KUALA LUMPUR 6 Mei - Allahyarham Datuk Aziz Sattar yang meninggal dunia akibat penyakit jantung disifatkan seorang perunding dan penghibur yang bijak oleh rakan-rakan baiknya.
Menurut Datuk Rosnani Jamil, 78, Allahyarham juga merupakan seorang yang berdedikasi dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
"Setiap kali kami pergi membuat persembahan, Aziz akan bertugas seperti setiausaha. Dia suka sangat memimpin. Dengan sikap kepimpinan itu juga kami percaya dengannya. Setiap kali hendak membuat persembahan, dia akan memaksa saya menyanyi. Lagu yang buat saya tidak pernah melupakan dia adalah Aci-aci Buka Pintu kerana lagu itu sahaja yang saya tahu memandangkan saya tidak pandai menyanyi.
"Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah dua minggu lepas. Saya selalu meminta untuk melawatnya tetapi dilarang. Apabila saya memberitahu saya mahu membawa rendang daging dan rendang ayam kesukaannya, dia terus menjemput saya ke rumah.
"Satu lagi sikap dia yang saya puji adalah keyakinannya. Kami sedar, walaupun tidak mempunyai pelajaran tinggi tetapi kami genggam cita-cita dengan begitu erat dalam mewarnai dunia seni. Pemergiannya memang membuatkan saya betul-betul sedih dan terkilan," katanya ketika ditemui di Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn tempat jenazah Allahyarham disempurnakan dan disolatkan.
Allahyarham Aziz yang berusia 89 tahun meninggal dunia pukul 2 pagi ini di Pusat Perubatan KPJ Kajang akibat penyakit jantung dan jenazahnya selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.10 petang di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana di sini hari ini.
Tambah Rosnani, arwah sebenarnya banyak perkara yang hendak dibuat terutama dalam memperjuangkan dan membela nasib artis-artis veteran.
Sementara itu, Datuk Sarimah Ahmad, 72, berita tentang kematian Allahyarham yang merupakan sahabat baiknya memang mengejutkan kerana laporan media mengatakan arwah sudah stabil.
"Saya sungguh tidak menyangka. Dia akan sentiasa berada di dalam hati dan menjadi ingatan saya sepanjang hayat. Latar belakangnya sebagai penghibur memang tidak boleh dinafikan dan sungguh besar sumbangannya kepada kita semua.
"Saya pasti tiada yang dapat menggantikan sifat komedi semula jadi yang dimiliki. Saya sungguh bangga mempunyai rakan seperti arwah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140507/dn_08/Aziz-perunding,-penghibur-bijak---Rakan-seni#ixzz31Skgi6Fv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment