Arkib : 20 Oktober 2021
Sambutan Haul Perang Musuh Bisik
Dalam tempoh tak sampai sebulan lagi kita akan sambut hari kejatuhan Kedah di dalam Perang Musuh Bisik yang berlaku pada tahun 1821. Di dalam tempoh ini juga saya rasa tak senang duduk jika tak meluahkan perasaan yang terbuku di hati usai selama ini banyak dapatan baru yang saya jumpa bersama ahli-ahli Gerila Sejarah yang saya tubuhkan tahun lalu.
Alhamdulillah, walaupun gerila sejarah ini tidaklah sekuat dan terkenal seperti kumpulan sejarah dan warisan lain tetapi bagi saya depa tetap memberi impak kepada masyarakat utara bahawa masih ada lagi generasi muda yang masih menyayangi sejarah warisan bangsa Melayu yang semakin terhakis.
Bercerita tentang sejarah Perang Musuh Bisik ini, bukan satu perkara yang mudah dan sentiasa mencabar. Yalah, sebagai penggerak komuniti yang tidak terikat ini tidak ada kewangan yang kukuh dan tidak ada bantuan dari sesiapa, semua mereka bergerak atas minat dan atas semangat nenek moyang yang tekorban demi negeri Kedah yang tercinta.
Tetapi di dalam meniti sejarah yang panjang itu sedar atau tidak, Kedah kehilangan wilayahnya yang begitu luas akibat percaturan British dan Siam yang melihat betapa gagah dan kuatnya semangat orang-orang Kedah melawan penjajahan dan penaklukan.
Walaupun tiga kali (3x) pasukan Kedah dikalahkan di Kuala Kedah tetapi hakikatnya Kedah menang di dalam peperangan menentang pendudukan Siam di mana Rama III sendiri mengakui bahawa Kedah adalah satu-satunya negeri yang berjaya mencalarkan maruah Siam sehingga mereka terpaksa mengadakan perdamaian dengan cara aman. Sedangkan rancangan awal Siam adalah untuk menghapuskan terus Kesultanan Kedah seperti mana yang mereka lakukan di Patani.
Rama III juga kata, orang Kedah tak pernah berputus asa dalam mendapatkan negerinya. Jadi tak hairanlah selama 22 tahun tok moyang kita berperang tanpa putus asa. Dengan bantuan dari negeri Melayu yang lain mereka mara dalam perjuangan jihad.
Seluruh orang Melayu datang ke Kedah tanpa kenal erti politik kenegerian bersama-sama bangun dan berjuang. Sebahagian mereka gugur syahid dan tak kurang pula yang kehilangan anggota badan. Semuanya demi membebaskan negeri Kedah dari Siam.
British juga terkejut dan tak sangka bahawa semangat juang orang Kedah begitu tinggi tetapi mereka tidak membunuh orang sesuka hati dan menyambut musuh mereka dalam keadaan tenang bila mana musuh datang dengan cara aman.
Itulah pengakuan yang di buat oleh Osborn apabila dia bertemu dengan angkatan Tunku Abdullah dan Tunku Muhammad Saad. Walaupun British adalah musuh tetapi Osborn mengatakan bahawa ratusan perahu Kedah yang menyambut kedatangannya di riak wajah mereka begitu tenang dan dia langsung tidak berasa takut di bunuh kerana dia yakin musuhnya ini sangat patuh kepada ajaran Islam.
Walaupun begitu dalam tenangnya angkatan Kedah ini, Tunku Abdullah Ibn Sultan Ahmad Tajuddin II berkata kepada Osborn
"Beritahu kompeni bahawa kami anak negeri Kedah telah menawan semula negeri Kedah yang merupakan hak kami. Tiada undang-undang yang dapat memansuhkannya dan selagi kami dapat menghunus pedang dan lembing, kami akan terus mempertahankan warisan nenek moyang kami!"
Atas sebab itulah saya tak pernah putus asa nak angkat balik sejarah ni, biaqlah (biarlah) orang nak kata apa pun, nak benci saya ka, apa ka, saya tak peduli. Oang nak kata apa faedah buat tahlil dan haul ni saya tak kisah. Tok nenek saya siap mati sebab berjuang nak mempertahankan tanah air, kita yang hidup ni dok saja. Harap makan suap segala benda tapi sembang nak pertahankan bangsa.
Al fatihah buat seluruh nenek moyang yang berjuang. Semoga Allah memuliakan mereka. Orang syahid jasadnya mati tetapi mereka tetap hidup. Atas sebab itulah selama 200 tahun semangat depa dok bersama dengan kita kerana ikhlasnya mereka berjuang.
Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi S.A.W. Semoga berkat kasih sayang baginda melimpah ruah buat seluruh waris Perang Musuh Bisik. Amin!.
MHR
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment