INI BUKAN ULASAN FILEM DARIPADA SAYA
2024年10月4日 - Selesai menonton filem ini, saya fikir ia adalah masterpiece ‘parody’ yang sebenar-benar parodi. Jenuh juga saya fikir mengapa bajet yang hampir 200 million USD ni akhirnya terkehel di beberapa elemen. Mungkin aliran dramanya yang tersekat dan tidak bersinergi dengan momen-momen lagu dinyanyikan, atau mungkin pembinaan watak yang kurang menjadi antara Gaga dan Phoenix seperti yang didambakan peminat DC.
Apa-apa pun saya fikir ia mungkin jenaka yang terbesar tahun ni. Dan kita semua telah tertipu meski tarikhnya melepas 1 April. Konsepnya ada, cuma perlaksanaannya yang kurang jitu menyebabkan kita keluar dari panggung terpinga-pinga tentang itu dan ini.
Walaubagaimanapun, tepat sekali nuansa yang ingin dibawa filem ini dengan pendekatan tentang persoalan identiti ‘The Joker’ seperti yang dibawa oleh Geoff Johns dalam terbitan novel grafik ‘Batman: Three Jokers’. Namun mungkin sebahagian besar penonton tak dapat melihatnya, maka persoalan mereka juga sama seperti persoalan yang dibawa kebanyakan watak babak akhir cerita ini.
“Ketuk, ketuk, siapa tu?”
https://www.facebook.com/share/aYhF3Gb5Za3kiiEV/
P/S : Ada juga yang kaitkan filem baru ini dengan komik Joker : The Killing Joke. Ada juga yang kata watak Joker itu macam satu wabak pandemik yang berlaku di Kota Gotham. Jadi tak pasti yang mana satu bakal jadi seteru Batman sebab tak ada asal usul sebenar watak Joker yang lawan dengan Batman seperti lakonan Mendiang Heath Ledger itu
INI ADALAH ULASAN FILEM DARIPADA SAYA
Tema filem mengenai kesihatan mental adalah sebuah tema filem yang baru selepas diwujudkan tarikh 10 Oktober setiap tahun di seluruh dunia. Perjalanan hidup seorang pesakit mental adalah perjalanan yang penuh ranjau dan berliku apabila mereka sukar untuk membezakan di antara kehidupan realiti dan fantasi.
Filem Joker yang diterbitkan oleh WB Studio pada tahun 2019 yang lalu, telah membuka mata masyarakat dunia betapa pentingnya masalah pesakit mental ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Mereka tidak seharusnya disisihkan kerana mereka sentiasa perlukan bantuan, harapan dan juga sokongan daripada masyarakat sekeliling agar mereka dapat kembali pulih dan hidup seperti manusia biasa dan normal seperti insan lain.
[DISCLAIMER]
Saya tak beberapa minat untuk ulas lebih lanjut lagi tentang aspek-aspek kekurangan dalam filem ini (sekiranya ada) kerana rata-rata penonton yang sudah menonton filem ini sudah mahir tentang isu tersebut. Saya menulis di sini sebab tertarik dengan faktor-faktor seperti :-
- Filem ini adalah sebuah filem mengenai pesakit mental yang sedang dihadapi oleh watak Arthur Fleck.
- Kisah seorang pesakit mental ini boleh dikategorikan sebagai sebuah filem yang berdiri dengan sendirinya walaupun dibayangi suasana sebuah tempat berlatarbelangkankan Kota Metropolitan Gotham.
- Lanjutan daripada kes pembunuhan seorang personaliti televisyen, telah membuatkan Arthur Fleck kini dibicarakan di mahkamah untuk kes bunuh yang berlaku secara siaran langsung di televisyen.
- Perjalanan cerita ini agak perlahan pada permulaan cerita dan latarbelakang suasana diambil hanya di dalam sebuah penjara besar di Arkham Asylum Kota Gotham.
- Perubahan penceritaaan berlaku apabila Arthur Fleck bertemu dengan wanita yang bernama Harley Quinnzel. Di sinilah bermulanya bahagian nyanyian untuk filem ini dan boleh dikategorikan sebagai Filem Muzikal.
- Bagi menghayati penuh filem muzikal ini, perkara yang anda perlu tahu ialah babak nyanyian hanya berlaku apabila melibatkan perasaan romantik di antara Arthur dengan Lee (Harley Quinn), ataupun apabila berlaku pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri Arthur yang kesunyian apabila dia berada di dalam penjara.
- Watak Arthur yang diselubungi dengan identiti lain sebagai Joker ini semakin terserlah apabila dia mengambil keputusan untuk menjadi peguam dan membela dirinya sendiri. Peguambela pada awalnya yang dilantik untuk mewakilinya telah dipecat secara langsung di dalam televisyen. [Spoiler!]
- Arthur mengalami semula krisis keyakinan diri apabila kisah sebenar telah diceritakan oleh Sophie (saksi kes jenayah serta jiran Arthur) mengenai ibu Arthur yang tidak pernah diketahui oleh Arthur sepanjang hidupnya. [Kena tonton babak ini untuk lebih faham].
- Filem ini tidak sesuai untuk penonton yang berminat untuk tonton watak Joker. Akan tetapi sesuai untuk ditonton oleh mereka yang berminat untuk ketahui perjalanan kehidupan Arthur dalam sekuel ini. Pandangan peribadi saya, filem ini telah berjaya mengangkat kisah pesakit mental dan sebenarnya pembikinan filem ini adalah lebih baik daripada yang pertama. Ini adalah kerana filem ini juga mengangkat kisah seorang penjenayah yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Tema untuk mengangkat watak penjahat sebagai ikon ataupun model ikutan tidak sesuai dipaparkan dalam filem ini.
Sebagai penutup, saya berharap agar filem yang berkaitan dengan kesihatan mental ini haruslah diterbitkan bagi mendidik masyarakat tentang pentingnya masalah ini untuk dibendung sejak dari awal supaya tidak menjadi bertambah rumit dan sulit kepada pesakit di kemudian hari.
P/S : Terima kasih sudi baca tulisan saya ini. Oleh kerana pengakhiran cerita ini agak sedih, saya cuma mampu untuk berikan rating sebanyak 8.5/10 (sebab sepatutnya pesakit mental pun berhak untuk mendapatkan kebahagiaan mereka seperti manusia biasa).
Posting lain yang berkaitan di sini : https://normanhafizi.blogspot.com/2021/10/joker-killing-joke.html
JOKER : THE KILLING JOKE
No comments:
Post a Comment