Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 27 October 2013

Perubahan tidak jejas tradisi


RAHIMIDIN Zahari yakin Peperangan Bintang mampu memberikan kelainan bagi menaikkan kembali populariti persembahan wayang kulit.

PERUBAHAN drastik dari segi cerita dan watak tidak akan menjejaskan keaslian atau keunikan seni persembahan wayang kulit. Pengurus Panggung Istana Budaya, Rahimidin Zahari, 45, berkata, sebenarnya banyak cerita-cerita asing telah dimasukkan ke dalam persembahan wayang kulit sebelum ini.

Lagipun katanya, setiap dalang mempunyai kisah mereka yang tersendiri.

"Cerita yang dibawa oleh Dalang Dollah Baju Merah bertajuk Perbu Anum Guru Pati Tombak Kencana sama sekali berbeza dengan cerita asal persembahan wayang kulit.

"Ada watak yang ditambah, namun masih menggunakan patung yang sama, begitu juga yang dibawa oleh Peperangan Bintang," katanya.

Teknik penceritaan Peperangan Bintang dilihat menggabungkan beberapa ciri tradisional seperti penggunaan alat muzik, bentuk patung mahupun konsep pentas persembahan yang masih menggunakan kelir putih sebagai layar utama.

Menurutnya, perubahan teknik penceritaan yang dibawa dalam wayang kulit Peperangan Bintang tidak menjadi masalah dari segi budaya dan tradisi.

Katanya, ketukan bunyi gedombak dan gelagat dalang mengawal patung wayang kulit tidak akan terpadam meskipun tokoh-tokoh wayang kulit seperti Pak Hamzah, Dolah Berbaju Merah dan ramai lagi sudah meninggal dunia.

"Wayang Kulit tertua di dunia berasal dari Turki iaitu Karagoz dan tradisi tersebut masih bertahan sehingga hari ini dan masih dipersembahkan dalam skala besar malah diberi perhatian secara khusus oleh masyarakat di sana.

"Perkara yang sama harus dilakukan di Malaysia. Wayang kulit moden yang dibawa Muhammad Dain Othman atau Pak Dain dilihat sebagai usaha positif dalam menghidupkan semula tradisi yang telah lama bertapak di Malaysia," katanya kepada S2.

Menyentuh tentang kemungkinan persembahan tersebut mencemarkan keaslian wayang kulit, Rahimidin berkata, hal itu tidak berlaku dan dia menyokong pementasan Peperangan Bintang.

"Mungkin dahulu, masyarakat menganggap epik Sri Rama sebagai satu tradisi zaman dahulu, seperti pakaian, senjata, kenderaan serta perwatakan yang dibawa.

"Namun mungkin 100 tahun akan datang, umum akan menganggap konsep yang dibawakan dalam Peperangan Bintang sebagai satu bentuk tradisi.

"Adalah menjadi tanggungjawab dalang untuk menjaga keaslian cerita pokok wayang kulit supaya tidak bercampur dan mengelirukan penonton," kata Rahimidin yang pernah merakamkan transkrip cerita dalang terkenal Kelantan, Dollah Baju Merah dalam bentuk buku.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131026/re_06/Perubahan-tidak-jejas-tradisi#ixzz2ivdsJdGD 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...