Kisah Undang Yang Empat Menentang Malayan Union
Selepas Jepun tewas dalam Perang Dunia Kedua, British kembali ke Tanah Melayu dan cuba melenyapkan kedaulatan Raja-raja Melayu. Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Britain mahu mewujudkan Malayan Union dengan menjadikan negeri-negeri Melayu daripada 'protected states' kepada 'crown colonies' atau dengan kata lain memindahkan segala kekuasaan Raja-raja Melayu kepada Raja Britain.
Wakil Kerajaan Britain, Sir Harold MacMichael dipertanggungjawabkan mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. Berdasarkan kertas kajian 'Malayan Union dan Persekutuan 1948' oleh Dr Ahmad Kamal Ariffin Bin Mohd Rus (2017), MacMichael terpaksa berhadapan dengan tentangan Dato'-dato' Undang Yang Empat. Empat Undang Luak iaitu :-
- Dato' Maamor bin Kassim (Dato' Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong) - gambar,
- Dato Shahmaruddin bin Abdul Rahman (Dato' Mendelika Menteri Akhir Zaman, Undang Luak Jelebu),
- Dato' Kamat bin Sulaiman (Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol) dan
- Dato' Haji Ipap bin Abdullah (Dato' Lela Maharaja, Undang Luak Rembau) membantah tindakan MacMichael memaksa Yam Tuan Besar Tuanku Abdul Rahman menandatangani perjanjian Malayan Union.
Malah, Dato' Kelana Putera yang sedang uzur ketika itu turut datang ke Istana Seri Menanti berjumpa dengan MacMichael bagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan MacMichael.
Manakala, Dato' Undang Jelebu pula berpendapat bahawa, "... Malayan Union merupakan suatu perkara yang sudah jadi dan sungguhpun ia ditentang, ia berkata di dalam keadaan seperti ini, tidaklah ada bezanya sama ada ia menurunkan tandatangan ataupun tidak." Dato' Johol pula merupakan seorang yang sangat tua dan boleh dikatakan tidak mengenal huruf dan nyata sekali tidak memahami betul-betul apa yang sedang berlaku.
Namun, pada 14 November 1945, Tuanku Abdul Rahman akhirnya menurunkan tandatangan setelah tunduk kepada desakan MacMichael. Tandatangan itu diturunkan selepas MacMichael mengugut untuk tidak mengiktiraf Yam Tuan Besar kerana bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Antara keempat-empat Undang tersebut, Dato' Undang Rembau dilihat paling tidak bersetuju dengan perbuatan Yam Tuan Besar menurunkan tandatangan itu. Semua Undang Luak menganggap perjanjian Malayan Union sebagai tidak sensitif dan menjejaskan maruah orang Melayu.
Namun, selepas Malayan Union ditubuhkan pada 1946, orang-orang Melayu bangkit menentangnya sehingga memaksa Kerajaan Britain membubarkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, sekali gus memulihkan kedaulatan Raja-raja dan Undang Yang Empat.
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
PERISTIWA SEJARAH BAGAIMANA ORANG-ORANG MELAYU MENYELAMATKAN RAJA MEREKA
Bacaan sepenuhnya di sini :-
No comments:
Post a Comment