Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 12 August 2014

Banjaran Titiwangsa jadi pemisah

HASHIM Harun menunjukkan batu sempadan negeri Perak dan Pahang yang terletak di laluan asal Mat Kilau.

"Mat Kilau memang amat dikenali di kampung-kampung sekitar Ulu Slim ," kata Ibrahim Mat Deli kepada penulis.

Pada usia 66 tahun, Ibrahim menyimpan kisah tentang pahlawan Melayu dari Pahang itu.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Piung, Slim Village, Perak berkata, cerita itu diperturunkan daripada moyangnya yang berketurunan Rawa.

Tinjauan S2 mendapati terdapat lima kampung berdekatan iaitu Kampung Lintah, Kampung Piung, Kampung Pasir, Kampung Ulu Slim (Ulu Slim) dan Kampung Sungai Muda. Hampir kesemua penduduk di kampung tersebut daripada keturunan Rawa.

"Boleh dikatakan penduduk kampung-kampung ini bersaudara. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai saudara-mara di Raub, Pahang," kata Ibrahim.

Disebabkan ikatan kekeluargaan itulah, maka Mat Kilau sering berkunjung ke sana bagi menziarahi saudara-maranya.

"Laluan yang dia (Mat Kilau) gunakan adalah denai hutan dari Kampung Ulu Sungai, Raub ke Ulu Slim, Perak," katanya.

Pada zaman mudanya, Ibrahim biasa berjalan kaki dari Ulu Slim ke Ulu Sungai untuk menziarahi sanak saudara. Beliau menggunakan denai hutan yang sama dilalui Mat Kilau. Ketika itu, katanya, terdapat banyak pokok seperti lengkuas berbatang merah di sepanjang laluan.

Menurutnya, jarak yang ditempuh melebihi 30 kilometer dan beliau terpaksa mendaki bukit melepasi Banjaran Titiwangsa yang memisahkan Perak dan Pahang.

Seperti laluan sekarang, beliau juga menempuh Batu Hidang dan Batu Gajah, batu sempadan Perak dan Pahang serta mata air yang keluar dari celah batu dan kemudian berpecah ke arah Perak (dari bahagian kanan batu) dan Pahang (kiri batu).

Anak sungai yang mengalir di Perak itu membentuk Sungai Slim, manakala anak sungai yang mengalir ke Pahang membentuk Sungai Chelir dan Sungai Sangka.

Menjelaskan lagi, katanya, apabila berada di Kampung Piung, Mat Kilau sering bermalam di rumah Aki iaitu saudara sebelah ibunya yang bernama Imam Tahir Juara Muda.

Beliau masih mengingati cerita yang diperturunkan kepadanya iaitu bagaimana orang suruhan British, Tok Kelana diberi tugasan supaya membunuh Mat Kilau.

"Mat Kilau dapat tembak Tok Kelana. Mati di Pahang, tak tahu di mana tetapi mayatnya dibawa ke Perak. Bawa mayat pakai gajah.

"Singgah di Kampung Sungai Muda. Moyang saya duduk di situ, Raja Sharifah Raja Ngah. Diletakkan selama beberapa hari di kampung itu sampai busuk. Diceritakan mayat itu mahu dibawa ke Kuala Kangsar," kata Ibrahim.

Mengulas asal usul nama Ulu Slim, katanya, ada seorang individu bernama Tok Slim dari Pahang meneroka kawasan hutan dengan cara membakar belukar untuk dijadikan kawasan penempatan.

"Dia bawa beras sebanyak satu ling (sukatan dahulu seperti saiz satu tin susu pekat sekarang). Beras itu dimasak untuk dimakan setiap hari tetapi tidak pernah habis.

"Lepas masak, pasti ada beras lagi di dalam bekas yang dianyam daripada mengkuang. Dari situlah, kawasan hutan yang diteroka itu dinamakan Ulu Slim (mengambil perkataan daripada sling tadi)," ujarnya yang memberitahu perkataan Ulu pula diperoleh kerana penempatan itu terletak di hulu sungai.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...