PERKATAAN bunohan dalam loghat Kelantan bermaksud pembunuhan.
Selain itu, perkataan itu juga merujuk kepada sebuah kampung di Tumpat yang terletak kira-kira 11 kilometer dari sempadan Malaysia - Thailand melalui Pengkalan Kubor.
Bagi mereka yang baharu mendengar nama kampung tersebut mungkin beranggapan kejadian pembunuhan beramai-ramai pernah berlaku di situ.
Bagaimanapun, berdasarkan cerita turun-temurun, ia tidak seperti digambarkan melalui nama tersebut.
Perkara tersebut dipersetujui penduduk asal kampung berkenaan, Mat Salleh Che Awang, 68, yang memberitahu nama asal itu merujuk kepada sejenis alat menangkap ikan.
Mat Salleh berkata, alat yang diperbuat daripada buluh dan dijalin dengan akar 'niding' yang dinamakan sebagai 'belat' dan dipasang unjap (pintu lukah yang berbentuk seperti corong) pada bahagian depan serta belakang ditutup dengan jalinan buluh berkenaan.
Menurutnya, 'bunohan' dipasang di kawasan lubuk dan menjadi salah satu peralatan untuk menangkap ikan darat seperti sepat, puyu, keli dan haruan bersaiz besar.
Alat itu popular dalam kalangan penduduk kerana bahan membuat peralatan tersebut mudah diperoleh daripada hutan tanpa perlu mengeluarkan belanja," katanya ketika ditemui S2.
Mengikut cerita, Mat Salleh memberitahu, pada asalnya belat hanya dipasang pada bahagian depan sahaja, namun hasil yang diperoleh tidak banyak.
Katanya, kemudian seorang tua yang melihat penduduk yang ketika itu sedang memasang belat menegur cara menangkap ikan lalu mengajar penduduk untuk mendapatkan hasil lebih banyak menggunakan bunohan.
Kebiasaannya, bunohan dipasang pada permukaan air oleh penduduk kampung untuk menangkap ikan.
Alat itu disebut bunohan kerana apabila ikan masuk ke dalam perangkap dan tidak boleh keluar, ia sekali gus membunuhnya.
Jadi, tiada kaitan langsung dengan membunuh orang kerana ia mengenai peralatan menangkap ikan," ujarnya.
Tambah Mat Salleh, dari situ timbul nama bunohan dan hasil tangkapan yang diperoleh penduduk kampung cukup banyak.
Jelasnya, dari situ penduduk mengabadikan nama kampung tersebut dengan Bunohan.
Mat Salleh berkata, menurut cerita, sebuah lubuk di sebelah Pondok Polis Bunohan menjadi lokasi yang sering dipasang alat itu kerana terdapat banyak ikan di situ.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140412/lk_05/Perangkap-membunuh-ikan#ixzz2z6KpuqSz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment