu besar lima hasta beserta kelengkapan senjata dan meriam.
Menjelang malam, Nai Chan Tung berlayar ke tempat kapal Siam berlabuh dan bertemu dengan ketua angkatan tentera Siam, Phraya Kalahum dan mendedahkan rahsia pertahanan Patani. Setelah itu dia telah melarikan diri ke Singgora. Setelah tiba waktu yang dinantikan, Phraya Kalahum telah melancarkan serangan dengan membedil secara serentak ke arah kubu-kubu pertahanan di pantai Patani. Kerana maklumat pertahanan Patani telah diketahui oleh angkatan Siam, pasukan pertahanan Patani mulai menjadi lemah kerana banyak kubu mereka terkena bedilan Siam.
Gambar : Illustrasi lukisan oleh Hem Wechakul yang menunjukan saat tentara kerajaan Siam (Thailand) di bawah komandan Panglima 'Phraya Kalahum' menyeretkan meriam Sri Patani sebagai rampasan perang.
Akhirnya Siam telah mendarat di pantai Patani dan mula mara ke arah istana
Rakyat Patani menentang dengan hebat akan pendaratan askar Siam itu. Sultan Muhammad sendiri telah turun ke medan perang dan mencatur pergerakan angkatan tenteranya. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara berjaya meredakan kemaraan pasukan Siam. Peperangan ini berlangsung selama beberapa hari hingga Siam berjaya mara menghampiri pasukan pertahanan kota.
Pertarungan sengit ini juga membuatkan Sultan Muhammad sendiri mengangkat senjata dan bertempur dengan musuh. Pasukan Siam telah menggunakan meriam ketika pertempuran darat ini dan ditakdirkan Sultan Muhammad telah terkena tembakan meriam dan syahid di hadapan rakyatnya sendiri. Ekoran dari itu, angkatan Patani telah bertambah lemah dan berpecah hingga akhirnya Kota Cabang Tiga berjaya ditawan Siam.
Tentera Siam bermaharaja lela selama sebulan di Patani dengan menangkap dan membunuh siapa sahaja lelaki, perempuan, kanak-kanak hatta orang tua. Semua harta benda rakyat Patani telah dirampas dan Kota Cabang Tiga telah dibakar hingga menjadi arang. Seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan di bawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan.
*Sumber : Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan
Gambar : Majlis Hol memperingati serangan Siam yang diadakan di Patani oleh Warisan Sejarah Patani_By PSP Salasilah Patani - ประวัติศาสตร์มลายูปาตานี
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
06 Mac 1902 : Sultan Patani Yang Terakhir
https://normanhafizi.blogspot.com/2022/03/06-mac-1902-sultan-patani-yang-terakhir.html
No comments:
Post a Comment