Jika anda ‘selusuri’ sejarah silam mana-mana perniagaan, pasti anda dapati bahawa kebanyakan pengasasnya pernah merasai pahit manis pengalaman sepanjang berniaga. Ini juga turut dirasai oleh syarikat pembuatan rempah yang tidak asing lagi dalam industri rempah tanah air, iaitu Mak Siti.
Mengimbas kembali, segalanya bermula pada 1981 dahulu apabila pasangan suami isteri, Nasuha Kasian dan Siti Hajir Salleh yang tinggal di kawasan setinggan di Gombak, Kuala Lumpur ketika itu ingin keluar daripada kemiskinan.
Terlalu lama menelan pahitnya kesusahan, tiada apa lagi yang ada dalam ‘kantung’ pasangan ini melainkan sedikit ilmu resipi rempah turun-temurun yang diwariskan oleh ibu Siti Hajir.
Dengan bermodalkan hanya RM6,000 dalam tangan mereka yang dipinjam daripada ibu mertua, pasangan ini tekad memulakan perniagaan rempah secara kecil-kecilan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Tun Razak, Cheras ketika itu.
Difahamkan pada awalnya, hanya empat jenis rempah-ratus yang dihasilkan iaitu rempah ikan, daging, kurma dan sup. Jualannya pula tidaklah begitu rancak, sebaliknya hanya ‘biasa-biasa’ dan cukup sekadar mengisi perut keluarga sahaja.
Namun berkat usaha gigih dan semangat tidak berputus asa, perniagaan rempah mereka mula berkembang sedikit demi sedikit dan akhirnya berjaya membawa kepada satu pencapaian yang lebih baik dari tahun ke tahun.
Hari ini, rempah warisan yang dijenamakan sebagai Rempah Ratus Mak Siti telah bertapak kukuh dan mampu menghasilkan kira-kira 35 jenis rempah yang berjaya menebus pasaran dalam dan luar negara setakat ini.
Segala kejayaan ini adalah hasil usaha sama dua individu utamanya, iaitu pasangan Tuan Haji Nasuha dan isteri, Hajah Siti Hajir Salleh dan kini legasi rempah ini telah diwarisi oleh anak mereka selaku pemilik generasi kedua.
Cabaran datang, kami takkan lari
Menurut satu temubual khas bersama pemilik generasi kedua ‘Mak Siti’, Siti Khawa Jannah Nasuha, tidak dapat dinafikan bahawa memang banyak cabaran yang mereka tempuhi bersama selama ini.
Antara yang agak ‘menguji’ adalah cabaran kenaikan harga barang mentah, selain turut berdepan cabaran menjaga pekerja, pengedaran produk serta memastikan kepuasan pelanggan dapat dicapai pada tahap optimum.
“Untuk menguruskan tekanan, kami perlu tahu bahawa apa jua aspek pekerjaan atau perniagaan, ianya tidak akan datang dengan mudah. Maka, sekiranya cabaran datang, kami tidak akan lari tetapi cari jalan penyelesaian sama ada cepat atau lambat.
“Persaingan harus dijadikan sebagai pembakar semangat. Pesaing juga sebenarnya melengkapi ‘perjalanan’ kejayaan Mak Siti,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli baru-baru ini.
Percayalah, Mak Siti milik orang kita
Menyentuh tentang persaingan, cabaran lain yang Mak Siti hadapi daripada ‘pesaing’ lain adalah tentang isu kepercayaan terhadap keaslian sumber produk.
Pernah beberapa kali sebelum ini Mak Siti menerima tuduhan liar daripada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa syarikat pembuatan rempah ini dimiliki oleh golongan bukan bumiputera.
Perlu diingatkan, semua tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Malah apabila berlegar sesuatu tanggapan seperti ini, sebaiknya kita sebagai warga maya di media sosial perlulah untuk bertabayyun terlebih dahulu sebelum menerimanya.
Jika difahami susur galur sejarahnya dari awal, kita akan meyakini bahawa Mak Siti adalah syarikat pembuatan rempah yang dimiliki 100 peratus oleh anak pengasasnya sendiri, iaitu saudara seagama dengan kita.
Pandemik COVID -19, saat paling panik
Sama seperti perniagaan lain, Mak Siti juga turut terkesan dengan impak pandemik COVID-19 sejak wabak itu ‘menghantui’ negara bermula awal tahun lalu. Bagaimanapun berkat kesabaran, segalanya dihadapi dengan tenang.
“Alhamdulillah kami bersyukur kerana setiap ujian ada rahmat daripadaNya. Ketika awal pandemik, kami agak panik kerana kami sendiri tidak pasti adakah kami dibenarkan untuk beroperasi.
“Namun Alhamdulillah kerajaan membenarkan sektor industri pembuatan makanan yang berstatus ‘diperlukan’ (essential) untuk terus beroperasi,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, operasi jualan rempah Mak Siti ini bergantung kepada van sebagai kenderaan logistik. Maka berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak operasi logistik dan tenaga kerja mereka juga agak terganggu.
“Antara cabaran yang kami hadapi ketika itu adalah penyelenggaraan kenderaan tidak dapat dijalankan kerana pusat servis kenderaan tidak termasuk dalam ruang lingkup ‘servis yang diperlukan’ (essential service). Ada kenderaan kami yang tidak dapat bergerak kerana telah tiba tempohnya untuk diselenggara.
“Selain itu para petugas kami juga terkesan kerana terdapat halangan di atas jalan raya, di mana banyak laluan yang terpaksa ditutup. Tetapi ini tidak membakar semangat pasukan-pasukan kami kerana mereka sedar, mereka juga adalah ‘frontliner’ yang membantu masyarakat untuk mendapatkan rempah halal buatan Muslim,” katanya.
Walaupun pandemik pernah memberi kesan panik, namun ianya tidak sesekali mematahkan usaha syarikat. Malah jualan produk melalui van sepanjang PKP ini juga meningkat sebanyak 10 peratus berbanding waktu biasa. Memang sungguh di luar jangkaan.
40 tahun lakar sejarah gemilang
Untuk rekod, rempah Mak Siti sudah beberapa kali mencatat rekod cemerlangnya yang tersendiri sepanjang 40 tahun berdiri dalam dunia industri rempah negara.
Antara kejayaan terbesar yang dicapai setakat ini adalah jenama Mak Siti pernah dinobatkan sebagai ladang rempah terbesar di Asia oleh Malaysia Guinness Book of Record pada 2014 lalu.
Selain itu, Mak Siti juga pernah memenangai anugerah TESCO Award for Top 10 SME untuk tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2017 dahulu.
Sebagai syarikat pembuatan rempah antara yang terbesar di negara ini, Mak Siti juga telah menjalankan beberapa projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan yang memerlukan.
Tekad menabur bakti di samping berniaga, Mak Siti pernah membangunkan program keusahawanan untuk membantu mereka yang berniaga melalui program perniagaan secara ‘dropship’.
Selain itu, Mak Siti juga turut pernah menyumbang sejumlah ‘hasil rezeki’ perniagaan dalam bentuk zakat kepada kerajaan Johor.
Tidak kurang juga, sumbangan secara berkala pun turut disalurkan kepada sekurang-kurangnya 50 asnaf pada setiap minggu, selain sumbangan kepada madrasah-madrasah pada setiap bulan.
Malah pada setiap bulan juga, setiap warga kerja yang berkhidmat dengan cemerlang serta menyumbang kepada kelancaran operasi dan perkembangan syarikat juga turut diberikan ‘hadiah’ sebagai tanda penghargaan.
Berdiri kukuh atas sejarah 40 tahunnya sendiri, Mak Siti mempunyai visi dan misi syarikat yang lebih jauh untuk dilaksanakan. Syarikat ini berhasrat agar dapat meluaskan lagi pembekalan rempah-ratus ke dalam pasaran rempah halal di seluruh dunia.
Mak Siti seru nak bantu ibu-ibu jana duit poket sendiri
Seperti yang dikatakan tadi, Mak Siti turut menjalankan program keusahawanan buat mereka yang ingin mencari sumber pendapatan sendiri melalui sistem ‘dropship’.
“Program ‘dropship’ yang diasaskan oleh Mak Siti bertujuan untuk membantu suri rumah wanita yang benar-benar ingin membantu keluarga mencari pendapatan tambahan.
“Mak Siti berbangga kerana menjadi syarikat rempah pertama di Malaysia yang menjalankan program ‘dropship’,” jelas Siti Khawa lagi.
Sehubungan itu, bagi ibu-ibu atau suri rumah yang berminat untuk menjadi ‘dropship’ Mak Siti, maka bolehlah hubungi Mak Siti di talian 012-9330368 sekarang.
Jangan lupa juga untuk melayari laman Facebook rasmi Rempah Ratus Mak Siti, Instagram @maksiti1981, siaran Telegram ‘Menu Apa Hari Ini’ (MAHI) serta ‘subscribe’ saluran Youtube Rempah Ratus Mak Siti untuk mengikuti sebarang perkembangan terkini.
Ingat masakan mak..ingat Mak Siti!
Rempah Mak Siti Jom bantu produk Muslim HALAL KAN SEDAP (Low Res)
https://www.youtube.com/watch?v=mSgQ07dS6Mo
No comments:
Post a Comment