*Gambar pintu depan masjid makam Saidina Ali RA di Najaf, Iraq.
Peristiwa 21 Ramadan 40 H (23 April 2022)
Hari ini (23 April 2022) 1,403 tahun Hijrah yang lalu, Saidina Ali bin Abi Talib R.A. telah meninggal dunia.
Saidina Ali RA menjadi Khalifah Rashidin pada 36H menggantikan Saidina Uthman ibn Affan R.A. dalam episod panjang konflik perebutan kuasa selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. Namun beliau berdepan tentangan khususnya daripada Gabenor Syria, Mu’awiyah.
Lantas tercetuslah dua perang saudara, yakni Perang Unta & Perang Siffin, dalam tempoh yang dipanggil Fitnah Pertama, yang membawa kepada termansuhnya Khalifah Rashidin & terbentuknya Dinasti Umaiyyah oleh Mu’awiyah.
Apabila Saidina Ali R.A. bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah berhubung kuasa kepimpinan Islam selepas Perang Siffin, ada kelompok tentera beliau yang tidak setuju lalu memberontak. Mereka ini digelar Khawarij (bererti ‘mereka yang keluar’).
Mereka merumuskan bahawa kemelut berpunca daripada Saidina Ali R.A., Mu’awiyah & Gabenor Mesir, Amr ibn As & mereka bertiga mesti dibunuh untuk menamatkan segalanya. Lelaki bernama Ibn Muljam al-Murādī menawarkan diri untuk melaksanakannya.
Maka pada 19 Ramadan 40H, Ibn Muljam menetak Saidina Ali R.A. di kepala dengan sebilah pedang beracun ketika berada di Masjid Besar Kufa, Iraq untuk menunaikan solat Subuh. Dua hari kemudian, beliau menghembuskan nafas terakhirnya di usia 62/63 tahun.
Ibn Muljam berjaya ditangkap tidak lama selepas insiden serangan itu & dihukum bunuh secara Qisas oleh anak Saidina Ali R.A., Hasan R.A., sehari selepas beliau dikebumikan.
Sepertimana yang diwasiatkan, Saidina Ali R.A. mahu tempat persemadiannya dirahsiakan. Maka jenazah beliau dikebumikan di tengah malam gelap di satu lokasi yang tidak diketahui.
Pengikut fahaman Syiah umumnya percaya bahawa Saidina Ali R.A. dikebumikan di Najaf, Iraq yang lokasinya ditemukan semasa zaman pemerintahan Abbasiyah di bawah Harun al-Rashid. Namun ada juga didirikan makam peringatan di Balkh, Afghanistan.
Sumber: World History, Republika Id, Islamic Finder
#PeristiwaHariIni #AWANInews
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
03 Ramadhan 11 Hijrah : Wafatnya Fatimah Az-Zahra
https://normanhafizi.blogspot.com/2022/04/03-ramadhan-11-hijrah.html
Sayyidina Uthman bin Affan R.A.
https://normanhafizi.blogspot.com/2014/10/sayyidina-uthman-bin-affan-ra.html
No comments:
Post a Comment