
KUALA LUMPUR - PAS sekali lagi menegaskan pendirian parti itu untuk tidak kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, PKR dan PAN termasuk dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa supaya parti Islam itu berbuat demikian kelmarin namun PAS tetap berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah iaitu boleh kerjasama bersama pihak lain, tetapi enggan berganjak dan tiada sebarang kompromi dalam perkara membabitkan akidah Islam.
“Semua masalah wajib dipikul bersama serta wajib penyelesaiannya yang diimani secara ikhlas, bukan kerana merebut peluang dan kesempatan yang mengulangi jahat dan zalimnya pula.
“PAS mempunyai pendekatan tersendiri bersama Islam dan wajib beristiqamah dengannya sehingga mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat.
“PAS sedia berpakat tetapi tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia. Tidak ada tawar menawar dalam perkara akidah sehingga menjual atau mengadai atau memberi percuma dalam perkara tesebut kepada pihak lain semata-mata kerana kemenangan dunia tanpa akhirat sehingga memberi wala’ (ketaatan) kepada musuh Islam atau pengkhianat,” tegasnya dalam satu kenyataan rasmi PAS lewat malam tadi.
Mengulas lebih lanjut, apa yang dimaksudkan musuh Islam oleh Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada parti DAP dan PKR, manakala pengkhianat dipercayai merujuk kepada PAN dan mereka yang zalim pula adalah Mahathir dan pasukannya.
Jelasnya, matlamat PAS adalah menegakkan Islam maka PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas tersebut lalu memberi amaran kepada pihak yang mahu melanggar sempadan itu supaya jangan cuba mengheret PAS terkeluar daripada landasannya.
Ini kerana mereka yang menyertai PAS hanya memandang wawasan keduniaan tidak akan boleh bertahan kerana perjuangan PAS memandang kemenangan akhirat yang paling besar dan kemenangan dunia yang diuji menjadi jambatan ke akhirat.
Justeru, Abdul Hadi mengulangi penegasan PAS tidak boleh disertai oleh mereka yang cuma menjaga hubungan dengan manusia dan harta benda menyebabkan ada yang keluar daripada PAS secara suka rela atau dipecat dan mencari atau mencipta bahtera yang lain menjadi si luncai yang terjun bersama labunya.
“Belajar dan faham daripada al- Quran dan Sirah Nabawiyyah dan para salaf soleh. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan pandangan jalanan atau ilmu daripada syaitan yang meredah langit terbuka tidak mengira dosa dan pahala.
“Teruskan Istiqamah, jangan diheret oleh musuh yang berpura-pura, yang mengheret kita daripada “Al-Siratol Mustaqim”. Jadikan cahaya Islam ini lampu penyuluh jalan mencapai matlamat walau pun jauh dan panjang, namun tetap selamat dan inilah juga cara mengenal kawan dan lawan secara berhemat,” tegasnya.
Kelmarin, Tuan Ibrahim telah mengejutkan ramai pihak apabila menggesa seluruh kepemimpinan, ahli dan penyokong PAS kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh parti cauvanis DAP.
Beliau yang merupakan pemimpin tertinggi PAS tetapi pro-Pakatan Harapan `dalam diam’ mendakwa PAS dan Pakatan Harapan perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi bersama-sama menyerang parti Melayu UMNO, malah Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS melupakan segala perbuatan, penghinaan dan fitnah yang pernah dilemparkan DAP,PKR, PAN dan Mahathir ke atas parti itu.
Beliau turut memujuk seluruh pemimpin, ahli dan penyokong PAS supaya menghormati sebarang perbezaan dengan DAP dan PKR dalam isu akidah Islam sebagai langkah berkompromi.
“Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada,” dakwa Tuan Ibrahim.
Untuk rekod, PAS disingkirkan daripada gabungan pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR pada tahun lalu disebabkan PAS enggan tunduk kepada desakan supaya berkompromi dalam beberapa isu membabitkan akidah Islam yang dianggap DAP dan PKR boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang termasuk isu hudud.
Kedua-dua blok parti pembangkang itu kemudiannya bertindak menubuhkan Pakatan Harapan selepas membubarkan Pakatan Rakyat bagi membentuk gabungan baharu parti pembangkang yang turut dianggotai PAN, sebuah parti yang ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bertujuan menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam pakatan baharu parti pembangkang.
Tun Mahathir pula semalam mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu kononnya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS bagi menumbangkan kerajaan Malaysia.
Difahamkan, bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana berdendam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan memenuhi kepentingan peribadinya termasuk dalam pembinaan jambatan bengkok.
Tun Mahathir bertambah berang dengan Najib apabila usahanya untuk menjadikan pengikut setianya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu menemui jalan buntu.
Ekoran itu, Tun Mahathir dan kumpulan penentang dalaman UMNO bertindak meninggalkan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP, PKR dan PAN bagi mengkhianati parti terbesar kaum Melayu tersebut.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/parti-baharu-pas-bertegas-tidak-akan.html
No comments:
Post a Comment