27 November 1955 – Pada tahun 1955, satu perbarisan besar-besaran telah diadakan di Kuala Lumpur. Perbarisan itu bertujuan untuk merayu pengganas komunis supaya menyerah diri secara sukarela dan kerajaan akan mengampunkan mereka. Seramai 12 ribu menyertai Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.
Inilah kali pertama perarakan seperti ini diadakan dalam usaha memujuk anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) supaya bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan semula keamanan dan keharmonian. Perbarisan tersebut merupakan tindakan susulan kepada perisytiharan “Pengampunan Beramai-Ramai Pengganas Komunis” yang diumumkan pada 9 September 1955.
Perisytiharan tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari PKM. Mereka sebaliknya bersikap lebih liar dan mempersoalkan kewibawaan perisytiharan tersebut yang kononnya dibuat oleh mereka yang belum layak dipanggil ‘pemimpin’ kerana Tanah Melayu belum lagi merdeka.
Perisytiharan pengampunan itu mengandungi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan layanan sewajarnya kepada pengganas yang menyerah diri secara sukarela. Kerajaan juga akan memberikan pertimbangan kepada pengganas yang telah bertaubat dan ingin menetap di negara ini. Kepada yang ingin pulang ke negeri masing-masing bantuan akan diberi untuk menguruskan kepulangan mereka.
Dalam pada itu, PKM meningkatkan lagi keganasan mereka dibeberapa kawasan seperti Cameron Highlands, Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga akhir November 1955, hanya 30 sahaja pengganas yang tampil dengan sukarela menyahut perisytiharan itu. Memandangkan keganasan yang kian merebak dan sambutan yang agak dingin terhadap tawaran pengampunan tersebut, maka kerajaan telah memansuhkan perisytiharan pengampunan ini pada 1 Disember 1955.
Perbarisan pengampunan untuk komunis pada hari ini dalam tahun 1955, membuktikan rakyat sedar serta inginkan keamanan serta kehidupan yang sejahtera demi menjamin kemerdekaan Tanah Melayu. Walaubagaimanapun, kedegilan anggota-anggota PKM untuk berkerjasama dengan kerajaan telah menyebabkan pemerintahan darurat di Tanah Melayu berlarutan selama 12 tahun.
Akhirnya pada 31 Julai 1960, Tanah Melayu diisytiharkan pulih dari bencana itu, setelah menanggung kerugian harta benda dan korban jiwa yang tidak ternilai.
#hariinidalamsejarah #arkibnegara
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment