Knight Grand Cross Of The Order Of St. Michael and St. George
Pada hari ini dalam tahun 1876, Queen Victoria telah menganugerahkan Bintang “Knight Grand Cross of the Order of St. Michael and St. George” kepada Sultan Johor, Sultan Abu Bakar. Istiadat penganugerahan bintang ini telah diadakan di Dewan Bandaran, Singapura. Dengan penganugerahan bintang ini, baginda merupakan Raja Melayu yang pertama dianugerahkan bintang seumpama itu.
Penganugerahan tersebut juga adalah sebagai tanda penghormatan terhadap hubungan baik dan persahabatan Baginda dengan kerajaan Inggeris.Sultan Abu Bakar menaiki takhta kerajaan Negeri Johor pada 1 Februari 1862 berikutan kemangkatan ayahanda Baginda, Temenggong Tun Ibrahim Sri Maharaja.Baginda ditabalkan dengan gelaran Datuk Temenggong Abu Bakar Sri Maharaja Johor.Gelaran Temenggong kemudiannya ditukar kepada Sultan dalam satu istiadat menandatangani perjanjian di antara kerajaan Johor dan kerajaan Inggeris di London pada 11 September 1885.
Namun begitu, gelaran tersebut hanya dimasyhurkan di Negeri Johor pada 13 Februari 1886.Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, banyak kemajuan telah dilakukan.Antaranya ialah pengisytiharan Undang-undang Tubuh Kerajaan yang merupakan undang-undang bertulis yang pertama di antara negeri-negeri Melayu.Segala pembaharuan yang diasaskan sepanjang pemerintahan Sultan Abu Bakar telah membawa Johor ke arah pemodenan.
Ini adalah sesuai dengan gelaran yang diberikan kepada Baginda sebagai “Bapa Johor Moden”. Baginda mangkat di London pada 4 Jun 1895 setelah memerintah selama 33 tahun.
Maharaja Abu Bakar
ARKIB NEGARA MALAYSIA
Pautan artikel-artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment