Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Tuesday 11 October 2022

08 OKTOBER 1887 PERJANJIAN INGGERIS DENGAN PAHANG

 

Bendahara Wan Ahmad sebagai Sultan Pahang

8 Oktober 1887 – Perjanjian Inggeris dengan Pahang telah ditandatangani oleh Sultan Pahang, Bendahara Wan Ahmad dan Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Frederick Aloysius Weld pada tahun 1887. Pahang menarik perhatian Inggeris kerana faktor ekonominya. Pihak Inggeris juga bimbang dengan kedatangan kuasa Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman ke negeri itu. Sikap murah hati Bendahara Wan Ahmad dalam memberi pajakan juga tidak menyenangkan Inggeris. Inggeris menganggap negeri Pahang telah tersalah tadbir dan perlu dinaungi.

Ke arah ini beberapa orang pegawai Inggeris telah dihantar ke Pahang untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad supaya bersetuju menandatangani satu perjanjian dengan Inggeris. Antara pegawai-pegawai yang dihantar ialah Frank Swettenham ‘kawan lama’ Bendahara Wan Ahmad. Frederick Weld sendiri telah melawat Pahang pada tahun 1886 diikuti dengan Hugh Clifford. Bagaimanapun semua percubaan untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad ini telah gagal.

Inggeris juga telah menyebelahi Wan Mansor, adik Bendahara Wan Ahmad yang menuntut hak sebagai pengganti Bendahara. Pengaruh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar yang menghantar Dato’ Menteri Johor Saiyid Mohammad Alsagof ke Pahang dikatakan telah mengubah fikiran Bendahara Wan Ahmad. Ini terbukti dengan surat yang dikirimkan oleh Bendahara kepada Gabenor Frederick Weld pada 10 April 1887, meminta supaya diadakan satu perjanjian antara kedua-dua pihak seperti ‘Perjanjian Johor’.

Bendahara Wan Ahmad memberikan beberapa syarat untuk perjanjian yang bakal ditandatangani itu. Syarat-syarat tersebut antara lain ialah hak untuk melantik dan memecat wakil Inggeris; wakil Inggeris tidak dibenarkan mencampuri urusan penduduk tempatan dan Inggeris hendaklah mengakui bahawa puteranya Tengku Mahmud sebagai pengganti beliau dan bukan adindanya Wan Mansor. Gabenor Weld telah menolak semua cadangan itu, malah Frederick Weld telah mengemukakan cadangan balas iaitu untuk meluaskan kuasa wakil Inggeris di Pahang.

Akhirnya, pada hari ini dalam tahun 1887, Perjanjian Inggeris dengan Pahang telah ditandatangani. Perjanjian ini antara lain mengiktiraf Bendahara sebagai Sultan dan Pahang menerima Hugh Clifford sebagai wakil Inggeris di negeri itu.


Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Frederick Aloysius Weld


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

01 SEPTEMBER 1868 PERJANJIAN PERSEMPADANAN PAHANG-JOHOR



14 SEPTEMBER 1903 PERKHIDMATAN HUGH CLIFFORD DITAMATKAN


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...