Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 20 February 2022

20 JANUARI 1874

Arkib : 20 Januari 2019 Memperingati 145 Tahun Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874

MEMPERINGATI 145 TAHUN PERJANJIAN PANGKOR

Seratus empat puluh lima tahun lalu, pada tanggal 20 Januari 1874 telah termeterai Perjanjian Pangkor yang telah membawa implikasi yang besar dalam sejarah tanah air kita.

Sebagai penduduk Manjung, apatah lagi orang Pangkor, peristiwa ini sangat dekat dengan kita dan sewajarnya menjadi peringatan bersama dalam menanggapi masa depan negara.

Perjanjian Pangkor telah berlangsung di atas Kapal HMS Pluto yang berlabuh di perairan Dinding antara Lumut dan Pulau Pangkor. Antara kesan besar perjanjian ini adalah, Sultan Perak telah membenarkan Residen British mentadbir negeri-negeri Melayu bermula di Perak dan akhirnya menjangkau negeri-negeri Melayu lain.

LATAR BELAKANG PERJANJIAN PANGKOR

Terdapat 2 isu utama yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor :

1. Perang Larut yang menyaksikan pertempuran antara 2 kumpulan kongsi gelap Cina iaitu Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah. Perang ini menyebabkan keadaan sosio-politik di Larut yang dipimpin oleh Ngah Ibrahim menjadi tidak stabil. Industri perlombongan bijih timah yang dijalankan oleh British turut terjejas.

2. Perebutan takhta antara Raja Muda Abdullah dan Raja Bendahara Ismail setelah kemangkatan Sultan Ali al-Mukammal Inayat Shah. Jika mengikut urutan, Raja Muda Abdullah sepatutnya ditabalkan menggantikan Almarhum Sultan Ali. Namun, setelah 30 hari menanti, Raja Muda Abdullah masih tidak hadir pemakaman Almarhum Sultan Ali untuk dimasyur sebagai pengganti kerana takut dibunuh oleh Raja Di Hilir Yusuf (kerana persengketaan lama). Akhirnya, Orang-orang Besar Perak yang diketuai oleh Menteri Larut Ngah Ibrahim mengisytiharkan Raja Bendahara Ismail sebagai pengganti Sultan Ali dengan gelaran Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah dan bersemayam di Belanja, Parit.

Disebabkan 2 peristiwa ini, Raja Muda Abdullah telah meminta pertolongan British dengan menulis surat kepada Gabenor Negeri Selat Sir Andrew Clarke. Dalam surat tersebut, Raja Muda Abdullah menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris dengan syarat-syarat tertentu.

Surat ini memberikan British ruang dan peluang untuk menguasai negeri Perak seterusnya memonopoli perlombongan bijih timah yang sememangnya banyak di negeri Perak. Bertitik tolak daripada itu, British telah bersetuju untuk ‘membantu’ Raja Muda Abdullah dan akhirnya Perjanjian Pangkor pun diatur dan ditandatangani.

Antara isi penting Perjanjian Pangkor:

1. Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak yang baru dengan gelaran Sultan Abdullah.

2. Raja Bendahara Ismail (Sultan Ismail), diturunkan takhta dan dibenar menggunakan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen 1000 sebulan dan sebuah wilayah kecil di Belanja diserahkan kepadanya.

3. Menteri Larut Ngah Ibrahim dilucutkan jawatan daripada menjadi penguasa wilayah bijih timah Larut.

4. Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang pegawai British yang dinamakan Residen. Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

KESAN PERJANJIAN PANGKOR

Akibat daripada perjanjian ini, Sir James W.W. Birch telah dilantik sebagai Residen British yang pertama di Negeri Melayu. Dengan perlantikan ini, J.W.W. Birch telah campurtangan dalam semua urusan pentadbiran Negeri Perak sehingga mengetepikan peranan Sultan dan para pembesar.

Hal ini telah menyebabkan Sultan Abdullah tidak puas hati dan bertindak menyusun konspirasi bersama Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain untuk membunuh J.W.W. Birch. Turut sama dalam rencana ini adalah seteru lama Sultan Abdullah iaitu Sultan Muda Ismail (Raja Ismail).

Akhirnya, pada tahun 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak. Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, dan Pandak Endut telah dibicarakan di Larut dan dijatuhi hukuman mati. Sultan Abdullah, Laksamana Mohamad Amin dan Orang Kaya Ngah Ibrahim pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Sultan Muda Ismail pula bertindak melarikan diri ke Kedah dengan menaiki gajah. Dalam pertengahan bulan Januari 1876, Sultan Ismail yang telah masuk ke negeri Kedah bersama para pengikutnya. Baginda telah meminta perlindungan daripada Sultan Kedah, Sultan Zainul Rashid II. Sultan Kedah pula tidak mahu melindungi orang yang diburu oleh pihak British. Baginda telah memberitahu perkara tersebut kepada Lt. Colonel Anson (Gabenor British di Pulau Pinang) dan baginda telah diminta supaya membenarkan Sultan Muda Ismail memasuki sempadan Kedah dan kemudian menyerahkan Sultan Muda Ismail kepada British di Pulau Pinang. Pada 20 Mac 1876 baginda bersama 18 orang pengikutnya dibawa ke Pulau Pinang untuk berjumpa dengan Lt. Colonel Anson.

Lt. Colonel Anson telah menulis berkenaan peristiwa Sultan Muda Ismail dibawa bertemu beliau:

"Pada 23 Mac 1876, Raja Ismail telah dibawa ke pejabat saya di Pulau Pinang, dan beliau telah menyerahkan kepada saya segala Alat Kebesaran Kerajaan Negeri Perak. Saya dapati beliau seorang tua yang baik dan menyukakan hati. Saya sangat belas kasihan kepadanya. Oleh sebab Alat Kebesaran itu ada di tangan beliau, itu menunjukkan beliau adalah Sultan (Perak) yang sebenarnya...Adalah satu kesilapan besar melantik (Raja) Abdullah yang tak ada apa gunanya itu." (Haji Buyong bin Adil, 1981, Sejarah Perak, Dewan Bahasa & Pustaka.

Sultan Muda Ismail serta Alat Kebesaran Kerajaan Perak dihantar oleh Lt. Colonel Anson ke Singapura dengan kapal perang H.M.S. Ringdove. Ringdove telah sampai di Singapura pada 26 Mac 1876. Setelah semua Alat Kebesaran itu diserahkan kepada Gabenor William Jervois, pada 27 Mac 1876, baginda telah dihantar ke negeri Johor dan diserahkan di bawah jagaan Maharaja Johor (Maharaja Abu Bakar). Sultan Muda Ismail mangkat pada 4 September 1889. Beliau telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu dan telah diberi gelaran Marhum Mangkat di Sekudai.

IKTIBAR

1. Penjajahan British di negeri Perak adalah penjajahan sebenar. Walaupun sebahagian ahli sejarah menyifatkan negeri-negeri Melayu hanya menjadi wilayah naungan British, namun hakikatnya kita benar-benar dijajah. Benar, secara teknikalnya, British hanya meletakkan Residen sebagai penasihat. Namun, urus tadbir negeri tidak lagi dijalankan oleh Sultan dan pembesar, seluruh hasil negeri dieksploitasi, cukai dibayar kepada British, segala undang-undang dan hubungan luar dijalankan oleh residen British, urusan rasmi dalam bahasa Inggeris dan mahkamah dibicarakan oleh British. Walaupun secara ‘on paper’ British menggunakan istilah naungan (Protectorates), bukankah itu secara hakikatnya adalah penjajahan?

2. Perjanjian Pangkor seharusnya mengajarkan kita betapa ketidakstabilan ekonomi dan perebutan kuasa antara pemimpin akan membuka ruang kepada kuasa asing untuk mengintai ruang campurtangan dalam urus tadbir tanah air. Oleh yang demikian, para pemimpin politik, dalam kerakusan merebut kuasa, perlu berhati-hati agar tidak sampai menggadaikan kepentingan negara.

3. Iklim ekonomi yang kondusif penting dalam menentukan keharmonian sesebuah negeri. Apabila aktiviti ekonomi terganggu, akan timbul ketidakstabilan sosio-politik dikalangan rakyat. Oleh itu, penting bagi sesebuah kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik tanpa gangguan hingga menggaggu kestabilan.

4. Perebutan kuasa politik ada hadnya. Sebagai pemimpin yang bijaksana dan berhikmah, dalam amalan demokrasi, sewajarnya menghadkan percakaran politik ketika pilihanraya sahaja. Selepas tamat pilihanraya, seeloknya seluruh pemimpin tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang bersama-sama membina negara dengan ikhlasnya. Terus-menerus bertelagah dalam semua isu hanya merencatkan pembangunan dan keharmonian negara.

5. Pihak yang tewas dalam persaingan kuasa sepatutnya akur dengan keputusan dan tidak bertindak kurang bijak dengan meminta pertolongan daripada pihak luar. Sebagaimana yang berlaku kepada Sultan Abdullah yang memohon pertolongan daripada British, akhirnya memakan diri sendiri sehingga dirinya sendiri dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Perjanjian Pangkor merupakan 'turning point' utama dalam sejarah negeri Perak dan tanah air kita. Kesannya sangat signifikan hingga mempengaruhi sistem pentadbiran dan sosio-budaya negara hingga kini. Sebagai rakyat yang cakna dan prihatin dengan tanah air, seharusnya kita menginsafi peristiwa bersejarah ini dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk mengharungi perjalanan negara yang semakin mencabar dewasa ini.

Wallahua'lam.

Dr Azizul Salehudin
20 Januari 2019
Manjung, Perak


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Perjanjian Pangkor



16 September 1876 - Kes Pembunuhan J.W.W. Birch


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...