Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 27 October 2013

Apabila Skywalker ganti Sri Rama

Arkib : 27 Oktober 2013

WAYANG kulit sinonim dengan watak Sri Rama dan Sri Dewi. Namun apa akan terjadi jika ia bertukar kepada Darth Vader atau Anakin Skywalker dalam siri fiksyen Star Wars?

Ia bukan mustahil kerana baru-baru ini di dewan Hotel De Palma Ampang dipentaskan pertunjukan wayang kulit versi Star Wars atau dikenali sebagai Peperangan Bintang.

Digerakkan oleh tok dalang, Muhammad Dain Othman atau Pak Zain, persembahan selama dua jam itu disaksikan hampir 1,000 penonton.

Dengan susun atur yang tidak banyak beza persembahan wayang kulit tradisional, keseronokan bermula apabila tok dalang membacakan ucap tetap dan layar bertukar menjadi awan merah.

Aksi bermula dengan adegan kapal Sangkala Vadeh (Darth Vader) mengejar kapal Tuan Puteri Leia (Princess Leia).

Dari situ, elemen suspen dan aksi berjaya digarap dengan berkesan oleh tok dalang meskipun disampaikan dalam dialek Kelantan

Keterujaan penonton dapat dilihat apabila mula bertepuk tangan dan ada yang berdiri untuk melihat lebih dekat persembahan wayang kulit Peperangan Bintang itu.

Gabungan kesan khas dan alunan lagu tema yang disampaikan menggunakan alat muzik tradisional menambahkan lagi keghairahan penonton termasuk dari luar negara yang sanggup datang untuk menonton previu pertama tersebut.

Teknik penceritaan Pak Dain yang juga merupakan tok dalang generasi ke-13 itu berjaya menarik minat penonton apabila beliau sesekali memasukkan elemen lucu ketika menjiwai watak yang dimainkan.
Persembahan previu pertama itu meninggalkan penonton dengan pelbagai persoalan yang akan dijawab dalam persembahan selanjutnya selepas ini.

Ringkasnya, Peperangan Bintang mengisahkan perjalanan watak protagonis Perantau Langit (Anakin Skywalker), Tuan Puteri Leia dan Si P Long (C-3PO) menentang watak antagonis, Sangkala Vadeh.
Selain Pak Dain, ilham mementaskan wayang kulit versi Star Wars itu dicetuskan pereka grafik yang juga pemilik syarikat animasi, Action Tintoy, Chuo Yuan Ping, 40.

Pak Dain berkata, beliau mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih dan memahirkan diri dengan semua watak dalam filem tersebut.

"Pada mulanya, rasa takut dan gementar memang ada kerana persembahan ini lain daripada lain.
"Namun, apabila mendengar tepukan gemuruh daripada penonton ketika ucap tetap dan watak utama mula diperkenalkan, rasa tersebut hilang sama sekali," ujarnya yang juga merupakan Ketua Pasukan Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.

Menurutnya, tempoh dua bulan juga digunakan untuk memahirkan diri dengan nada suara bagi setiap watak.
"Bagi memudahkan tugas itu saya menonton filem berkenaan berulang kali. Suara garau Sangkala Vadeh berjaya saya hasilkan tetapi bunyi pernafasan Sangkala Vadeh tidak dapat dihasilkan dan ditukar kepada bentuk audio visual," ujarnya.

Pak Dain berkata, dia membuat beberapa penelitian sebelum bersetuju menjayakan pementasan itu.
"Peperangan Bintang juga adalah lambang tanggungjawab saya sebagai dalang untuk terus menghidup dan mempopularkan wayang kulit.

"Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak meneruskan tradisi ini," katanya.

Beliau menambah, penggunaan projektor yang memancarkan kesan-kesan khas seperti latar belakang serta latar tempat, memudahkan penonton memahami cerita yang disampaikan.

Walaupun Peperangan Bintang sebuah persembahan wayang kulit yang 100 peratus lain berbanding sebelum ini, namun ia masih relevan kerana setiap cerita yang disampaikan oleh dalang adalah berbeza,'' katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...