KEKAGUMAN wanita kelahiran Bengkulu, Sumatera Selatan ini terhadap Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak dapat disangkal lagi.
Setiap hari Siti Maryam Tatang akan mendengar cakera padat lagu-lagu nyanyian P. Ramlee yang menjadi koleksi peribadinya. Hampir kesemua lagu seniman hebat Malaysia itu dihafalnya.
Itu belum lagi mengambil kira filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee yang tidak pernah jemu ditonton wanita berusia 66 tahun itu.
Sebaik-baik memasuki rumahnya di Depok, Jakarta baru-baru ini, alunan lagu P. Ramlee menyambut kedatangan saya yang diundang oleh Siti Maryam atau lebih mesra dikenali sebagai Ibu Maryam.
"P. Ramlee tiada duanya. Lagu-lagu nyanyiannya menggetar jiwa. Beliau adalah seniman hebat yang pernah ada di rantau Nusantara ini," ringkas Siti Maryam merumuskan kenapa beliau terlalu meminati seniman kesayangan ramai itu.
Serius beliau bercerita kepada saya mengenai kisah hidup P. Ramlee satu persatu. Bagaimana permulaan kerjaya seni P. Ramlee sehinggalah kepada pengakhiran hidup seniman itu semuanya diceritakan kepada saya.
Sebetulnya apa yang diceritakan Siti Maryam kepada saya adalah sama dengan apa yang pernah saya baca di majalah dan akhbar.
Tetapi, apabila mendengar kisah hidup P. Ramlee dengan mendalam daripada mulut orang Indonesia, ia sesuatu yang sangat jarang berlaku. Apatah lagi, P. Ramlee sudah lama meninggal dunia.
Tambahan pula, seperti yang kita sedia maklum sebilangan besar rakyat Indonesia lebih menghargai anak seni mereka berbanding artis-artis luar.
Pengetahuan yang ada pada Siti Maryam menarik minat saya untuk bertanya apakah beliau mempunyai pertalian darah dengan P. Ramlee sehingga boleh bercerita hal-hal kehidupan seniman itu.
Kata Siti Maryam, beliau tidak ada sebarang hubungan keluarga dengan artis yang menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973 itu.
Bahkan, sepanjang hayatnya juga, belum pernah sekali beliau bertentang mata dengan P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih.
Apa lagi dengan kedudukan geografi yang membataskan beliau untuk berbuat demikian.
"Dahulu ketika zaman kanak-kanak dan remaja saya tinggal di Bengkulu. Ayah saya seorang yang sangat meminati P. Ramlee. Ayah ada banyak koleksi piring hitam lagu-lagu P. Ramlee. Setiap hari ayah akan menyanyikan lagu P. Ramlee sehingga membuatkan saya tertanya-tanya siapa artis yang sangat digemari ayah saya itu.
"Kebetulan di Bengkulu atau di kepulauan Sumatera nama P. Ramlee sangat masyhur. Justeru, kami juga berpeluang menonton filem-filem P. Ramlee ketika itu. Dari situ, saya mula mencari siapa sebenarnya P. Ramlee ini," kata ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada 10 orang cucu ini lagi.
Sekitar tahun 1976, Siti Maryam mendengar khabar yang P. Ramlee berkunjung ke Jakarta lalu menyimpan hasrat untuk menemui bintang pujaannya itu.
Beliau yang ketika itu sudah berhijrah ke Jakarta menyuarakan hasrat itu kepada Allahyarham suaminya, Tatang Mukhtar.
Tatang yang begitu memahami minat Siti Maryam berusaha untuk menemukan isterinya dengan seniman legenda itu dengan menjejaki P. Ramlee di hotel penginapannya di Jakarta.
"Sebaik-baik kami tiba di hotel itu, kami diberitahu P. Ramlee baru saja meninggalkan hotel dan berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Begitu hiba dan sedih sekali saya ketika itu," katanya menyambung perbualan.
Namun, selang beberapa tahun kemudian, perkenalan Siti Maryam dengan sahabatnya dari Kuala Lumpur, Fazliaton membuka ruang kepada beliau untuk mengenali isteri P. Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma.
Saloma yang mengetahui betapa Ibu Maryam meminati suaminya menerima salam perkenalan itu dengan tangan terbuka.
Seingat Ibu Maryam, pernah beberapa kali beliau bertemu dan berbual dengan Saloma sambil berkongsi cerita mengenai P. Ramlee.
Bagaimanapun, pertemuan dengan Saloma juga tidak sempat berlanjutan memandangkan ketika itu seniwati itu juga sedang menderita sakit.
Biarpun tidak berkesempatan menemui P. Ramlee, pertemuan dengan Saloma sedikit sebanyak mengubat kekecewaan Siti Maryam.
Pada masa sama, setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur, tempat pertama yang akan disinggah Siti Maryam ialah kubur P. Ramlee.
"Saya masih ingat bagaimana sedihnya saya sehingga tidak henti-henti menangis ketika melihat kubur P. Ramlee. Saya berdoa kepada Allah semoga merahmati Allahyarham. Banyak dan besar sekali jasa P. Ramlee kepada Malaysia," ujar beliau lagi.
Atas dasar terlalu menghormati dan meminati P. Ramlee, Siti Maryam mengambil inisiatif menulis kisah seniman agung yang diminatinya itu dalam sebuah buku.
Buku bertajuk Engkau Laksana Bulan - Catatan Hati Pengagum Seniman Agung P. Ramlee' ini katanya merupakan suara hati beliau tentang satu-satunya artis yang amat diminatinya.
"Benar, saya tidak kenal P. Ramlee secara peribadi, tetapi hasrat hati saya ini tidak dapat dibendung lagi. Saya mahu berkongsi perasaan saya mengenai P. Ramlee dalam buku.
"Suara P. Ramlee selalu menggetarkan batin saya. Ada panggilan jiwa yang membuatkan saya hanyut dalam perasaan dan mendorong saya membuat catatan mengenai Allahyarham sekalipun P. Ramlee telah menyatu di dalam perut bumi," kata Siti Maryam lagi.
Hasrat Siti Maryam, buku setebal 160 halaman itu dibaca oleh pencinta seni atau lebih tepat peminat setia P. Ramlee sama ada di Malaysia atau Indonesia.
Siti Maryam juga memberitahu, besar hatinya seandainya ada pihak yang berminat untuk membawa buku berkenaan dijual di Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140309/ke_04/Cinta-agung-kepada-P.-Ramlee#ixzz37KEofeW0 © Utusan Melayu (M) Bhd
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment