Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday 13 April 2017

APA NASIB LITAR LUMBA SEPANG?

 
Litar Sepang tidak akan menjadi ‘gajah putih’ walaupun kerajaan memutuskan untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) mulai tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata walaupun tiada lagi perlumbaan F1 dianjurkan, Litar Sepang tetap akan menjadi tuan rumah kepada acara MotoGP yang mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan permotoran berbanding perlumbaan F1.
“Saya telah berbincang dengan perdana menteri dan pihak pengurusan SIC. Kita minta agar SIC dapat membawa perlumbaan lain bertaraf antarabangsa seperti GT dan setaraf dengannya yang ada pengikut dan penyokong yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Larian Obor Kuala Lumpur (KL2017) sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan media hari ini berkata kontrak penganjuran F1 ditamatkan bermula tahun depan berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran perlumbaan itu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata keputusan itu dibuat setelah menjalankan kajian yang teliti dengan melihat kepada keuntungan yang diperoleh berbanding pelaburan yang dibuat untuk mengekalkan perlumbaan F1 di Malaysia.
“Satu ketika, kita merupakan satu-satunya Grand Prix (F1) yang ada di Asia selain Jepun. Ketika itu kita membawa kelainan tapi kini Malaysia bukan satu-satunya negara di Asia, sudah ada Singapura, China dan negara-negara Arab.
“Kita tidak lagi bawa kelainan dan dari segi liputan pula semakin menurun,” katanya.
Beliau berkata penamatan kontrak penganjuran F1 itu juga membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada program pembangunan sukan permotoran di peringkat akar umbi termasuk mewujudkan litar perlumbaan di beberapa negeri.
Selain itu, Khairy berkata kerajaan juga akan menggunakan sebahagian peruntukan bagi penganjuran F1 setiap tahun untuk pembangunan pelumba-pelumba negara, pakar teknikal dan industri sukan permotoran tempatan.
“Ini juga berita yang baik kepada pelumba-pelumba negara seperti Jazeman (Jaafar), Nabil (Jeffri), Akash (Neil Nandy), Danish (Isyraf Danish Mohd Ghazali) dan pelumba lain di peringkat akar umbi.
“Kita boleh bangunkan bakat kita yang selama ini tidak mendapat pelaburan secukupnya,” kata beliau.
– Bernama
http://www.tv14.my/2017/04/07/apa-nasib-litar-lumba-sepang/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...