Pada hari ini dalam tahun 1984, nama rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM), universiti awam keenam di Malaysia yang terletak di Sintok, Kedah diumumkan oleh YB Datuk Dr. Sulaiman bin Hj. Daud, Menteri Pelajaran di Kementerian Pelajaran, Kuala Lumpur. Menurut YB Datuk Dr. Sulaiman, pemilihan nama universiti itu adalah sesuai kerana ia tidak terikat dengan pengkhususan pertanian, teknologi atau sains. Tambahnya sekiranya universiti itu diberi nama khusus, ia akan menimbulkan kesukaran jika sesuatu kursus yang hendak ditawarkan nanti berlainan dengan nama universiti walaupun pada hakikatnya universiti adalah sebuah badan sejagat. Kampus tetap universiti tersebut dibina di sekolah utara Sungai Sintok, enam batu dari Pekan Changlun dan Kampus sementaranya terletak di Tanjung Pauh berhampiran dengan pekan Jitra.
YB Datuk Dr. Sulaiman berkata, pihaknya tidak menyediakan asrama untuk 300 orang penuntut yang akan diambil kerana kerajaan akan menyewa kira-kira 60 unit rumah tidak jauh dari kampus. Pemilihan tapak sementara di Tanjung Pauh ini didapati sesuai kerana kawasan tapak UUM seluas 24.8 hektar, termasuk di bawah projek pembangunan Kota Darulaman. Diharapkan dengan adanya sebuah lagi universiti di negara ini ia dapat menampung kemasukan pelajar-pelajar bumiputera ke Institut Pengajian Tinggi bagi mencapai hasrat kerajaan meningkatkan jumlah rakyat yang mempunyai pelajaran tinggi demi kesejahteraan dan pembangunan negara.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment