MENGUSUNG keluar puluhan mayat yang sebahagian daripadanya sudah hancur remuk dan berbau busuk bukan satu pengalaman biasa walaupun bertugas sebagai anggota bomba.
Pengalaman terlibat selama 10 hari dalam operasi mengesan dan menyelamat mangsa runtuhan kondominium Highland Towers seperti masih terlalu baharu bagi Md. Hilman Abd. Rashid dan ia tidak mungkin dilupakan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya itu berkata, walaupun tugas beliau kini lebih kepada pentadbiran, tragedi yang berlaku 20 tahun lalu itu masih terngiang-ngiang di fikirannya sehingga hari ini.
Md. Hilman berkata, ada masanya kenangan di Highland Towers akan muncul dan membuatkan beliau 'terbau' semula memori yang cukup menyayat hati itu.
"Bau itu adalah bau kematian. Bau itulah juga yang melekat pada badan kami selama 10 hari sepanjang operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Ketika itu orang awam yang berada berhampiran dengan anggota penyelamat pasti akan tutup hidung. Mereka tak tahan bau badan kami sebab dah macam mayat,'' ujarnya.
Mengimbau kembali penglibatannya dalam operasi itu, Md. Hilman berkata, tragedi Highland Towers merupakan tragedi yang memberi pengajaran kepada banyak pihak.
Katanya, semua pihak mendapat iktibar daripada Highland Towers sama ada penghuni, pemaju, kontraktor, kerajaan dan yang paling terkesan ketika itu adalah pasukan penyelamat kerana tidak berpengalaman menguruskan tragedi berskala besar seumpama itu.
"Cabaran utama ketika itu adalah pengurusan bencana yang melibatkan banyak agensi. Kerja-kerja dilakukan secara tidak sistematik, lebih seperti gotong royong sebenarnya.
"Dalam keadaan yang serba rumit itu masa adalah musuh utama kami,'' katanya yang bertugas sebagai Pegawai Operasi di Balai Bomba Jalan Hang Tuah ketika kejadian.
Antara cabaran utama ketika itu katanya adalah keadaan bangunan yang cukup tidak stabil dan boleh membahayakan nyawa ratusan anggota penyelamat.
Bagaimanapun kata beliau, bantuan pasukan penyelamat dari Perancis yang membawa unit anjing pengesan banyak membantu operasi mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus.
"Selain bantuan anjing pengesan, pasukan penyelamat turut membawa jentera penggerudi dari lombong bijih timah Sungai Lembing, Pahang untuk memecah timbunan konkrit setinggi kira-kira 20 meter itu,'' katanya.
Di sebalik kegigihan setiap anggota penyelamat yang bertungkus-lumus siang dan malam dalam operasi tersebut hanya dua mangsa berjaya diselamatkan.
Antara pengalaman yang cukup menyentuh hati dan tidak mungkin dilupakan Md. Hilman sepanjang terlibat dalam operasi itu adalah ketika menemui mayat seorang wanita yang sedang memeluk al-Quran.
Sementara itu, seorang lagi mangsa ditemui dalam keadaan yang cukup menyayat hati apabila badan mangsa terputus dua akibat tersepit di celah tangga kondominium.
"Sukar untuk dipercayai tapi saya lihat sendiri kebesaran Allah. Wanita yang masih lagi berbaju sembahyang itu seperti langsung tidak cedera pada badannya.
"Seorang lagi mangsa ditemui dalam keadaan cukup tragis. Hanya separuh daripada badannya dapat dikeluarkan kerana bahagian pinggang ke bawah sudah terputus dan tertimbus jauh ke dalam runtuhan konkrit,'' katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment