Hari DUA 2.0.2.1.
Hidup adalah anugerah. Ia suatu perjalanan. Mulakan hari kita berpagi-pagian dengan Sang Maha Pencinta terlebih dahulu, sebelum mengadap insan lain di awal hari.
Sebaik membuka mata, perbanyakkan bersujud dan berbual dengan Allah Taala. Jadikan Allah sebagai teman sejati, hidup dan mati kita untukNya.
Jadikan hari kita hari yang penuh dengan kebaikan. Walau sesaat, seluruh waktu yang ada diisi dengan menimba ilmu, berkhidmat untuk manusia dana makhluk lainnya, dan memenuhi aktiviti dengan amalan yang berfaedah.
Semoga tahun baru ini kita menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Menjadi manusia yang lebih bermanfaat kepada seluruh alam. Allaahumma Ameen.
Jika kita berasa lapar, maka kita harus berusaha untuk mencari makanan untuk disuap ke dalam mulut. Makan tidak datanh bergolek begitu sahaja dari langit. Kecuali insan istimewa pilihan Allah sahaja.
Begitu juga ketika kita berusaha dan berikhtiar untuk meraih redha Allah selama hidup di dunia ini.
Kita tidak boleh berpeluk tubuh sahaja melihat kedahsyatan sihir bermaharajalela dan berleluasa. Kita mestilah usaha dengan segala usaha, kudrat, dan ilmu yang ada di samping membentuk kerjasama dalam usaha memerangi kuncu-kuncu Iblis.
Selagi kita masih hidup di dunia, kita masih hidup dengan syariat. Fahami hakikat kehidupan yang mempunyai hubungkait antara usaha, ikhtiar, bertawakkal dan berserah diri.
Tidak boleh berserah diri sahaja menunggu kejayaan, kemenangan, kebangkitan syiar Islam tanpa usaha dalam kehidupan bersyariat.
Benar, Allah menjamin kemenangan itu bagi hamba-hambaNya yang beriman.
Namun semuanya itu terjadi mempunyai asbab musabab dan hikmah di balik setiap sesuatu kejadian yang berlaku. Selagimana kita masih bernafas di dunia ini, inilah fitrah alam yang perlu difahami dalam beramal dan menjalani rutin kehidupan beragama.
Rasulullah juga melakukan gerak usaha dalam berdakwah, menyampaikan Tauhid di samping berjihad dan berperang demi agama. Bahkan Baginda Nabi mengajak para sahabat untuk ikut serta bersama Baginda dalam perjuangan dakwah untuk Islam kerana Allah.
Terlalu sedikit yang memahami hakikat di balik pencerahan hidup di alam nyata.
Bagi para kekasih Allah, mereka punyai karamah dan Allah kurniakan anugerah dan kebolehan untuk mendapatkan sesuatu secara mencarik adat dan seringkali beroleh sesuatu di luar kebiasaan.
Namun bagi manusia biasa, ia sesuatu yang jarang diperolehi dan bagi sesetengah yang jahil pula ada yang menganggap ia perkara mustahil. Dalam Islam, sebenarnya setiap orang boleh memperolehi pertolongan daripada Allah atas izinNya dan kehendakNya, ia dipanggil sebagai maunah.
Bagi manusia beriman, selagimana masih hidup di dunia maka wajib berusaha memerangi sekutu-sekutu Iblis dan Daccal dan tidak sekadar menunggu kebangkitan Islam itu tanpa adanya tindakan.
Orang yang bekerja di jalan agama sentiasa sibuk dengan tugas dan kerja-kerja yang diperintahkan Allah untuk dilaksanakan. Bekerja dengan Allah tidak ada istilah masa bekerja dari 9 pagi sehingga 5 petang. Ia adalah sentiasa, berterusan, selagi hayat dikandung badan. 24 jam sehari semalam.
Bagi orang yang tidak mengetahui peranan dirinya di jalan Allah, dia akan terkapai-kapai tidak tahu arah yang perlu dituju dan selalu kebingungan lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang. Kerana selama ini diri tidak mencari. Roh bagai dikunci rapat. Pintu hati sentiasa tertutup.
Maka jika seseorang mengetahui peranan dirinya dan dia memahami bahawa dia bekerja untuk Allah dan keranaNya, maka tiada istilah ganjaran mahupun balasan dalam menggalas setiap tugas.
Melainkan semuanya dilakukan dengan ikhlas dengan hati yang kuat bergantungan kepada Allah dan kekuasaan Allah yang Maha Memberi dari segala segi melalui berbagai asbab di sekeliling kita.
Barangsiapa yang suka memberi, dia mewarisi sifat Allah yang Maha Memberi.
Tanam azam pada tahun ini, agar setiap waktu hati kita sentiasa mengutamakan Sang Pencipta melebihi yang lainnya.
Mulakan hari kita dengan dengan cinta dalam amal dan ketaatan kepada Allah. Dan akhirilah hari kita dengan cintaNya.
Begitulah jua permulaan dan pengakhiran hidup kita. Sepertimana hari kita sehari-hari. Biarlah awal dan akhir hidup ini hanya dipenuhi dengan rahmat Allah dan juga cintaNya.
Selamat berjuang dalam kehidupan. Semoga tahun ini Allah mengurniakan limpahan rahmat, berkah, keampunan, dan pemeliharaanNya untuk kita semua.
4 Januari 2020
8.19 malam
#HaqqulYaqin #HidupuntukAllah #taqwajourney #PersonalLifeCoaching #BahagiaDenganAllah
#SeeNA #SeeNothingButAllah
No comments:
Post a Comment