TRAIL Mat Kilau dari Raub, Pahang ke Ulu Slim, Perak ini mempunyai banyak tarikan yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan.
Selain bermula dari Kem Sangka yang menempatkan pondok-pondok buluh sebagai 'hotel' penginapan, laluan itu juga menyimpan misteri dan nilai-nilai sejarah yang mampu menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara.
Seorang peserta, Rohaya Husain, 51, berkata, laluan itu sesuai dijadikan kawasan pelancongan memandangkan kenderaan pacuan empat roda (4x4) boleh masuk sampai ke Kem Sangka.
Berikutan itu, katanya, perjalanan menjadi lebih dekat dari pekan Raub dan bagi penggemar aktiviti lasak, ia mampu menguji adrenalin terutama pada musim hujan.
"Kalau hujan, laluan lebih mencabar. Bagi saya, ia satu kawasan yang menarik untuk diteroka, cuma satu sahaja yang 'kurang' iaitu tak ada air terjun," katanya.
Hashim Harun, 49, pula berkata, laluan Mat Kilau lebih mudah berbanding dengan laluan ke puncak Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor.
Namun, katanya, pemandangan sepanjang laluan lebih menarik kerana dikelilingi kawasan gunung-ganang dan bukit bukau, selain boleh singgah di kawasan yang dikatakan memiliki unsur-unsur mistik seperti Batu Hidang dan Batu Gajah.
Menurutnya, beliau tertarik dengan cerita mengenai kewujudan orang bunian di Batu Hidang, selain 'keunikan' Batu Gajah yang dikatakan mampu mengembalikan tenaga kepada mereka yang melakukan ritual di situ.
"Di laluan ini juga terdapat mata air yang muncul dari celah batu yang mengalirkan air ke Pahang dan Perak," katanya yang banyak merakamkan gambar tumbuhan-tumbuhan dalam ekspedisi ini.
Selain itu, katanya, terdapat satu kawasan laluan angin yang tetap berkabus tebal walaupun jam menunjukkan pukul 10 pagi.
Arnie Azlina Taharuddin, 36, turut berkongsi cerita. Katanya, laluan Mat Kilau itu memang sesuai diketengahkan sebagai lokasi pelancongan.
Ini kerana katanya, terdapat banyak pilihan aktiviti yang boleh dilakukan di sepanjang laluan tersebut.
"Ia bukan sekadar laluan berjalan kaki, malah kita juga boleh berbasikal lasak atau menunggang motosikal lasak di laluan yang sama," ujarnya.
Berikutan itu, beliau berharap ada pihak meletakkan papan kenyataan yang tertera maklumat mengenai sejarah kewujudan Trail Mat Kilau di Kem Sangka dan Ulu Slim, Perak.
Beliau turut mencadangkan supaya didirikan pondok rehat di sepanjang laluan sejauh kira-kira 17 kilometer itu.
"Dengan adanya pondok rehat itu, dapatlah peserta program berehat sambil menikmati pemandangan alam sekeliling yang mendamaikan," tambahnya.
Iza Shahril Idris, 40, bersetuju dengan pandangan rakan-rakannya itu terutama perkara berkaitan aktiviti berbasikal lasak yang perlu diketengahkan dalam program merentas Trail Mat Kilau.
"Laluan ini sesuai untuk aktiviti berbasikal merentas banjaran. Namun, saya harap ada usaha dilakukan bagi memisahkan laluan hiking dengan laluan 4x4," katanya yang menganggap kenderaan 4x4 menyebabkan laluan berlumpur selepas hujan, sekali gus menyukarkan peserta program berjalan kaki meneruskan perjalanan.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kemudahan inap desa (homestay) disediakan di kedua-dua negeri, Pahang dan Perak bagi kemudahan peserta program untuk bermalam.
"Perjalanan memakan masa sehari suntuk, jadi sesuai sangat jika inap desa disediakan untuk kemudahan peserta program bermalam," tambahnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140809/lk_05/Tarikan-laluan-Mat-Kilau-mengujakan#ixzz3AEMNdjgJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment