Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 8 September 2026

BIRU MATA HITAMKU


Mana bukti kata sakti kau laungkan..
Mana panji perjuanganmu semalam
Mana kesan cinta agung kau talunkan
Mana teman ingin juga ku saksikan..

Aku damba kebebasan
Biar pahit biar pedih
Biar biru mata hitamku..

Mana pedang sejahtera kau hunuskan
Mana hilang oh ke mana wahai teman

Aku rela menemanmu
Dalam sulit dalam sepi
Andai engkau tak takut mati
Aku rela mengekormu
Dalam ribut dalam kabut
Andai engkau tak jadi kalut..

Mana bukti kata sakti kau laungkan..
Mana panji perjuanganmu semalam
Mana kesan cinta agung kau talunkan
Mana teman ingin juga ku saksikan..

Aku damba kebebasan
Biar pahit biar pedih
Biar biru mata hitamku..

[2 kali]
Aku rela mengekormu
Dalam ribut dalam kabut
Andai engkau tak jadi kalut..

Aku damba kebebasan
Biar pahit biar pedih
Biar biru mata hitamku..

Songwriters : Rosli Khamis @ Loloq


Wings - Biru Mata Hitamku (Official Lyric Video)

Biru Mata Hitamku lyrics © Luncai Emas Sdn Bhd, Universal Music Publishing Group

https://zonelirik.wordpress.com/2013/10/05/amuk-biru-mata-hitamku/

------------------------------------------


BIRU MATA HITAMKU: 30 TAHUN JIWA TERKURUNG

Tiga dekad bukan jarak yang pendek. Dalam tempoh itu, besi boleh berkarat, warna boleh pudar dan ingatan boleh tenggelam ditelan zaman. Namun muzik yang pernah dilahirkan dengan darah, keringat dan jiwa tidak pernah benar-benar mati. Ia cuma tidur, menunggu tangan yang tepat untuk mengejutkannya kembali.

Pada 5 September 2026, Mega Star Arena, Kuala Lumpur bakal menjadi saksi pertemuan semula empat sosok yang pernah membentuk satu babak penting dalam perjalanan rock tanah air. JoBranko, Mus, Eddie dan Black kembali berdiri pada satu paksi menerusi Konsert Biru Mata Hitamku 30 Tahun Anniversary.

Ini bukan sekadar pertemuan empat pemuzik veteran. Ini adalah usaha menggali kembali sebuah kapsul masa yang tertanam sejak 30 tahun lalu.

Menurut JoBranko, persiapan konsert tersebut kini hampir mencapai tahap sempurna. Hanya beberapa sentuhan kecil terhadap tempo, susunan dan perjalanan persembahan perlu diperhalusi sebelum tirai dibuka.

Namun di sebalik keyakinan itu, terdapat perjuangan yang tidak kelihatan di mata penonton.

Lagu-lagu daripada era album Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul dan Mr. Barbarik bukan sekadar perlu dimainkan semula. Setiap nota perlu dikesan, setiap gerakan tangan perlu dipanggil pulang dan setiap memori yang telah lama berhabuk perlu dibersihkan satu persatu.

“Bila kami mula main balik, terus teringat bagaimana kami merakamkannya dahulu. Dulu rasa mudah sahaja, tetapi sekarang kenapa susah pula hendak dimainkan?

“Ada lagu yang sudah 30 tahun kami tidak main. Jadi memang banyak kerja rumah yang perlu dibuat. Kami kena ingat semula bagaimana permainannya dan sesuaikan dengan cara kami bermain sekarang,” kata Eddie.

Black turut mengakui bahawa lagu-lagu tersebut menuntut persediaan fizikal dan teknikal yang bukan sedikit. Apa yang pernah dilakukan ketika usia masih muda kini perlu dicari semula melalui latihan berjam-jam.

Ada bahagian yang dahulu boleh dimainkan seperti bernafas, tetapi kini tangan perlu kembali diajar untuk mengingati jalan pulangnya.

Bagaimanapun, di bawah bimbingan JoBranko selaku pengarah muzik, serpihan-serpihan lama itu akhirnya berjaya disatukan. Sedikit demi sedikit, bunyi yang pernah menggegarkan zaman itu kembali bernafas.

Bukan mahu menjadi muda semula

Konsert ini tidak dibina untuk menjadikan mereka kelihatan seperti anak muda berusia 20-an. Mereka juga tidak mahu menipu usia dengan cuba mengulangi aksi lama secara membuta tuli.

Sebaliknya, lagu-lagu tersebut akan dipersembahkan melalui tubuh, pengalaman dan kematangan mereka pada hari ini, tetapi masih membawa roh dan bara yang sama.

“Kita tidak sepatutnya membuat persembahan seperti ketika umur 20 atau 30 tahun. Kita akan bermain dengan cara kita sekarang, tetapi lagunya sama, moodnya sama dan kita harapkan getaran daripada peminat juga masih sama,” jelas Mus.

Kata-kata itu menjadi gambaran paling tepat terhadap roh konsert ini.

Mereka tidak mahu memutarkan jam ke belakang. Mereka mahu menarik masa lalu keluar daripada bingkainya, kemudian membiarkannya berjalan bersama hari ini.

JoBranko pula menegaskan, mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibuktikan. Nama, perjalanan dan sumbangan masing-masing sudah lama dipahat dalam sejarah muzik tempatan.

“Sejarah itu sudah tertulis. Kita tidak mahu menunjukkan siapa lebih bagus atau siapa lebih hebat. Kita mahu meraikan 30 tahun ini dan menikmatinya bersama peminat,” katanya.

Inilah perbezaan antara persembahan yang mahu menunjuk kehebatan dengan persembahan yang mahu meraikan kehidupan.

Mereka tidak lagi berlumba mengejar takhta. Mereka cuma mahu menghidupkan kembali api yang pernah dinyalakan bersama.

Susunan asal dipertahankan, kejutan tetap menanti

Berbeza dengan persembahan Barbarik yang menyaksikan beberapa lagu diberikan sentuhan lebih moden, JoBranko mahu Konsert Biru Mata Hitamku mengekalkan sebahagian besar susunan asal seperti yang dirakamkan dalam album.

Sekitar 85 hingga 90 peratus susunannya akan berpaut pada versi asal. Hanya bahagian tertentu seperti intro, outro dan beberapa sambungan akan diberikan sentuhan baharu bagi menjadikan perjalanan konsert lebih lancar dan bertenaga.

Keputusan itu dibuat kerana banyak lagu tersebut tidak pernah benar-benar dipersembahkan secara langsung oleh barisan ini selepas album berkenaan diterbitkan.

Khususnya Mr. Barbarik, album yang pernah dianggap terlalu keras dan rumit pada zamannya. Selepas puluhan tahun, karya itu mula ditemukan oleh generasi baharu melalui media sosial sehingga permintaan untuk mendengarnya secara langsung semakin membesar.

Apa yang dahulu dianggap terlalu berat untuk ditelan, kini dicari seperti harta karun yang lama tertimbus.

JoBranko turut menjanjikan sebuah persembahan yang padat tanpa ruang kosong yang meleret. Beberapa lagu akan disambungkan, namun bukan dalam bentuk medley yang hanya mengambil sekerat-sekerat bahagian.

Setiap susunan mempunyai fungsi. Ada ruang untuk Mus menarik nafas, ada ketika Black dan Eddie diberikan peluang berehat, manakala bahagian instrumental pula menjadi jambatan yang membawa penonton daripada satu emosi kepada emosi seterusnya.

Bagi JoBranko, lagu yang baik mesti mempunyai cerita. Intro, solo dan pengakhiran bukan hiasan kosong. Semuanya adalah babak dalam perjalanan sesebuah karya.

‘Lupakanlah’ bakal dilunaskan sepenuhnya

Antara lagu yang paling mencuri perhatian selepas senarai lagu diperlihatkan ialah Lupakanlah.

Lagu itu sebelum ini pernah dipersembahkan hanya sebahagian kecil sehingga menimbulkan gurauan dalam kalangan peminat bahawa mereka telah “kena scam”. Kali ini, JoBranko memberi jaminan hutang tersebut bakal dilunaskan.

“Yang ini versi penuh. Tidak tertipu buat kali kedua. Saya memang suka scam, tetapi scam dengan muzik,” katanya berseloroh.

Nasib Kita juga dijangka menjadi salah satu detik yang mencuri jiwa. Lagu yang memiliki melodi cukup indah itu bakal dipersembahkan bersama penyanyi jemputan, namun identitinya masih disimpan sebagai kejutan.

Rock tidak pernah hidup sepenuhnya di atas kertas. Walaupun setiap nota telah dirancang dan setiap lagu telah disusun, malam persembahan tetap mempunyai nyawanya sendiri.

Menurut JoBranko, keindahan konsert rock terletak pada perkara yang tidak boleh diramal. Tenaga penonton boleh mengubah suasana, reaksi peminat boleh membakar semangat pemuzik dan satu momen spontan mampu menjadi sejarah yang tidak akan berulang.

“Kita sendiri kadang-kadang tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Vibe daripada orang yang datang boleh mengubah mood. Itulah keindahan konsert rock,” katanya.

Biru Mata Hitamku menjadi cermin perjalanan

Apabila diminta memilih sebuah lagu yang paling tepat menggambarkan perjalanan mereka berempat, jawapannya tetap Biru Mata Hitamku.

Lagu tersebut bukan sekadar judul album. Ia membawa kisah perjuangan, tekanan, pengkhianatan dan ketahanan. Ia seperti cermin hitam yang memantulkan segala parut perjalanan mereka.

“Apabila disebut Biru Mata Hitamku, kita terus nampak gambarannya. Album itu juga menjadi satu pergerakan baharu ketika bersama Wings. Semuanya mempunyai cerita,” jelas JoBranko.

Ketika album tersebut dihasilkan, mereka tidak terlalu memikirkan sama ada eksperimen itu akan diterima atau ditolak. JoBranko hanya mahu memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar, termasuk membawa suara tinggi Mus memasuki ruang yang lebih tenang dan santai.

Keberanian untuk bereksperimen itulah yang akhirnya menjadikan karya tersebut terus dibicarakan selepas tiga dekad.

Kritik tajam terhadap lirik zaman sekarang

Dalam pertemuan itu, JoBranko turut melontarkan pandangan tajam mengenai keadaan penulisan lagu masa kini.

Menurutnya, penyanyi yang mampu menulis, mencipta dan menyampaikan lagunya sendiri sememangnya memiliki kelebihan. Namun seseorang penerbit masih diperlukan untuk melihat potensi dari sudut yang mungkin tidak disedari oleh artis tersebut.

Apa yang lebih membimbangkannya ialah mutu lirik yang semakin kehilangan seni.

“Dulu kita panggil seni kata. Kata-kata itu mesti mempunyai seni. Sekarang banyak lirik terlalu terus terang, seperti menulis karangan. Lirik sebenarnya lebih dekat dengan sajak,” katanya.

Pada pandangannya, kekuatan lirik lama terletak pada lapisan makna dan kebolehannya membina gambaran. Sebuah lagu cinta tidak sekadar bercerita tentang merajuk atau ditinggalkan. Ia mampu membuka seluruh dunia dalam kepala pendengar.

Lirik yang kuat boleh menjadikan lagu terus hidup walaupun zaman telah berubah. Melodi mungkin menjadi pintu, tetapi kata-kata ialah rumah yang membuatkan pendengar mahu terus tinggal.

Sejarah tidak diulang, tetapi disambung

Tiket tempat duduk bagi konsert ini sudah habis dijual, meninggalkan kategori berdiri sebagai ruang terakhir buat peminat yang mahu menyaksikan pertemuan bersejarah tersebut.

Namun Biru Mata Hitamku bukan noktah kepada perjalanan mereka.

JoBranko turut membocorkan perancangan sebuah projek lebih besar yang dinamakan Barbarik DNA. Jika segala perancangan menjadi kenyataan, projek itu bakal menemukan muzik Barbarik dengan kekuatan sebuah orkestra besar yang mungkin melibatkan antara 42 hingga 67 pemuzik.

Buat masa ini, segala perhatian tertumpu kepada malam 5 September.

Pada malam itu, empat lelaki yang pernah menulis sejarah bersama akan kembali berdiri di bawah cahaya pentas. Mereka mungkin tidak lagi memiliki tubuh seperti 30 tahun lalu, tetapi tangan mereka masih menyimpan riff yang sama, suara mereka masih membawa luka yang sama dan jiwa mereka masih tahu bagaimana mahu menyalakan sebuah arena.

Konsert Biru Mata Hitamku bukan cubaan menghidupkan mayat nostalgia.

Ia adalah bukti bahawa sejarah rock tidak pernah mati. Ia cuma menunggu masa untuk bangkit, menggenggam gitar dan menjerit kembali ke wajah zaman.

Konsert Biru Mata Hitamku 30 Tahun Anniversary berlangsung pada Sabtu, 5 September 2026, jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Krisis Dipertengahan Hidup
Bangbu Besihitam
Saya Mesti Rajin
Warga bangkit sentiasa dihati
#besihitam #sayamestirajin #birumatahitamku

https://www.facebook.com/share/p/19iwXX1fkn/

---------------------------------------------


Bermula dari Penunggu hingga selesai Keris Tak Bersarung, memang satu hentaman padu Konsert Biru Mata Hitamku. Bunyi yang sedap. Bukan saya saja kata, masyarakat di sekeliling saya kiri kanan juga, kami sependapat walau tak saling kenal.

Saya masih ingat ada seorang lelaki yang hadir bersama isterinya (mungkin) di hadapan kiri saya, sebaik lagu pertama berkumandang dia sekejap sekejap memandang ke arah team jurutera bunyi di belakang saya. Dia memberikan reaksi seakan mengucap tahniah dan berkata bagus dengan isyarat anggukan kepala. Berulang kali perbuatannya itu berlaku. Apabila sedar saya memerhatikannya, dia angguk kepada saya tanda bangga, saya faham dan senyum kepadanya.

Ada adik dari Kelantan yang memperkenalkan diri sebagai entahkan Lanim, Lazim atau apa La... maaf saya lupa lagi nama awak. Tapi muka sudah ingat (ini kali kedua jumpa di konsert katanya). Dia juga berkali kali cakap sambil geleng geleng kepala beritahu bunyi sedap.

Habis konsert, saya, Lan Naga, Mad Nor, Arivai dan Pet Bersama Selamanya, minum rehatkan diri di mamak belakang Times Square. Saya tak mahu berlebih lebih memuji, mungkin ada benarnya pendapat sound dari satu lagu ke satu lagu ada sedikit tak konsisten, saya tak mahir dalam soal itu. Tapi yang saya nak pertahankan sound sedap, vokal sangat jelas dan tip top, drum tersangat-sangat sedap dan tak terlalu keras hingga tenggelamkan bunyi yang lain, bass pula memang seketul seketul clear bunganya. Gitar utama tak perlu disangkal, bersih dalam kotor. Semua itu bila dirangkum ia menjadi bunyi memori yang dirindu, bukan lagi tentang individu.

Saya bukan orang handal dalam muzik, saya hanya penikmati bunyi. Hal teknikal permainan dan sebagainya saya tak pernah tahu. Dan sebagai penonton malam itu, saya benar-benar di bawa ke era kegemilangan Joe, Black, Eddie dan Mus tahun 1996 - 2000. Biru Mata Hitamku saya sifatkan memang sebagai penyelamat Wings ketika itu. Selepas penerimaan yang agak keliru dari publik dengan bunyi yang berubah drastik, kemudian Mel pula pergi meninggalkan Wings dan kembali menjadi orang asing, Biru Mata Hitamku memberi nyawa kedua untuk Wings hingga bernafas terus ke hari ini.

Saya masih ingat tahun 1996-1997, bagaimana saya baru turun dari bas Lower Perak, memasuki pasar pagi di Pekan Selekoh dalam daerah Bagan Datuk, sudah kedengaran lagu Biru Mata Hitamku yang dipasang oleh penjual kaset pagi itu. Lagu itu diulang-ulang tanpa dimainkan lagu lain dan kedengaran di sepanjang pasar sepanjang pagi.

Bahagian paling emosi untuk saya malam itu ialah apabila mereka bermain Lupakanlah - saya tahu itu ialah lagu yang sederhana. Namun membikin sesuatu yang sederhana menjadi bermakna adalah mahal. Kemudian bersambung pula ke Sejati yang dinyanyikan oleh penonton. Pilihan meletakkan Sejati tanpa penyanyi adalah tepat, kerana memang tiada sesiapa mampu menggantikan Dato Awie.

Mereka malam itu bukan Wings. Wings adalah Wings tidak akan ada dua, tiga apatah lagi Real Wings. Juga tidak akan ada Wang sebagaimana Max dan May. Itu hal yang kita perlu respek mereka. Matang dan jalan terus. Biru Mata Hitamku adalah suara yang pernah mengisi Wings dan Wings kini perlu dan harus terus gemilang dengan cara juga gayanya sendiri.

Untuk team BMHK, MANTAP BERO! KACANG CHAP TANGAN NGAN YIN.

https://www.facebook.com/share/p/1GKM1oEWuY/

--------------------------------------------------


Full Highlight Konsert Biru Mata Hitamku 2026 Megastar Arena

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...