Port Dickson Jajahan Sungei Ujong
Daerah Port Dickson atau dahulu dikenali Tanjung atau Arang adalah di bawah penguasaan Luak Sungei Ujong sejak abad ke-12. Port Dickson sebagai sebahagian Sungei Ujong boleh dijejaki menerusi pelbagai rekod-rekod bertulis sejak abad ke-13.
Selain Nagarakartagama, Sejarah Melayu ada menyebut Sungei Ujong pernah ditadbir oleh Bendahara Melaka Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali.
Petikan Sejarah Melayu: "Adapun Sening Ujung itu dahulukala berbahagi dua dengan Bendahara; ada penghulunya."
Ketika itu, keluasan wilayah Sungei Ujong dipercayai meliputi Klang, Morib sehingga ke Tanjung Tuan (Port Dickson) lantaran kedudukan Bendahara Tun Perak yang menjadi penghulu Klang sebelumnya.
Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad pada 1880 pernah merujuk Sang Hyang Hujung (Sungei Ujong) sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuan kini, atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.
Ketuanan Luak Sungei Ujong ke atas Port Dickson diperkukuhkan menerusi pengiktirafan Lukut dan Sungai Raya sebagai kawasan pemerintahan YTM Dato' Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong menerusi Perjanjian Sempadan Sungei Ujong-Selangor pada 1880.
Sebelum itu, kedudukan daerah Port Dickson terbabit dengan pertikaian antara Sultan Abdul Samad dengan YTM Dato' Klana Petra Sendeng. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah dalam Luak Sungei Ujong tetapi diduduki orang Bugis hingga ke Sungai Linggi.
Makam YTM Dato Klana Sendeng
Sungai Linggi merupakan kawasan pemerintahan YTM Dato’ Kelana Petra Sendeng. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Dalam 1862, Dato’ Kelana Petra Sendeng menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Selangor menduduki Sungai Linggi dan Tanjung Tuan (Port Dickson) secara tidak sah.
Ekoran itu, pada 1863 Raja Abdullah sebagai wakil Selangor berunding dengan Dato’ Kelana Petra Sendeng menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut. Dalam rundingan itu, Raja Abdullah mengakui secara lisan bahawa Lukut dan Sungai Linggi adalah milik Luak Sungei Ujong.
Pada 30 Julai 1880 di Singapura, kedaulatan Lukut dalam Luak Sungei Ujong dipersetujui antara Sultan Abdul Samad, Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri, Raja Bot bin Raja Jumaat (Raja Lukut) dan Raja Daud bin Raja Hussin (Penghulu Sungai Raya).
Dalam perjanjian sama juga, dipersetujui wilayah Lukut dan Sungai Raya ditukarkan dengan jajahan Sungei Ujong iaitu Kajang, Reko, Semenyih, Beranang, Broga dan Labu (Sepang).
Justeru, sememangnya seluruh daerah Port Dickson adalah di bawah pemerintahan YTM Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong sejak dahulu kala.
Sebagai tanda ketuanannya, YTM Dato' Undang Luak Sungei Ujong mendirikan balai hinggapnya di Teluk Kemang, tidak jauh dari Tanjung Tuan. Balai hinggap ini menjadi tempat persinggahan Dato' Klana Petra Maamor semasa Tanah Melayu di bawah pendudukan Jepun pada 1942 hingga 1945.
Hal ini jelas menunjukkan keseluruhan daerah Port Dickson mempunyai rajanya iaitu YTM Dato' Klana Petra. Ketika ini, daerah Port Dickson dipertanggungjawabkan kepada Orang Besar bergelar dan berpangkat :
- YM Dato' Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu (menjaga Port Dickson dan Lukut)
- YM Dato Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir (menjaga Port Dickson)
- YM Orang Kaya Besar Dato' Muda Linggi (dato' bergajah tunggal yang menjaga Linggi)
Bagi kariah masjid-masjid di seluruh daerah Port Dickson kecuali mukim Linggi, ia diletakkan secara terus ke bawah kaus YTM Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
- Nota 1: Akibat penjajahan Portugis sejak 1511, sebahagian kecil Tanjung Tuan (rumah api dan kawasan hutan simpan) kini menjadi sebahagian negeri Melaka sebagai wilayah asingan. Namun kawasan sekeliling Tanjung Tuan adalah kekal di dalam kekuasaan Luak Sungei Ujong.
- Nota 2: Lukut termasuk kawasan Makam Diraja Selangor adalah di bawah jagaan YM Dato' Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu
- Nota 3. Kawasan Labu (Sepang) kini lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA. Tidak jauh darinya dalam sempadan Negeri Sembilan wujud Masjid Dato' Penghulu Menteri (dahulu Masjid KLIA) yang menjadi masjid adat Luak Sungei Ujong.
Artikel ini ditulis berdasarkan sumber :
- Sejarah Melayu
- D.F.A Hervey, Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society page 189-194.
- Balai YTM Dato' Undang Luak Sungei Ujong
- Portal Majlis Perbandaran Port Dickson
- Negara Kartagama: Masa Keemasan Majapahit oleh Ketut Riana, 2009
- Twitter @AshrafMhd oleh Ashraf Muhamad, 14 Disember 2018
- Perjanjian Sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujung 1880, wangsamahkota.wordpress.com, 2010
Allahumasolli Ala Saidina Muhammad..
Al-Fatihah 3X Buat YTM Dato Klana Sendeng & YTM Dato Klana Syed Abdul Rahman..
Lembaga Muzium Negeri Sembilan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Jabatan Muzium Malaysia Muzium Negara RASMI Muzium Negara RASMI Muzium Negeri Sembilan #kerajaannegerisembilan
Balai Hinggap YTM Dato Klana Maa'mor
Bahan-bahan bacaan tambahan yang perlu disemak kesahihannya bagi isu Sejarah Sungei Ujong sewaktu penjajahan Inggeris
10 Oktober 1874 – Pada tahun 1874, Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman Alkadri menaikkan bendera Inggeris dengan diiringi oleh tembakan meriam sebanyak 21 das. Upacara ringkas tetapi besar ertinya kepada penjajah Inggeris ini telah disaksikan oleh wakil Leftenan Gabenor Melaka, W.A. Pickering yang diiringi oleh sepasukan polis sepoi Melayu.
Upacara menaikkan bendera Inggeris yang menandakan bermulanya campur tangan Inggeris di Sungai Ujung secara aktif. Ini adalah ekoran dari permusuhan di antara pembesar-pembesar Sungai Ujung terutamanya Datuk Kelana dan Datuk Bandar Shahbandar Tunggal mengenai hasil mahsul negeri dan jawatan Undang.
Perjanjian Menerima Perlindungan Inggeris
Pada 21 April 1874, Datuk Kelana telah menandatangani satu perjanjian menerima perlindungan Inggeris ke atas Sungai Ujung di Singapura. Perjanjian ini telah menguatkan kedudukan Datuk Kelana. Bagaimanapun, apabila Raja Mahadi dan Raja Mahmud dari Selangor menawarkan bantuan kepada Datuk Bandar, Datuk Kelana merasakan kedudukannya tergugat.
Pada 24 September 1974, Datuk Kelana telah mengutus surat kepada Leftenan Gabenor Melaka Kapten Shaw untuk meminta bantuan.Sebaik saja menerima surat itu Kapten Shaw menghantar W.A. Pickering dengan sepasukan polis sepoi untuk membantu Datuk Kelana. Kehadiran Pickering membolehkan Datuk Kelana menaikkan bendera Inggeris pada hari ini dalam tahun 1874. Berikutan itu Kapten W.l. Tatham telah dilantik menjadi Penolong Residen dan Datuk Kelana terpaksa tunduk kepada nasihat dan arahan Inggeris.
#hariinidalamsejarah
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment