Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 20 February 2022

20 FEBRUARI 1952

Peristiwa Pada 20 Februari 1952 : Gerald Templer Sebagai Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu

Hari ini 70 tahun yang lalu, Gerald Templer dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. 

Pada Oktober 1951, Henry Gurney dibunuh dalam satu serang hendap komunis sewaktu negara di kemuncak darurat. Perdana Menteri UK, Winston Churchill melantik Templer, seorang pegawai senior tentera British, untuk menjadi Pesuruhjaya Tinggi yang baharu. 

Tugasan utamanya adalah menghapuskan pengaruh komunis yang melancarkan pemberontakan untuk menyingkirkan British & membentuk negara Marxis-Leninis. Keganasan kian meruncing sehingga British mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948. 

Di samping ketenteraan, teras usahanya adalah menerusi perang saraf. Memetik kata-katanya, “Jawapan kepada pemberontakan ini bukan disandarkan kepada menggerakkan lebih tentera ke dalam hutan, tetapi di dalam hati & minda rakyat.” 

Beliau mewujudkan skim insentif untuk memberi ganjaran kepada para pemberontak yang menyerah diri & individu yang membantu mereka menyerah diri. Makanan rakyat turut dicatu supaya mereka tidak boleh membantu mengisi perut komunis. 

Tanaman & ternakan komunis juga dimusnahkan dengan racun. Malah secara sulit, Templer mengupah pahlawan Dayak untuk memburu & memenggal kepala anggota gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang bersembunyi di dalam hutan. 

Turut diwujudkan “Kampung Baru (New Villages),” panggilan untuk kem tahanan yang menempatkan masyarakat etnik tertentu bagi mengawal pergerakan mereka daripada menjadi penyumbang kepada kelangsungan perjuangan komunis. 

Untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap British, dibina sekolah, hospital, klinik terutamanya di luar bandar serta dijana aktiviti sosial masyarakat. Langkah-langkah tersebut akhirnya berjaya melemahkan penentangan komunis menjelang pertengahan 1950-an. 

Templer tamat khidmatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu pada Mei 1954, namun darurat komunis itu hanya diisytihar tamat secara rasminya pada Julai 1960. 

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Britannica

#PeristiwaHariIni


-------------------------------------------------------------------------------

PESURUHJAYA TINGGI BRITISH DI TANAH MELAYU

Pada hari ini dalam tahun 1952, General Sir Gerald Templer, seorang Pegawai Tinggi Tentera British telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, menggantikan Sir Henry Gurney, iaitu Pesuruhjaya Tinggi yang telah mati ditembak oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap pada bulan Oktober tahun 1951. Inilah kali pertama kerajaan British di London melantik seorang pegawai tentera memegang jawatan awam di Tanah Melayu. 

Pelantikan seorang pegawai tentera sebagai pegawai awam adalah sesuai kerana Tanah Melayu sedang berada dalam keadaan darurat. Pelantikan General Sir Gerald Templer itu menunjukkan kerajaan British memandang serius terhadap ancaman pengganas komunis dan berazam untuk memperhebatkan lagi kegiatan menentang pergerakan itu di Tanah Melayu. General Sir Gerald Templer telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi sehingga bulan Mei 1954. Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau telah berjaya menahan dan mencegah kegiatan-kegiatan komunis dengan menggunakan taktik perang-psikologi untuk mempengaruhi dan menawan hati serta fikiran rakyat Tanah Melayu. Beliau telah menyusun kembali Pasukan Polis serta memperhebatkan lagi kegiatan-kegiatan Cawangan Khas Polis dalam usaha menangkap penyokong-penyokong komunis. 

Di perkampungan-perkampungan baru beliau telah menubuhkan pasukan kawalan kampung dan mengadakan catuan makanan supaya orang-orang di situ tidak dapat menolong pihak komunis. Beliau juga melancarkan perkhidmatan sosial dengan membina sekolah-sekolah rendah, hospital dan klinik-klinik rawatan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Banyak publisiti dibuat melalui radio dan risalah-risalah yang disebarkan ke dalam hutan untuk menggalakkan pengganas-pengganas komunis menyerah diri. 

General Templer juga telah menggalakkan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan tradisi rakyat Tanah Melayu dalam usaha menyatukan rakyat dan menimbulkan semangat bersatu. 

Sumber : Arkib Negara Malaysia


-----------------------------------------------

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

08 JULAI 1953 : Upacara Penyerahan Panji-panji regimen kepada Batalion Keempat Askar Melayu DiRaja


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...