TIDAK lengkap kunjungan ke Bukit Besi sekiranya tidak mengabadikan kenangan di Rumah No.1 yang terletak bersebelahan pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Rumah yang sudah dimamah usia dan hilang separuh reka bentuk itu menyimpam misterinya yang tersendiri terutama persoalan tentang kewujudan terowong rahsia yang digunakan oleh penghuni rumah tersebut untuk menyelamatkan diri ketika berlaku peperangan.
Difahamkan, kali terakhir rumah itu dihuni salah seorang jurutera yang berkhidmat di syarikat Eastern Mining and Metal Company Ltd. (EMMCo) iaitu Abdul Halim Baha Rasip bersama ahli keluarganya.
Menurut penduduk Bukit Besi, Kuntum Salleh (gambar), 66, pada asalnya rumah itu merupakan kediaman rasmi pengurus besar syarikat perlombongan sebelum dihuni oleh Abdul Halim.
"Ayah makcik merupakan bekas tukang kebun di rumah yang dihuni pengurus besar EMMCo, Jack Harris itu.
"Rumah itu memang istimewa. Kata ayah, kedudukannya di atas bukit memudahkan pengurus melihat dan mengawasi perjalanan kerja-kerja perlombongan yang dijalankan 24 jam setiap hari tanpa henti," ujarnya kepada S2 baru-baru ini.
Lebih menarik, kata Kuntum, menerusi rumah itu, penghuninya juga dapat melihat pemandangan di sekitar Bukit Besi dengan jelas.
Katanya, di awal usia kanak-kanak hingga menginjak remaja, adakalanya dia singgah untuk menatap struktur binaan satu-satunya rumah yang tersergam indah di atas bukit itu.
"Lokasi rumah itu berdekatan dengan rumah kelab British dan kebiasaannya saya lalu di sana sebaik sahaja pulang dari rumah kelab.
"Tetapi hanya lihat dari luar dan tidak pernah masuk ke dalam," katanya.
Menurut Kuntum, Rumah No. 1 itu turut menjadi lokasi berehat tetamu kehormat dan dia difahamkan Almarhum Sultan Terengganu, Tuanku Ismail Nasiruddin Syah pernah singgah di rumah itu selepas membuat lawatan di kawasan perlombongan bijih besi.
Kuntum yang begitu rancak berbicara turut menceritakan pengalaman lain yang tidak dapat dilupakannya sepanjang membesar di Bukit Besi termasuk kisah susu percuma di sekolah.
Katanya, sejak kegiatan perlombongan di kawasan itu diambil alih syarikat EMMCo, setiap pagi semua pelajar sekolah diwajibkan menyertai program meminum susu segar.
"Pihak syarikat mempunyai lembu yang diimport khas dari Australia, masa itu kami memang seronok kerana dapat minum susu segar yang baru diperah, rasanya sungguh sedap," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment