SUNGAI BESAR - Empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun bersama tiga unit peralatan paraglider ditahan kerana melanggar Peraturan Penerbangan Awam 2016 berikutan penggunaan alat berkenaan semasa tempoh penamaan calon sebentar tadi.
Pegawai Perhubungan Media PDRM Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Asisten Khalil Ariffin berkata, keempat-empatnya ditahan pada kira-kira jam 10 pagi tadi di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Makmur, Sungai Besar.
"Tiga paraglider membawa bendera parti politik yang bertanding terbang melintasi ruang udara tempat penamaan calon berkenaan.
"Saya ingin memberitahu penggunaan dron atau paraglider adalah dilarang bermula dari tempoh penamaan hingga ke hari mengundi," katanya pada Sidang Media di IPD Sabak Bernam, tengah hari tadi.
Sebelum ini, penamaan calon PRK Sungai Besar diwarnai dengan kehadiran paraglider di ruang udara.
Paraglider tersebut yang membawa bendera parti politik itu berlegar-legar selama kira-kira 30 minit di ruang udara Dewan Seri Bernam.
Orang ramai yang berada di kawasan tersebut kelihatan begitu teruja dengan kehadiran paraglider berkenaan.
Sorakan penyokong parti politik itu bergema setiap kali paraglider berkenaan membuat lintasan di udara.
Dalam pada itu, Khalil memberitahu, proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Sungai Besar berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau provokasi dari penyokong parti yang bertanding.
"Polis berpuas hati dengan sikap matang semua penyokong parti politik yang hadir semasa penamaan calon di Dewan Seri Bernam sebentar tadi.
"Dianggarkan seramai 5, 000 penyokong parti-parti yang bertanding hadir berarak bersama calon masing-masing," katanya.
Khalil memberitahu, seramai 3, 000 anggota polis bertugas bermula pada jam 6 pagi tadi bagi memastikan hari penamaan calon pada hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Pengurus PRK Sungai Besar, Khairuddin Md Som mengumumkan tiga calon iaitu Budiman Mohd Zohdi dari BN, Dr Abdul Rani Osman daripada Pas dan Azhar Ab Shukur dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan, layak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRK-13) lalu, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada Pas, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi.
Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42, 365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun ini sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun.
http://celahgelegar.blogspot.my/2016/06/penamaan-calon-4-paraglider-terbang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment