Arkib : 24 Mac 2021
Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dilanda suatu polemik iaitu kontroversi definisi perkataan 'Keling' daripada suatu definisi perkataan lain. Selepas diasak atas bawah, kiri kanan selama beberapa hari, akhirnya mereka bersetuju menukarkannya dengan perkataan yang lain.
Saya tidaklah mahu komen akan teknikaliti definisi perkataan tersebut, walaupun secara sejarah dan budaya setempat bangsa Melayu turun temurun telah menggunakan istilah tersebut. Tetapi, kita faham bahawa masyarakat India tersinggung dengan perkataan tersebut dan tidak mahu lagi perkataan tersebut digunakan merujuk kepada bangsa mereka walaupun kita difahamkan pada 2009 Mahkamah Tinggi membenarkannya.
Namun, saya ingin membangkitkan suatu persoalan di sini. Mengapakah DBP begitu mudah mengambil tindakan dalam isu ini, tetapi sampai sekarang DBP sebagai badan berautoriti dalam Bahasa Melayu masih berdiam diri dalam isu Kalimah Allah apabila ada pihak yang sesuka hati memberikan definisi baharu sesuka hati atas dasar Bahasa Melayu.
Situasinya lebih kurang sama, umat Islam tersinggung apabila kalimah Allah disalahguna oleh pihak lain untuk menyebarkan dakyah mereka. Malah, sudah banyak dokumentasi bahawa penyalahgunaan kalimah Allah ini adalah sebahagian daripada strategi dakyah Kristian sejak zaman penjajahan pra-British lagi. Apakah isu kalimah Allah kurang pentingnya dari isu perkataan 'Keling'?
Isu kalimah Allah ini sudah tercetus sejak tahun 1986, dan kita masih tidak nampak DBP memainkan peranannya sebagai badan autoriti untuk bahasa kebangsaan kita. Sudah pasti umat Islam terutamanya oran Melayu berasa sangat tersinggung dengan 'double standard' ini. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan tercalarnya kesucian agama mereka dan kegagalan DBP menaungi bahasa mereka.
Kini DBP bergelut pula dengan kes saman dalam isu perkataan 'Keling'. Saya pasti, umat Islam taklah sampai tahap tergamak ingin menyaman DBP untuk isu Kalimah Allah tetapi ianya pasti tidak mustahil. Maka, kita desak agar DBP segera bertindak menyatakan pendirian dalam isu Kalimah Allah.
Sultan sudah bertitah. Kementerian dalam Negeri sudah melawan kembali di mahkamah. NGO-NGO Islam dan Melayu sudah bangkit bersuara. Apa lagi DBP takutkan?
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
24 Mac 2021
No comments:
Post a Comment