Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 22 June 2014

Kemewahan hilang sekelip mata

Keadaan penempatan di Bukit Besi yang serba lengkap dengan segala kemudahan.

"BERTAHUN-tahun kami anak-beranak hidup dalam 'kegelapan'. Sejak daripada detik kilang itu tutup, suasana Bukit Besi terus berubah sepi. Tiada lagi hiruk-pikuk deruman jentera dan siulan wisel kereta api, malah ia turut membawa pergi 'periuk nasi' yang menjadi punca rezeki keluarga selama ini."

Nada Mat Hussin Abdullah, 79, tersekat-sekat, riak wajahnya sedikit gusar sekali gus menggambarkan penderitaan yang ditanggung akibat penutupan syarikat perlombongan British, Eastern Mining & Metal Company Ltd. (EMMCo) pada akhir 1970 itu.

Penutupan EMMCo itu ternyata memberi impak mendalam bukan hanya terhadap dirinya malah hampir semua 4,000 pekerja lain.

Lebih tepat mereka hilang punca pendapatan, tempat berlindung dan dalam masa sama segala kemudahan percuma yang dinikmati selama ini termasuk, bekalan air serta elektrik ditarik balik penggunaannya.

"Hati sedih, fikiran bercelaru. Sudahlah diberhentikan kerja, duit pun tiada. Susu anak perlu dibeli. Masa itu Pok benar-benar rasa perubahan hidup yang begitu ketara.

"Macam-macam kerja yang Pok buat selepas itu, tetapi tidak mampu menandingi pendapatan yang diterima semasa di Bukit Besi dan lebih menyayat hati, isteri yang selama ini bergelar suri rumah terpaksa turun padang membanting tulang dengan mengambil upah menanam pokok getah sebanyak RM2.30 sehari," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya baru-baru ini.

Landasan kereta api bersimpang-siur menggambarkan kesibukan kerja-kerja melombong bijih besi di Bukit Besi satu ketika dahulu.

Bagi Mat Hussin yang lebih dikenali sebagai Pok Sin, tempoh 10 tahun bekerja di lubuk emas Bukit Besi cukup membuatkan dia dan keluarga menikmati kehidupan yang selesa serta mewah berbekalkan gaji sebanyak RM7.50 sehari sebagai buruh di lombong itu.

Menceritakan permulaan kisahnya di Bukit Besi, menurut Pok Sin, dia tertarik untuk berhijrah ke situ dan bekerja di lombong selepas dimaklumkan abangnya, Mat Piah bahawa lokasi tersebut umpama lubuk emas untuk mencari rezeki.

Sepanjang perjalanan menaiki kereta api dari stesen Dungun, katanya, yang banyak dilihat ketika itu adalah hutan belantara tetapi, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Bukit Besi, dia melihat sebuah bandar yang sangat maju.

Menurut Pok Sin, landasan kereta api lokomotif yang berselirat tidak putus-putus mengangkut bijih, seolah-olah datang dari semua arah.

"Pok mula bekerja pada tahun 1960 dengan gaji permulaan sebanyak RM4 sehari sebagai pengawal keselamatan. Setahun selepas itu, Pok ditukarkan ke bahagian mekanikal dan memperoleh gaji buruh gred tiga iaitu sebanyak RM7.50 sehari.

"Ketika itu, jumlah tersebut cukup banyak untuk menampung hidup Pok dan keluarga. Selepas ditolak perbelanjaan dapur sebanyak RM80 setiap bulan, masih terdapat lebihan pada gaji yang diperolehi," imbasnya bersungguh-sungguh.

Apa tidaknya, menurut Pok Sin, sepanjang bekerja di Bukit Besi, tidak banyak kos yang perlu dikeluarkan memandangkan setiap pekerja mendapat rumah, bekalan air dan elektrik secara percuma yang ditanggung pihak syarikat EMMCo.

Sesekali Pok Sin termenung sayu, ada kala dia tersenyum seolah-olah kenangan sebelum operasi perlombongan bijih besi itu dihentikan kembali segar.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, dia kesal kerana Bukit Besi yang sudah dianggap sebagai kampung halamannya sejak berhijrah dari Melur, Kelantan itu kini jauh lebih mundur berbanding ketika dia menjejakkan kaki di tempat itu dulu.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...