SC NASIHAT PELABUR AGAR BERWASPADA TERHADAP PENIPUAN PELABURAN COVID-19 DAN BURSA ASET DIGITAL TIDAK SAH
24 April 2020 | Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap mana-mana individu atau entiti yang cuba mengambil kesempatan atas perkembangan terkini Covid-19 untuk memperdaya mereka untuk melabur dalam skim pelaburan tidak sah.
SC juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur dalam bursa aset digital (DAX) yang tidak dibenarkan yang beroperasi di Malaysia, berikutan peningkatan bilangan pertanyaan dan aduan yang diterima oleh pengawal selia tersebut. SC telah memasukkan 12 lagi syarikat yang beroperasi tanpa lesen atau kebenaran SC di bawah senarai pantau atau Peringatan Pelabur di http://www.sc.com.my/investor-alert.
Pelabur yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak sah terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan dan pengubahan wang haram, dan tidak mempunyai akses kepada bantuan perundangan sekiranya berlaku pertikaian.SC mengingatkan para pelabur, agar hanya berurus niaga dengan Pengendali Pasaran yang Diiktiraf yang berdaftar dan diberi kebenaran oleh SC.
Pada masa ini, terdapat tiga Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang berdaftar bagi DAX, iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd. Selain daripada tiga pengendali yang disebutkan di atas, tiada platform dalam talian lain yang ada sekarang dibenarkan oleh SC untuk menubuhkan dan mengendalikan DAX di Malaysia.
SC juga mengingatkan semua pengendali DAX yang tidak sah di Malaysia agar segera menghentikan aktiviti mereka. Mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC adalah satu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti dan jika seseorang disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Orang ramai boleh membuat pengesahan sama ada pengendali aset digital berdaftar dengan SC di https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets. Selain itu, mereka hendaklah memaklumkan kepada SC sekiranya mereka mendapati mana-mana laman sesawang yang mencurigakan serta menerima panggilan telefon atau e-mel yang menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, terutamanya yang memberikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko.
Pertanyaan atau aduan boleh diajukan kepada SC di tel: +603 6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
No comments:
Post a Comment