DUA daripada tiga kondominium Highland Towers yang masih berdiri selepas satu daripadanya runtuh menyembah bumi pada 11 Disember 1993 adalah saksi kepada malapetaka yang cukup tragis.
Selepas kejadian yang mengorbankan puluhan nyawa itu, arahan dikeluarkan kepada penghuni blok B dan C supaya meninggalkan kediaman bagi tujuan keselamatan. Sejak itu, kedua-dua blok terbiar kosong.
Namun setelah hampir 20 tahun, kisah mengenai Highland Towers masih menjadi topik perbualan khususnya kisah-kisah yang dikaitkan dengan unsur-unsur seram dan misteri.
Salah satu daripada dakwaan yang paling kerap didengar mengatakan lokasi itu 'keras' atau berhantu. Saki baki bangunan Blok B dan C yang terbiar dipercayai menjadi 'kediaman' roh-roh mereka yang terkorban.
Cuma peliknya, dakwaan mengenai kisah seram itu hanya bermain di mulut mereka yang mendakwa pernah masuk ke dalam sisa tinggalan kondominium tersebut namun tidak pula mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk.
Setakat ini, kebenaran mengenai kisah-kisah seram tersebut hanya diketahui oleh mereka yang pernah mengalaminya. Selebihnya mungkin sekadar rekaan.
S2 menemui salah seorang daripada saksi yang merupakan seorang pelajar, Faisal Mahamud, 23, yang pernah masuk lebih lima kali ke kawasan itu pada waktu malam sekitar tahun 2010 yang lalu.
Beliau mendakwa pernah mengalami saat-saat cemas dan menyeramkan semasa berada dalam bangunan di blok B bersama rakan-rakannya .
"Lebih lima kali saya pergi bersama kawan-kawan lain untuk membuktikan bahawa adakah tempat itu berhantu ataupun tidak. Pertama kali kami pergi tidak merasai bahawa tempat itu 'keras', sebaliknya hanya kedengaran anjing menyalak di kawasan perumahan, itu sahaja.
"Selepas itu, kami cuba untuk pergi lagi ke tempat yang sama dan kali ini kami berjaya memasuki bangunan itu sehingga ke tingkat 3. Pada waktu itu sekitar jam 1 pagi, malam jumaat, ada di antara kami terdengar orang berjalan seperti naik dan turun tangga, kedengaran suara yang garau menyeramkan serta seolah-oleh ada sesuatu yang mengekori kami dari belakang," ceritanya.
Kehadiran kejadian pelik dan aneh itu membuatkan mereka berasa seram sejuk kerana kuathir berdepan dengan masalah yang lebih besar.
"Oleh kerana itu, kami terpaksa tangguhkan misi kami untuk menjejaki sehingga ke tingkat atas," ujarnya.
Selang beberapa minggu, keberanian kumpulan ini tercabar sehingga membawa mereka sekali lagi di kawasan itu dengan harapan yang tinggi untuk menjejaki bangunan sehingga ke tingkat 12.
"Kali ini kami menanam niat untuk masuk ke tingkat 12 bangunan tersebut. Sebaik sahaja sampai, kami terus menyelinap masuk ke dalam bangunan itu sehingga ke paras enam.
"Semasa kami berjalan menuju ke bangunan itu melalui celah-celah pokok, kami dikejutkan dengan suatu bunyi pelik yang menyeramkan. Bunyi itu dipercayai kedengaran daripada sebatang pokok yang tidak jauh dari tempat mereka.
"Selepas memanjat tangga bangunan tersebut sehingga ke tingkat enam, kami cuba melihat daripada pandangan bawah bangunan itu dan kami ternampak bayangan seolah-olah ada kelibat orang sedang bermain di bawah bangunan. Masing-masing di antara kami membisu. Selain itu, kami juga ternampak kelibat seorang wanita sedang duduk di tingkat enam dalam blok yang berasingan," katanya.
Menurutnya, pengalaman itu bukan rekaan tetapi benar-benar dialami mereka.
Dalam pada itu, dakwaan terbabit disangkal oleh kumpulan lain yang turut aktif melalukan kajian dan penyelidikan berkenaan dengan kewujudan makhluk halus ini.
Pengembaraan Alam Ghaib (PAG Paranormal) cuba merungkai kesahihan kisah misteri disebalik Highland Tower tersebut wujud ataupun sekadar rekaan yang digembar gemburkan banyak pihak.
Menurut jurucakap PAG Paranormal, Azree Jaafar, 33, kawasan tersebut sebelum ini dipenuhi semak samun dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyeliaan menjadikan kawasan tersebut tidak ubah seperti berlukar.
"Tambahan pula, terdapat dua bangunan usang kosong dan ditinggalkan hampir 20 tahun menampakkan tempat tersebut menjadi suatu tempat yang seram," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hakikatnya, ujar Azree, sepanjang kajian yang dijalankan PAG Paranormal, tiada sebarang bukti yang boleh mengklasifikasikan tempat terbabit adalah tempat berhantu.
"Mungkin pihak yang mendakwa kawasan yang pernah menjadi sisa runtuhan bangunan itu berhantu hanyalah secara kebetulan ataupun sekadar bualan mulut sahaja.
"Mereka mungkin hanya untuk menakut-nakutkan orang ramai dengan merekayasa cerita untuk lebih menarik dan menyedapkan telinga mendengar," jelasnya.
PAG Paranormal yang ditubuhkan sejak 2009 telah banyak membuat kajian berkenaan dengan alam ghaib menggunakan cara tradisional dan moden.
"Sepanjang kajian, pengalaman yang menyeramkan adalah semasa membuat kajian di Penjara Pudu dan jalan lama Karak, Pahang.
"Kajian tersebut jelas membuktikan bahawa wujud kejadian aneh seperti kedengaran suara perempuan yang mengilai dan menjerit," ceritanya.
Kejadian aneh di Highland Towers pula tidak pernah dirasainya, namun tidak dinafikan bahawa tempat itu turut mempunyai 'penghuni' ekoran dua bangunan yang sudah lama dibiarkan begitu sahaja dan tidak dihuni.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131207/re_13/Benarkah-Highland-Towers-berhantu?#ixzz2o42bwqWP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment