SHAH ALAM: 'Berprinsiplah dalam membuat keputusan', itu peringatan tegas Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin kepada pimpinan PKR yang mahu menjalin kerjasama politik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, sekiranya PKR menerima huluran kerjasama daripada mantan Perdana Menteri yang didakwa menzalimi Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia memperlihatkan sikap parti itu yang hipokrit dan tidak berprinsip.
Chegubard, adalah antara aktivis PKR yang menentang Dr Mahathir kerana pemimpin itu didakwa diktator, tidak amanah selain menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pemimpin itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"(Soal Mahathir perlu minta) maaf atau tidak maaf itu soal peribadi, tapi Mahathir perlu pulangkan hasil rompakan yang membuatkan anak-anaknya kaya sekarang, yang mana sistem negara hancur kerananya, beliau bertanggungjawab atas apa yang berlaku tapi tidak bertanggungjawab.
"Akhirnya dari aspek politik, kerjasama politik parti pembangkang dengan Dr Mahathir akan memperlihatkan kepada rakyat bahawa kita ini hipokrit.
"Saya risau pengadilan rakyat dan pengundi. Mereka (parti) mengambilkira hanya pandangan sekelompok kecil yang ghairah tak tentu arah. Tapi rakyat membaca politik ini dengan matang dan bijak," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Anwar.
Mahathir semalam ketika ditanya pemberita sama ada pertemuannya dengan Anwar beberapa hari lalu membincangkan kerjasama antara partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan PKR, hanya menjawab, beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan Anwar.
Menurut Mahathir lagi, kerjasama antara parti pembangkang diperlukan jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu tegas Chegubard lagi, PKR seharusnya menyelesaikan isu dalaman parti dan Pakatan Harapan terlebih dahulu sebelum 'gopoh' bekerjasama dengan pihak lain.
"Tumpuan yang paling penting adalah menyelesaikan isu di kalangan pembangkang, antaranya bertanding satu logo. Keduanya, isu kesepakatan dalam mengikat prinsip-prinsip membuat keputusan.
"Bukan kata datang Dr Mahathir, malah datanglah Ultraman sekalipun untuk bersama pembangkang, tapi kalau isu kesepakatan pembangkang tidak diselesaikan, ia tidak bererti apa-apa," ujarnya, yang turut merujuk isu pertembungan sesama pembangkang sewaktu pilihan raya negeri Sarawak, Mei lalu.
Ultraman adalah watak dongeng popular Jepun yang sering menyelamatkan Tokyo daripada serangan raksaksa dan amat popular di kalangan kanak-kanak.
Pakatan Harapan yang merangkumi, PKR, DAP dan Amanah masih belum berdaftar sebagai sebuah parti politik seperti Barisan Nasional. Ketiga-tiga parti pembangkang itu duduk semeja namun menggunakan logo parti masing-masing semasa pilihan raya.
Mengulas mengenai kerjasama antara Anwar dan Dr Mahathir bersabit isu Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, ujar Chegubard, mantan perdana menteri itu sama sekali tidak layak membicarakan perkara berkenaan.
"Beliau tidak layak, beliau (Dr Mahathir) dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang jauh lebih zalim. Beliau nak bercerita mengenai kuasa raja? Beliau yang cabul kuasa raja dan istana jauh lebih teruk. Ia memberikan kelebihan kepada Najib apabila meletakkan Dr Mahathir sebaris dengan pimpinan utama.
"Saya minta untuk semua pimpinan (parti), muhasabah, bertenang sedikit dan jangan terlalu ghairah.
"Lihat rakyat...mereka mahu tengok kita ini obses kuasa semata-mata, ataupun kita ini dilihat lebih berprinsip. PKR selama ini diundi bukan semata-mata soal kuasa, tapi sebab kita ini ada prinsip, kecekalan yang mempertahankan prinsip. Kalau mereka lihat PKR boleh 'kautim'(berkompromi), apakah orang mahu beri undi lagi? " sindir beliau.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/09/mahathir-bukan-ultraman-chegubard.html
No comments:
Post a Comment