SHAH ALAM: Jumlah perolehan undi calon Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Azhar Abdul Shukor yang mengatasi calon PAS, Dr Abdul Rani bukan sesuatu yang menghairankan kerana parti baru itu mendapat sokongan pengundi Cina yang didokong oleh DAP.
Penganalisis politik, Edwin Michael berkata, ini kerana salah satu DUN di Parlimen Sungai Besar iaitu Sekinchan, adalah kubu kuat kepada DAP, iaitu rakan sekutu PAN yang menjadi penggerak utama kempen parti berkenaan.
"Kalau kita lihat Sekinchan itu merupakan kubu kuat kepada DAP. Ini fakta, dan kalau dilihat kepada pecahan undi di Sekinchan, Amanah (PAN) yang mendapat banyak undi di kawasan Sekinchan. Itu salah satu faktor yang menyumbang kepada undi yang banyak bagi Amanah (PAN) di Sungai Besar," katanya kepada Antarapos.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kelebihan undi yang berpihak kepada PAN berbanding PAS di parlimen berkenaan turut didorong oleh faktor 'hudud' yang jelas mendapat penolakan pengundi Cina.
"Agenda DAP kita dapati memang menekankan bahawa mereka tidak akan menyokong PAS kerana agenda hudud yang cuba dibawa PAS.
"Sebab itu kita dapati bahawa pola pengundian di kalangan pengundi Cina memang rata-ratanya memberikan sokongan kepada parti Amanah (PAN)," katanya sambil menambah, bantuan daripada PKR dan DAP turut menyumbang kepada jumlah undi PAN.
Dalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, Azhar mengatasi Dr Rani dengan 707 undi.
Azhar memperoleh 7,609 undi manakala Dr Rani yang juga ADUN Meru memperoleh 6,902 undi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/penganalisis-undi-cina-membolehkan-pan.html
No comments:
Post a Comment