Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan terbaik kepada bakal penggantinya apabila bersara kelak.
Malah beliau akan berpesan kepada bakal penggantinya supaya membawa negara dan parti lebih baik daripada apa yang dilakukannya.
Katanya, perkara itu amat penting kerana ini merupakan kesinambungan perjuangan UMNO yang diwarisi daripada kepemimpinan terdahulu.
“Apakah perjuangan kita (UMNO) selesai selepas zaman saya, tentu tidak dan apabila bersara nanti, saya akan menyerahkan parti dan kerajaan dalam keadaan terbaik, jauh sekali dalam keadaan lemah kerana parti ini bukan milik sesiapa, parti adalah warisan harta pusaka kita.
“Sebab itu saya menghargai Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau berpesan kepada saya, Najib saya nak kamu bawa negara ini ke satu tahap yang lebih tinggi daripada masa saya dan saya akan amat gembira kalau kamu berjaya.
“Saya akan pinjam ayat ini, apabila sampai masa, saya akan beritahu kepada bakal pengganti ayat yang sama dan bukannya nak mengganggu pengganti saya, jauh sekali hendak tubuhkan parti baharu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu yang juga Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abd Aziz.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden UMNO menyelar golongan tertentu terutama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggunakan kaedah bertentangan dengan perjuangan untuk menghancurkan UMNO semata-mata bagi mencapai matlamat peribadinya.
“Saya pantang, kalau tak suka tak apa, ada perselisihan pendapat tak apa, kerana itu biasa, kita ada cara untuk selesaikan masalah dalam parti, dalam Islam anjurkan musyawarah selesaikan dalam mesyuarat.
“Islam tidak suruh serang pemimpin hatta Nabi Musa, Tuhan suruh tegur Firaun dengan baik, Tuhan tak suruh jatuhkan kerajaan Firaun. Saya tidak kata saya betul semua tetapi ikut kaedah jangan guna kaedah yang tidak beradab,” katanya.
Tambahnya, ahli-ahli UMNO wajib mempertahankan parti dengan kasih dan sayang serta tidak terpengaruh demi meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Utusan
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/serah-parti-kerajaan-dalam-keadaan.html
No comments:
Post a Comment