PERBUALAN rancak antara beberapa rakan baik kumpulan WhatsApp, menarik perhatian penulis, apatah lagi ia membabitkan isu pelik dan lucu, tetapi benar-benar berlaku kepada generasi muda sejak akhir-akhir ini. Ia berkaitan aplikasi kamera dan auto-edit yang mampu mencantikkan wajah atau lebih mudah dikenali sebagai Beauty Apps. Antara paling popular Camera360, Perfect365, Selfie Photo Editor, BeautyPlus dan moreBeaute2. Memang diakui aktiviti selfie dalam kalangan pengguna telefon pintar kini mencetuskan kegilaan terhadap Beauty Apps yang sering kali digunakan untuk memaksimumkan rupa paras individu supaya kelihatan lebih menarik dan 'muda'.
Namun, agak menggelikan hati apabila membaca keluhan rakan kumpulan WhatsApp yang berhadapan pengalaman menerima resume graduan menggunakan gambar dihasilkan daripada aplikasi Beauty Apps. Beberapa usikan rakan yang terdiri daripada majikan di syarikat swasta dan usahawan, menyifatkan ada graduan yang sangat menarik dalam resume menyamai penyanyi kumpulan k-pop Girls Generation. Namun, mereka dikecewakan ketika sesi temu duga apabila calon hadir dengan rupa yang jauh berbeza daripada gambar resume, bahkan ada antaranya kelihatan lebih berusia. Bingkas penulis menggunakan komen itu untuk menghubungi beberapa lagi individu penting di bahagian pengambilan pekerja syarikat terkemuka negara dan hasilnya mengesahkan 'barah' yang semakin menular dalam kalangan graduan.
Tinjauan penulis tertumpu kepada syarikat utama rebutan graduan untuk memulakan kerjaya dalam industri berkaitan penjagaan kesihatan, industri minyak dan gas, media serta industri perbankan. Walaupun pegawai bahagian pengambilan pekerja tidak menganggapnya sebagai kesalahan serius, ia memberikan pandangan pertama yang negatif ketika sesi temu bual dan menganggap mereka tidak jujur, kurang berkeyakinan serta kurang matang. Pakar Motivasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, berkata dari aspek psikologi, graduan terbabit mungkin ada masalah keyakinan diri yang rendah, lebih-lebih lagi berhubung aspek kecantikan pada diri sendiri. Katanya, graduan berasakan kecantikan adalah aset sangat penting bagi menarik perhatian majikan supaya meningkatkan peluang dipilih bagi sesuatu jawatan atau sekurang-kurangnya dipanggil temu duga.
"Sekiranya terpilih untuk jawatan atau temu duga berkenaan, ketika itu barulah graduan berpendapat mahu menunjukkan segala aspek yang dimilikinya, terutama dalam aspek kemahiran insani (soft skill). "Oleh yang demikian, graduan memilih jalan ini bagi mendapatkan pekerjaan walaupun sebenarnya perkara terbabit dilihat sebagai satu perkara yang tidak releven," katanya kepada ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengulas lanjut, Fauziah berkata, graduan seharusnya sedar pemilihan sesuatu pekerjaan bukan daripada rupa paras atau personaliti semata mata, tetapi lebih dipengaruhi aspek pencapaian akademik, kemahiran insani dan kepakaran bidang yang diperlukan. Sehubungan itu, katanya, dari sudut psikologi, individu seperti ini memanipulasi sesuatu tanpa menonjolkan diri sebenar manakala dari sudut patologi mereka takut kepada penolakan masyarakat atau bertindak seperti itu selepas beberapa kali ditolak.
"Bidang pekerjaan adalah bidang realiti, justeru graduan perlu matang dan bijak bertindak bagi merebut peluang demi membina kejayaan masa depan yang cemerlang. "Orang yang suka tiru meniru ini secara asasnya mempunyai daya kendiri yang rendah, motivasi yang lemah dan tidak mampu berhadapan dengan cabaran, kesannya mereka menggunakan imej lain untuk kepentingan diri. "Individu ini perlu dibantu supaya dapat menonjolkan diri mereka yang sebenar dan belajar cara berhadapan cabaran penolakan masyarakat, justeru saya menasihatkan supaya graduan terbabit mengikuti program meningkatkan keyakinan kendiri," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/macam-macam-adawajah-tipu-untuk-berjaya.html
No comments:
Post a Comment