Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 22 March 2022

22 Mac 1929

Hari Kelahiran Allahyarham P. Ramlee



Hari ini 93 tahun yang lalu, seniman agung, Tan Sri P. Ramlee dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang. 

Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh @ Ramli bin Puteh mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg. Jawa (kini SK P. Ramlee) sebelum ke Sekolah Francis Light kemudian di Penang Free School sehinggalah meletusnya Perang Dunia II. 

Pada 1947, beliau menjuarai pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya di mana beliau menggunakan nama P. Ramlee. Bakatnya kemudian dikesan pengarah B.S. Rajhans yang menjemputnya menyertai Malay Film Productions (MFP) sebagai penyanyi latar. 

Filem Chinta (1948) menjadi filem pertama lakonannya di samping menyumbangkan suara. Karier muziknya semakin berkembang apabila menjadi penyanyi utama orkestra Radio Malaya, juga karier lakonannya apabila mula menjadi bintang utama filem-filem MFP. 

Pada 1955, beliau mengarahkan filem pertamanya, Penarek Becha di mana beliau turut menjadi bintang utama & pencipta lagu untuk filem tersebut. Sejak itu, beliau terus melakar nama selaku pelakon, penyanyi, penulis & penggubah lagu serta pembikin filem Melayu. 

Filem ‘Anak-ku Sazali’ (1956) mengangkat P. Ramlee di mata dunia apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia ke-4 di Tokyo. Pada FFA ke-10 pula, beliau diangkat sebagai “Most Versatile Talent” menerusi filem arahannya “Ibu Mertua-ku.” 

Selepas mengarahkan 17 filem Studio Jalan Ampas, Singapura, beliau berpindah ke Studio Merdeka (kini pejabat Finas) di Kuala Lumpur pada 1964. Di situ beliau mengarahkan lagi 18 filem, bermula dengan “Sitora Harimau Jadian” & diakhiri “Laksamana Do Re Mi” (1972). 

Pada 29 Mei 1973, P. Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya di usia 44 tahun & disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, KL. Sepanjang hayatnya, beliau membintangi hampir 70 filem, mengarahkan 35 daripadanya & mencipta kira-kira 1,000 lagu. 

Di tarikh kelahirannya pada 1986, bekas kediamannya di No.22, Jalan Dedap, Setapak, KL dibuka secara rasmi sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, P. Ramlee: Erti Yang Sakti (Ahmad Sarji, 1999), Kelab Peminat P. Ramlee

#PeristiwaHariIni




HARI SENIMAN NEGARA 

Hari Seniman Negara disambut hari ini 22 Mac setiap tahun bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau P. Ramlee, dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 maka hari ini genaplah usianya 93 tahun.

Seorang seniman agung seperti P.Ramlee yang hidup dalam dua zaman sebelum dan selepas merdeka sentiasa memikirkan apakah yang dapat disumbangkan olehnya kepada masyarakat yang hidup di zamannya. Adakah masyarakat pada ketika itu memahami dan merasai apa yang cuba disampaikan oleh P. Ramlee dalam karya-karyanya atau mengambilnya sebagai satu bahan hiburan sahaja. 

Zaman di mana keadaan sosial dan budayanya masih pada tahap peralihan, seniman seperti P. Ramlee sewajarnya mendapat tempat di hati masyarakat pada ketika itu dan sedikit sebanyak P. Ramlee mampu menyelami lubuk rasa masyarakat dengan dengan suara dan persembahan lakonannya. Dalam masa yang sama P. Ramlee berjaya membina pertumbuhan kepada lapangan seni waktu itu. 

Luar biasanya seniman ini ialah kebijaksanaannya berbicara dengan masyarakat menerusi filem dan lagu-lagunya. Idea dan falsafah seninya jauh melangkaui masa dan batasan zamannya.

Hari ini masyarakat khususnya bangsa Melayu menganggap P. Ramlee sebagai peneroka dalam bidang seni untuk beberapa dekad. Kebesaran P. Ramlee adalah kerana dedikasinya dan ilmu seninya yang jujur walaupun beliau tiada kelulusan dalam bidang seni secara formal apa lagi akademi. Tetapi jenama P. Ramlee itu sudah cukup besar untuk menutup segala kekurangan yang ada pada dirinya. 

