BERDASARKAN cerita yang diwarisi sejak turun-temurun, Kampung Bunohan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kota Bharu, Kelantan dipercayai dibuka sekitar tahun 1920-an.
Bagaimanapun, tiada siapa yang mengetahui siapa yang menamakan perkampungan di daerah Tumpat itu dengan 'Bunohan' berikutan tiada kajian secara spesifik dilakukan oleh mana-mana pihak.
Malah, kebenaran cerita asal-usul nama kampung tersebut juga tidak dapat dipastikan kerana tiada siapa boleh mengesahkan kisah yang didengari daripada generasi pertama yang mendiami tempat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Kamall Rudin Salleh, 64, berkata, kebanyakan kisah yang diketahui oleh penduduk kampung diceritakan oleh ibu bapa mereka.
Masalahnya, setiap kisah mempunyai jalan cerita yang berbeza-beza. Bagaimanapun, kebanyakan penduduk di sini percaya nama Kampung Bunohan diambil daripada sejenis alat memerangkap ikan.
Alatan yang seakan-akan jala dan pukat itu diperbuat daripada akar rotan atau buluh yang dipasang di kawasan sawah untuk memerangkap dan menangkap ikan," katanya ketika ditemui S2.
Bagaimanapun alat tersebut amat jarang digunakan pada masa sekarang, malah kebanyakan generasi muda tidak mengenalinya.
Dalam pada itu, dia memberitahu, terdapat juga versi berbeza tentang nama Kampung Bunohan itu yang mana ramai mempercayai mempunyai kaitan dengan kisah pembunuhan ngeri suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, menurut cerita Kamall Rudin, pembunuhan itu dipercayai bukan dilakukan oleh penduduk kampung terbabit, sebaliknya dilakukan orang luar.
Mayat mangsa kemudian dihumban ke sawah padi yang mana terdapat saluran longkang di situ.
Selain itu, kawasan penempatan ini dahulu sering menjadi titik pertemuan untuk melakukan pergaduhan.
Sekitar tahun 1950-an, saya pernah melihat satu pergaduhan yang dahsyat kerana menggunakan kapak sehingga menyebabkan ramai antara mereka yang cedera parah.
Namun yang pelik, mereka yang bergaduh itu bukan orang setempat, sebaliknya penduduk dari daerah lain yang menjadikan Kampung Bunohan sebagai lokasi untuk menunggu pihak lawan," katanya.
Tambah Kamall Rudin, cerita-cerita itu bagaimanapun sama sekali tidak sama dengan penduduk Kampung Bunohan yang ramah dan mudah mesra dengan tetamu yang berkunjung ke situ.
Jadi, saya berharap orang ramai jangan takut untuk berkunjung ke sini kerana hanya nama kampung kami yang kedengaran menakutkan tetapi penduduk setempat tidaklah sebegitu," kata Kamall Rudin.
Sementara itu, Yaacob Hassan, 75, berkata, nama kampung tersebut dipercayai diperoleh semasa menangkap ikan berdasarkan dialog, Hok aku, buleh bunohlah (yang aku dapat bunuh)."
Ujarnya, penduduk kampung dapat menangkap ikan dengan lebih mudah apabila menggunakan peralatan seperti belat.
Dialog itu adalah versi cerita yang saya dengar daripada orang tua saya. Dipercayai penutur dialog itu mendapat lebih banyak ikan berbanding dengan orang lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Yaacob memberitahu, sekitar tahun 1960-an dahulu, terdapat ura-ura nama Kampung Bunohan akan ditukar kepada Kampung Perpaduan, namun entah mengapa perkara tersebut senyap begitu sahaja sehingga hari ini.
Jika tidak silap saya, pada tahun 1967 iaitu ketika Datuk Mohamed Nasir menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ura-ura untuk menukar nama kampung ini.
Tapi, entah mengapa tidak jadi. Mungkin penduduk di sini mahu kekal dengan nama Kampung Bunohan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140412/lk_02/Tiada-cerita-sahih#ixzz2z6IzEfnq
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment