Pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah dalam usia 72 tahun 1.30 petang semalam tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Seribu kedukaan buat rakyat Sarawak. Sarawak bukan sahaja kehilangan seorang pemimpin yang berintegriti tetapi lebih daripada itu memiliki aspirasi tinggi untuk membawa Bumi Kenyalang ke tahap pembangunan lebih baik.
Allahyarham seorang ikon yang berjaya mengubah Sarawak dalam banyak segi dengan pendekatan dan perwatakan beliau sebagai seorang strategis.
Bak lilin yang membakar diri, beliau sebelum ini sedar dirinya berdepan penyakit jantung yang serius. Tetapi dalam kesakitan itu demi Sarawak, Adenan gagahkan diri.
Penulis sendiri yang berpeluang membuat liputan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 sekitar Mei tahun lalu hairan dengan kesanggupan arwah berbuat demikian.
Beliau hadir dalam kebanyakan majlis kempen Barisan Nasional (BN) biarpun dalam keadaan sakit. Bukankah itu menambah lagi kesakitannya?
Semua ini menyerlahkan keazaman tinggi dan kekentalan semangat Allahyarham untuk mentransformasikan Sarawak serta mengotakan segala janji kepada rakyat negeri itu.
Mac tahun lalu, Adenan berkongsi pengalaman dengan media saat-saat apabila beliau hampir meninggal dunia akibat sakit jantung tiga tahun lalu. Dan bagaimana beliau 'bersedia untuk kembali' kepada Pencipta.
"Tiga tahun lalu, saya memang sakit. Saya berada di IJN (Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur) dan di Singapura. Pada masa itu saya menyangkakan yang saya akan pergi. Saya panggil semua saudara saya, anak dan cucu saya.
"Mereka semua datang dan anda tahu bila anda panggil semua anak-anak dan cucu anda, kamu sudah pasti tahu apa sebabnya. Saya sudah bersedia untuk pergi. Namun Allah itu maha hebat dan saya pulih dan kembali normal," katanya.
Adenan yang mengambil alih teraju Sarawak daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014 dalam pertemuan itu bersyukur apabila Tuhan memberi nafas baharu - yang Dia seolah-olah menyampaikan mesej sebagai satu bayangan mengenai "apa yang patut saya lakukan".
Hasilnya dua bulan kemudian dalam PRN ke-11, 7 Mei 2016, BN yang diterajui Team Adenan menang besar menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Ini sekali gus suatu tsunami ke atas pembangkang yang menerima tamparan apabila terlepas sebahagian besar kerusi bandar pada PRN 2011.
Penulis dimaklumkan daripada sumber kerajaan negeri, sejak November lalu lagi tahap kesihatan Adenan agak merosot. Banyak program dan acara rasmi tidak dapat dihadirinya dan diserahkan kepada timbalan dan menterinya.
Bahkan, pada November, beliau sepatutnya hadir dalam satu majlis perjumpaan dengan belia di Kuching tetapi tidak dapat berbuat demikian.
Dalam ketegasan Adenan mentadbir Sarawak, tersembunyi hatinya yang murni tetapi mudah tersentuh.
Rakyat Sarawak tidak akan lupa bagaimana beliau membuat tuntutan autonomi daripada Persekutuan terhadap hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Adenan menghapuskan tol (tiada plaza tol lagi di Sarawak), cukai pintu serta berjanji dalam tempoh dua tahun (selepas BN menang) menyuntik RM2 bilion untuk pembangunan luar bandar Sarawak. Di bawah pentadbirannya, tiada lagi lesen baharu diberikan kepada syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak. Lebih 30 syarikat pembalakan ditutup.
"Saya ingin hentikan pencabulan terhadap hutan-hutan kami. Saya ingin hentikan kemusnahan terhadap alam sekitar kerana isu ini mempunyai kaitan dengan rasuah," kata Adenan dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya, September lalu.
Hasrat beliau tinggi untuk mengubah Sarawak secara drastik dengan beliau sendiri 'menghitung' bulan dan tahun.
Pemerhati politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir yang turut dihubungi penulis semalam menyatakan rasa hairan dari mana Adenan mendapat kekuatan untuk bekerja.
"Beliau juga suka menyanyi dan menghiburkan rakyat. Allahyarham suka makan di mana yang beliau suka tanpa protokol. Juga tidak mahu gelaran panjang-panjang, simple sahaja," kata Jeniri.
Allahyarham memahami aspirasi rakyat Sarawak, maka tidak hairanlah BN berjaya menterjemahkan sehingga 85 peratus sokongan rakyat Bumi Kenyalang.
Adenan pemimpin ikhlas, merendah diri. Beliau menjadi ikon politik baharu dan meninggalkan legasi yang akan dikenang sampai bila-bila.
Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang soleh.
Suara Politik
Belantan
http://blog2-barisan.blogspot.my/2017/01/belantan_13.html
No comments:
Post a Comment