Apa yang menyedihkan bakat dan hasil ciptaannya telah diperdagangkan oleh golongan kapitalis yang hanya tahu mengaut keuntungan. Tidak dinafikan sehingga sekarang masih ramai individu yang membina keuntungan atas jenama P. Ramlee tanpa meneroka siapa sebenarnya P. Ramlee. P. Ramlee itu perlu diperhalusi terlebih dahulu pemikirannya bukan sekadar bercerita dan bernostalgia serta mengaku itu dan ini tentang P. Ramlee.

Titipan doa dan Al Fatihah buat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

HAR
22 Mac 2022

#HariSenimanNegara #SenimanAgung



SELAMAT HARI LAHIR...SENIMAN AGONG NEGARA...
TAN SRI P RAMLEE...
22 MAC 1929..



Hari Seniman Negara Dirai Setiap 22 Mac Sempena Tarikh Kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee - Muka 1


Muka 2

Hari Seniman Negara akan disambut setiap 22 Mac sempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee - Tan Sri Annuar Musa


Koleksi Luahan Para Peminat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee :-

*Pertama*


Salam  Dan Selamat Pagi Teman-teman, Saya Berkongsi 'Paparan' Dari Peminat Tegar Tan Sri P. Ramlee, Tuan Shaik Asgar. Sempena Menyambut Hari Kelahiran Tan Sri P. Ramlee Hari Ini 22 hb March 1929. P. Ramlee Tanggal 22hb March 1929, atau 93 tahun dahulu, semasa berkumandang takbir Eidul Fitri, Allah telah keluarkan sebutir mutiara untuk berada di atas muka bumi ini. Seorang manusia yang ketika itu bakal memberi nafas baru dan mewarnai dunia hiburan tanah air. Sebenarnya, Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh bukanlah insan biasa walaupun beliau manusia biasa. Darah seni yang mengalir dalam tubuhnya semenjak ketika itu bakal melakarkan suatu dunia seni Melayu yang lain dari yang lain.
 
Siapa sangka anak kelahiran Rawang Road,  (sekarang Persiaran P. Ramlee) yang sentiasa ceria, cergas dan suka berkelakar pada zaman kanak-kanaknya telah berpindah keluar dari kampongnya ketika berusia 19 tahun menuju salah sebuah kota yang terbesar di Asia untuk memulakan suatu kerjaya seni. Suatu peluang keemasan yang tiba waktu beliau sedang buat suatu persembahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah buka suatu lembaran baru untuknya. Semua diatur oleh Yang Maha Kuasa. Sekiranya peluang keemasan yang menzahirkan kehadiran seorang pengarah filem dari Singapura untuk mencari seorang bakat baru untuk Studio Jalan. Ampas tidak berlaku, Teuku Zakaria atau namanya di Pulau Pinang, Ramlee bin Puteh mungkin akan meneruskan kecenderongan dalam seni muzik dan nyanyian di pertunjukan pentas dan rumah kenduri kahwin sahaja disampun berkerjaya tetap sebagai seorang Kerani Am di syarikat perlombongan British, The Eastern Smelting Company Ltd, suatu jawatan yang dipohonnya sewaktu melangkah keluar dari alam persekolahan. Allah Maha Tahu apa yang baik untuk semua makhlukNya. 

Maka pada tahun 1948, bermulalah kerjaya seni dalam berbagai cabang, dari menolak kamera untuk merakam lakonan-lakonan para pelakon yang lebih senior darinya kapada meminjamkan suaranya untuk lagu-lagu dalam filem, sehinggalah diberi peluang berlakon pada tahun 1949 dalam filem berjodol Cinta. "The rest is history," kata orang Inggeris, yang bermaksud beliau telah mula mengarang dan menyusun sejarahnya sendiri dalam berpuluh buah filem yang beliau lakukan lakonannya dgn penuh cemerlang. Beratus buah lagu digubahnya. Walaupun tidak pernah mengikuti kursus lakonan atau cinematography, tidak kurang juga para pelakon yang kemudian yang beliau latih sehingga mereka berjaya dan ada, selepas mendapat didikan dan latihannya telah melanjutkan pengajian perfileman di luar negara.  Ramai berpendapat yang beliau itu 'a person with a brilliant mind and a show man of versatile talent.' Memang tepat kehidupannya dipadankan dalam sebuah lagu ciptaannyanya Di Mana Kan Ku Cari Ganti. Tanggal 29hb Mei 1973, mutiara yang dipinjamkan Allah untuk masyarakat Melayu khasnya dan bangsa lain amnya telah diambilNya. Sudah hampir setengah abad. Perginya tiada kembali. Tetapi wajahnya yang tiada tara manisnya tetap terpahat di hati kita. Itulah dia Almarhum Tan Sri  P. Ramlee yang kita kenal lagi sayangi yang namanya pasti hidup lagi seribu tahun.

Kredit kepada Nazran HM Rohaizad Naz


S.Mariam,Afida Es,Saadiah beserta dua kanak-kanak perempuan bergambar kenangan dengan seniman agung kesayangan malaysia Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1969.

Credit Picture by koleksi foto Bonda Afida Es

https://www.facebook.com/groups/785267792063800/permalink/1039015916688985/

*Kedua*

Tiga tahun yang lalu, saya pernah menulis kenang-kenangan tentang P. Ramlee dari kacamata saya sebagai peminatnya. Saya kongsikan di sini sebagai penyeri kepada tarikh hari ini, tarikh kelahiran P. Ramlee iaitu 22 Mac 1929.

*Ini hanyalah tulisan peribadi dan dibentuk dari kenangan. 22 Mac 1929 - 22 Mac 2019 
(update: sekarang sudah tahun 2022)

Saya peminat sejatinya. Cuma saya tidak begitu meminati filemnya ketika beliau masih kurus. Itu sahaja.


Gambar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sewaktu muda


Pada tarikh yang sama, P. Ramlee dilahirkan (22 Mac 1929). Ini di atas kertas. Mungkin ianya tidak setepat itu kerana orang dahulu biasa lewat melaporkan kelahiran anak untuk pengeluaran sijil kelahiran.

Pada hari ini, umur P.Ramlee genap 90 tahun (sekarang 93). Tuhan tidak pernah menunjukkan jalan yang lurus kepada beliau untuk bergelar Seniman Agung. Sedari mula penuh dengan rintangan dan ranjau. Namun, kesemuanya itu dilalui dengan cekal sehingga beliau layak duduk di kerusi sutradara. Sebelum itu, telah banyak beliau menimba pengalaman sebagai penolong kepada pengarah-pengarah berbangsa India lantaran mahirnya P. Ramlee berbahasa Inggeris sekaligus mudah untuknya membantu pengarah memberikan arahan kepada pelakon.

Berbekalkan itu, beliau memulakan kerjanya sebagai sutradara melalui filemnya yang pertama iaitu Penarek Becha. Oh, sungguh penuh dengan tradisi pengarah India apabila kesemuanya babak-babak emosinya sangat dipengaruhi oleh gaya filem Hindustan.

Lihatlah bagaimana Azizah mendakap Amran. Dengarlah juga bagaimana keluhan Azizah saat melahirkan rasa cintanya kepada Amran. Aduh duh duh duh, sungguh hindustan.

Namun, segalanya berubah apabila P. Ramlee bekerjasama dengan Omar Rojik dalam Semerah Padi. Entah apa yang berada di mindanya ketika itu sehingga berani sekali beliau menongkah arus dan entah apa magik yang dibacakan pada majikannya Shaw Brothers sehingga mereka sanggup melaburkan wang yang banyak sehingga Semerah Padi menjadi salah sebuah hasil kerja P. Ramlee yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Ya, P. Ramlee masih muda dalam pengalaman sinematografinya. Lalu, diambil pengaruhnya dari Rashomon arahan Akira Kurosawa yang juga menjadi kegilaan sinemanya. Lalu hasilnya diperlihatkan kepada kita melalui jurukamera bernama C. Ramachandran. Sungguh luar biasa !

Sepanjang zaman.P. Ramlee mengorak langkahnya lagi dengan mencuba-cuba genre komedi. Ya, bukan mudah mengubah gaya slapstik awal 50-an kepada sesuatu yang segar seperti Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Namun, beliau berjaya sehingga jadilah kesemua filem ini sebagai filem komedi terbaik sepanjang zaman.

Ya, beliau sendiri pernah mengaku bahawa komedi bukanlah kesukaan azali beliau. Namun, apabila dimahukan oleh majikannya, tidaklah pula beliau membuatnya sambil lewa. Kerana itu, cerita asal Bujang Lapok diberikan oleh B.H. Chua kepadanya, yang sudah pasti datangnya dari negara China. Kemudian barulah beliau berani menulis cerita komedi versinya sendiri namun dengan gandingan penulis skrip yang jauh lebih berpengalaman iaitu S. Sudarmadji. Maka lahirlah nama Madji Lee dalam Pendekar Bujang Lapok. Manakala Rohailee adalah gandingan HM Rohaizad dan P. Ramlee dalam Seniman Bujang Lapok. Sementara Ali Baba Bujang Lapok didasarkan dari kisah Ali Baba & 40 Orang Penyamun. Itulah filem parodi Melayu pertama dihasilkan. Tak ubah seperti Scary Movie.

Setelah berhempas pulas di Singapura namun dikecewakan, beliau memilih untuk membawa diri ke Kuala Lumpur dengan harapan Kuala Lumpur memberikan sinar baharu kepadanya. Namun begitu, Kuala Lumpur tidak begitu. Bahkan, P. Ramlee berasa ditipu apabila segala janji-janji manis bermadu yang ditawarkan kepadanya ketika masih di Singapura hanyalah palsu. (juga diceritakan perkara yang sama oleh arwah Salleh Ghani di dalam bukunya)

Maka, itulah yang kita saksikan di mana daya kreatifnya dikekang oleh teknologi perfileman yang tidak bagus. Dijanjikan filem berwarna, namun sehingga kontraknya tamat langsung tidak berbibit ceritanya. Dijanjikan 'cinemascope', namun ianya tidak segah seperti yang dijanjikan.

Maka kecewalah P.Ramlee sehingga ke penghujungnya, langsung terhasil lagu Air Mata Di Kuala Lumpur. Meski dinyanyikan Saloma, namun itu merupakan suara hatinya. Ya, ada ceritera tentang P. Ramlee melarat dan merempat di Kuala Lumpur. Namun, ianya dinafikan sekeras-kerasnya oleh sahabat karibnya iaitu Ahmad Nawab.

P.Ramlee ada rumah, kereta dan tidak pernah kering hatinya untuk bersedekah. Itu bukan resam orang melarat.

Kelemahan P. Ramlee yang diakui adalah beliau tidak suka ke klinik atau hospital meskipun beliau pernah menjadi 'doktor' di dalam Dr. Rushdi. Ditambah pula dengan beberapa kegemaran kulinarinya yang tidak begitu menyihatkan serta menghisap rokok akhirnya memakan dirinya apabila beliau tewas dengan serangan jantung dan rebah di rumahnya.

Begitu impiannya tidak tercapai ingin melihat industri perfileman tanah air sama gah seperti di China, India dan Hollywood. Namun, beliau telah meninggalkan jalan yang tergantung untuk diteruskan legasinya. 

Maka, takkanlah filem sampah yang hendak kita hasilkan sekiranya kita ini peminat P. Ramlee ?

Wallahua'lam...

Kredit kepada : Akmal Alif


--------------------------------------------------------------


*Ketiga*

Saya hadir suatu persembahan "P Ramlee The Musical" yang di mana watak utamanya sebagai P Ramlee di mainkan oleh Musly Ramly, yang mana wajah dan suaranya mirip Allahyarham Tan Sri.

Tempat duduk saya betul-betul belakang barisan yang di khaskan kepada artis-artis veteran yang berkait rapat dengan P Ramlee, seperti Aziz Satar, Normadiah (kalau saya tidak silap) dan lain-lain. Lima enam orang juga mereka semuanya.

Selesai persembahan, apabila kami semua bangun untuk beredar, saya perhatikan mereka semua menitis airmata, mengesat mata dan pipi. Saya dengar seorang dari mereka berkata, "Merasa juga sekejap balik ke Studio Ampas, macamkan arwah hidup lagi sesama kita."

Saya pun turut kesat airmata.

Kredit kepada Saiful Bahari Baharom



Sumber gambar daripada Repair Gambar Lama di Facebook

Berikutan ulangtahun pemergian Allahyarham T.S. P. Ramlee pada hari ini, saya ulangi suatu cerita berkaitan dengan Seniman Agung itu yang saya cungkil dari sebuah rencana di televisyen mengenai kisah hidup Tan Sri.

Di hujung-hujung hayat beliau, Tan Sri P Ramlee akan ke Angkasapuri, menghantar isterinya (Puan Sri) Saloma untuk Puan Sri merakamkan pertunjukkan mingguannya, "The Saloma Show" (kalau tidak silap saya tajuknya).

Suatu malam, keluarlah Ketua Pengarah (atau Pengarah) RTM ketika itu, di halaunya P Ramlee sambil berkata P Ramlee sudah tidak laku.

Episod itu mencetuskan perasaan kemurungan kepada P Ramlee.

