Dimanakah warna warni Islam? (Sinar Harian 2.5.16)
Kadangkala sedih melihat organisasi Islam, penuh dengan orang Melayu, seolah-olah tidak ada Cina, India, orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak. Hatta organisasi yang paling dekat dengan mereka selaku asnaf, seperti Institusi Zakat, tidak ada seorang pun mualaf dilantik.
Penuh dengan Melayu berpangkat, orang kaya itu dan ini, Tan Sri, Puan Sri, Dato Datin dan sebagainya, seolah-olah tidak ada mualaf. Jika sekadar pangkat dan gelaran menjadi ukuran kadangkala perompak pun dapat. Pergilah buat kajian.
Sebab itu saya cukup tabik dengan kata-kata Ketua Pemuda UMNO, gelaran dan pangkat akan menjadi kita semakin jauh bukannya semakin rapat jika disalahgunakan.
Jangan haraplah ada mualaf yang akan dilantik ke jawatan tinggi di institusi Islam yang lain seperti Jabatan Agama, Majlis Agama, JAKIM, YADIM dan sebagainya. Usah diimpikan untuk menjadi KSN, KSU, Naib Canselor dan sebagainya. Lebih kelakar lagi, pos pengarah Jabatan agama, khas untuk PTD, sedangkan membaca selawat dan doa pun tidak lepas. Mualaf hanya ditempatkan di bahagian mualaf. Menitis air mata menaip artikel ini.
Hatta, nak buat masjid berseni bina Cina di kawasan Tun Razak Exchange pun menjadi isu besar. Nak cakap perpaduan Islam macam mana? Harap perpaduan Melayu sahajalah.
Saya harapkan wacana perpaduan atau multaqa perpaduan yang akan bersidang tidak lama lagi tidak menjadi agenda Melayu. Ya, Melayu tersepit hari ini dek kerana perpecahan yang tidak dapat dibendung, menjadi nyawa-nyawa ikan. Maka seruan perpaduan pun dilaungkan.
Adakah laungan ini hanya berkumandang ketika tersepit sahaja? Selama tidak tersepit, mualaf tidak dipandang. Apakah semua mualaf ini bodoh? Bumiputera pun bukan? Bangunlah wahai umatku. Tunjukkan dan raikan warna-warni Islam. Jika tidak, jangan bercakap banyak pasal Islam, memalukan.
Sedarkah kita semua bahawa pengislaman orang Melayu di Alam Melayu dilakukan oleh orang Cina, selain Arab dan India? Teori kedatangan Islam membuktikan segalanya. Cina berjasa besar kepada pengIslaman Melayu, 600 tahun dahulu.
Ingat! Negara China telah menerima Islam lebih 1200 tahun. 1000 tahun lebih daripada orang Melayu. Kerana pendakwah dan pedagang Cinalah orang Melayu menjadi Islam. Jika tidak, mungkin ada lagi Melayu yang masih menyembah pokok. Maka benarlah kata-kata “tuntutlah ilmu walau sampai ke Negara China.
Hari ini tidak perlu buang duit dan tenaga pergi ke China. Melambak orang Cina di Malaysia. Adakah kita belajar daripada mereka? Dalam soal ekonomi? Kesatuan bangsa mereka mempertahankan bahasa jiwa bangsa dan banyak lagi.
Kita tidak pernah mahu belajar daripada Cina, malah asyik marah dan mengutuk Cina. Ya, saya turut mengutuk Cina yang ultra kiasu. Tetapi bagi Cina yang berjaya dan bukan musuh Islam, kita kena belajar daripada mereka. Tetapi kita memandang rendah kepada mereka, terutama Cina mualaf.
Selama lebih 30 tahun menjadi ‘mualaf’ saya tidak pernah meminta-minta. Apa yang ada pada saya hari adalah hasil titik peluh dengan izin Allah SWT.
Ultra kiasu tuduh saya macam-macam dapat habuan itu dan ini kerana menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Wal hal saya tidak dapat apa-apapun daripada orang Melayu atau UMNO.
Saya lantang menyuarakan hak Melayu dan Islam sehingga dilarang memasuki Sarawak dan Singapura kerana membela orang Melayu beragama Islam. Dibenci oleh sebahagian Cina dan sumpah seranah mereka. Saya tidak kisah itu semua kerana kita seagama. Jika ditakdirkan Melayu itu tidak Islam, tidak mungkin saya jadi begini.
Cuma kadangkala saya teramat sedih melihat cara kita atau orang Melayu memahami Islam. Bukan mereka tidak nampak, mereka nampak, tetapi buat-buat tidak nampak. Bukan mereka tidak faham, mereka faham, tetapi buat-buat tidak faham. Kuasa dan pangkat adalah segala-galanya walaupun terpaksa memijak orang lain, yang seagama.
Saya adalah antara tumpuan para mualaf mencurahkan perasaan mereka. Berapa ramai yang begitu kecewa apabila mereka dilayan seperti peminta sedekah apabila memohon bantuan zakat.
Apakah duit zakat itu kepunyaan bapak kita? Apabila memungut zakat penuh dengan senyuman. Tetapi apabila ada asnaf datang meminta bantuan, seolah-oleh mereka peminta sedekah. Nak jawab apa depan Allah nanti?
Berbeza dengan organisasi Kristian, mereka tidak teragak-agak melantik Cina Kristian jika terbukti mereka hebat dan layak. Sebab itu janganlah kecewa jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Tindakan kita terlalu rasis. Kita cakap banyak mengenai Islam, tetapi tindakan amat kemelayuan. Perpaduan apa yang kita laungkan?
Suatu hari ini saya nak tengok dalam PAS dan UMNO ada orang Cina yang memimpin. MCA janganlah diharapkan, Cina Islam tidak pernah mendapat tempat. Sebut sahaja MCA, pertubuhan ini terlalu rasis sehingga berani mengatakan Perlembagaan Persekutuan rasis.
Akhirnya, saya menyeru kepada kita agar meletakkan Ummatan Wahidah di hadapan, bukannya Melayu, pangkat dan gelaran. Melayu tak ke mana tanpa Islam. Lihatlah Islam daripada kaca mata yang luas, bukan bangsa
http://ridhuantee.blogspot.my/2016/05/di-manakah-warna-warni-islam.html
No comments:
Post a Comment