KENDERAAN dengan nombor plat asing (luar negara Singapura) pastinya selepas ini akan berasa terus terbeban jika mahu masuk ke negara republik tersebut.
Ini gara-gara pemerintah Singapura memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) yang akan dikuatkuasakan pada 15 Februari depan terhadap mana-mana kenderaan tanpa nombor plat Singapura.
Semua kereta dengan nombor pendaftaran asing yang hendak memasuki Singapura akan dikenakan RRC berjumlah SD6.40 sen atau RM20 bagi sekali masuk jika melalui Tuas atau Woodlands.
Perkara ini ditentang oleh Pemuda Umno Johor melalui kenyataan ketuanya Hahasrin Hashim dengan berkata, rakyat Malaysia khususnya yang menetap di Johor Bahru dan bekerja di Singapura, ketika ini menanggung kos perjalanan keluar masuk ke republik itu sebanyak RM145.08 sehari.
Dengan penambahan caj baru tersebut, katanya, mereka terpaksa membayar sejumlah RM165.05 bagi perjalanan pergi dan balik ke Singapura.
Hahasrin berkata, selama 44 tahun kerajaan Singapura telah memperkenalkan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) tetapi kerajaan Malaysia tidak bersikap “terlalu sensitif dan melatah” dengan mengenakan caj timbal balik kepada mereka.
Sumber memaklumkan kepada portal Tv14, helah disebalik mengenakan caj RRC itu adalah disebabkan strategi baharu pihak Kerajaan Singapura yang mahu melariskan penjualan kenderaan (khususnya kereta) di negara mereka.
Umum mengetahui, sekarang ini harga kereta di Singapura adalah antara tertinggi di dunia. Seperti yang disiarkan dalam portal Tv14 sebelum ini, memetik laporan media tempatan Singapura, kadar sijil kelayakan atau certificate of entitlement (COE) untuk kereta kategori A iaitu kuasa kuda 1,600cc sehingga kereta saiz kecil di bawah 130bhp ditutup pada serendah S$67,889 (RM175,144) berbanding kadar lama bulan lalu ditetapkan S$64,900 (RM167,433).
Manakala premium untuk kereta saiz besar lebih 1,600cc iaitu kategori B menokok daripada S$70,890 (RM182,896) kepada S$72,890 (RM188,056). COE kenderaan perdagangan termasuk bas, lori dan van komersial naik kepada S$65,001 (RM167,702) daripada S$63,701 (RM164,348) sementara kategori terbuka semua jenis kenderaan ialah S$73,900 (RM190,662) berbanding S$71,300 (RM183,954).
Oleh sebab itu tak mustahil sesiapa yang berminat membeli kereta di republik tersebut boleh dianggap sebagai antara orang terkaya di rantau ini.
Atas faktor inilah mungkin industri penjualan kenderaan Singapura dianggap suram sehingga wujudnya sindiket menjual kereta murah di sana.
Apatah lagi pada penghujung tahun lalu sebuah media rasmi negara tersebut sendiri mendedahkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura mencatatkan angka negatif (-) peratus.
Ditambah lagi dengan laporan dari Reuters News yang melihat Singapura sudah ditahap tertekan kerana pelbagai faktor. Lion City itu sedang menuju ke arah kemelesetan, atau kemerosotan ekonomi selama dua suku berturut-turut, selepas ekonomi yang bergantung kepada perdagangan itu menyusut 2 peratus pada suku Julai-September tahun lalu.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengakui bahawa pertumbuhan yang rendah mungkin menjadi “perkara normal yang baru”. Sesetengah ahli ekonomi menggelar Singapura sebagai ‘the new sick man of Asia’ (orang sakit baru Asia), menggantikan Filipina, yang mana ekonominya kini semakin bertumbuh hampir empat kali lebih cepat.
Maka tak mustahil kereta Malaysia dan negara asing yang lain telah menjadi ‘mangsa’ terhadap kejatuhan ekonomi Singapura. Kerajaannya terpaksa mengenakan caj RRC ini demi memastikan industri kereta di sana kembali berkembang seiring dengan hasrat Perdana Menterinya yang mahu terus digelar ‘Lion of Asia’.
Namun, tindakan pemerintah Singapura yang menggunakan kaedah caj RRC ini merupakan langkah yang ‘kurang mesra jiran’ khususnya buat rakyat Malaysia. Walaupun kadar RRC hanyalah S$ 6.40 (RM20), rakyat Malaysia yang mahu memasuki bandaraya itu perlu juga membayar dua caj lain iaitu tol dan Permit Masuk Kenderaan (VEP).
Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah di seberang sempadan sangat kecewa dan bimbang jika pengendali van sekolah mungkin menggunakan RRC sebagai alasan untuk menaikkan tambang yang sudah tinggi.
Justeru, pihak portal Tv14 berharap agar mana-mana pihak berwajib di Singapura dapat tampil menjelaskan tujuan sebenar caj RRC ini dikenakan. Adakah benar ia adalah salah satu strategi dari pihak mereka untuk melariskan penjualan kereta dan motor di republik tersebut? –Tv14
http://www.tv14.my/2017/01/17/caj-rrc-agenda-sulit-singapura-lariskan-jualan-kereta-dan-motor/
No comments:
Post a Comment