Komen saya ialah : Jangan ingat kamu tu setakat Pengarah Jabatan sudah cukup tinggi sangat - Bakat adalah lebih berharga dari pangkat.

Sekarang siapa tidak kenal P. RAMLEE, dari kanak-kanak yang celik mata P. Ramlee sudah lama tiada, anak-anak remaja sehinggalah kami yang tua, berbilang bangsa.

Siapa ingat nama Pengarah ini? Hari ini kisah Pengarah di ingati pun sebab berkait dengan P. Ramlee.

Saya cukup meluat dengan orang kecik lagak besar - little Napoleons, yang selalunya apabila berjumpa dengan orang yang lebih besar darinya terhegeh-hegeh cium tangan VIP tersebut. Nak muntah di buatnya.

(Bayangkan, semasa saya pegawai PM, saya pernah berjumpa dengan Ketua Jabatan yang punya eksyen, di bandingkan kontranya dengan YAB Perdana Menteri yang tidak pernah angkuh mahupun meninggikan suara. Lebih sudu dari kuah).

Kredit kepada Saiful Bahari Baharom

https://www.facebook.com/1053139405/posts/10223504723020216/ 

Seniman-Pengarah P. Ramlee & Jins Shamsudin.Kedua-duanya sedang bertugas di studio merdeka, Kuala Lumpur (1969)

https://www.facebook.com/groups/785267792063800/permalink/1039168413340402/


P. Ramlee bersama Rahayu Effendi, Seniwati dari Indonesia.

https://www.facebook.com/100063900032400/posts/358803089593023/

---------------------------------------------------------------------------------------

*Keempat*

APA SAYA NAMPAK

Media Malaysia 

1.  Terlalu Highlight  Fokus Pada Kemiskinan P. Ramlee. Makan Dengan Telur Kicap?

2.  Post Tentang Kesusahan P Ramle

3.  Pastu Hasad Dengki Mendengki. Iri Hati

Saya Lahir  1994. Tapi Saya Tak pandang Semua itu.  Sebab Bagi Saya Adalah ia Macam Buang Masa No Point. 

Lagenda Dilayan Hanya Citer Mcm tu Sahaja? nossen

# Apa Saya Nampak Tentang P Ramlee Adalah: Suka Pada Dia

1.  Cara Dia Bercakap.  Tone Suara Slow Je.. Kita Rasa Tenang  Best Mendengar.  Boleh Menerima Suara.  Good Nice Suara.  Lembut

2.  Bila Menyanyi Pulak  Mesti Alunan Suara Banyak Aaaaaaaaaa Mmmmmmmmm  Panjang ~ Menghayal kn  Siapa Mendengar 

3. Eye Contact P Ramlee Sungguh Power.  Siapa  Tenung Mata Dia.  Confirm Cair 😍 

4.  Kening Perfect Tajam

5. Body language. Jalan Berjalan.  Cara Duduk.   Ada Gaya

6. Cara Dia Bercakap Penuh Art. Mengapa?  Di Mana?  Oh! Mengapa. 

7. Suka Memakai Kain Pelikat.  

8. Indentiti Passion Banyak  Fokus kemelayuan.  Banyak Naik Nilai Kemelayuan

9. Buat Kerja Dengan Ikhlas.  Sebab itu Idea Keluar  Macam Macam 

10.  Perhati Gigi Senyuman P Ramlee.  Sumpah Manis! 

11. Yang Paling Pelik. P Ramlee Buat Lagu  Dan Filem  Kita  Tak Pernah Bosan!   Cucu Cicit. Bertahan 

12.  Jalan Cerita  Mesti Ada Pengajaran.  Bukan Filem  Kosong 

Banyak Lagi Sebenarnya nak Citer.  

Setiap Angle.  Setiap Sudut.  Saya Perhati P Ramlee 

Ini Sebab Mengapa Saya Suka P Ramlee.  TerimaKasih P. Ramlee Kerana Mencorak Kehidupan Melayu Melalui Filem 

Al Fatihah

Kredit Kepada Ashriq Ashriq Fariqni

https://www.facebook.com/groups/785267792063800/permalink/1038688236721753/

---------------------------------------------------

Pada pandangan saya secara peribadi :-

Masa hidupnya dihina oleh manusia. Akan tetapi apabila meninggalnya Allahyarham P. Ramlee, darjat dia telah pun diangkat tinggi dari Allah s.w.t. Allah telah muliakan dia selepas sahaja dia meninggal dunia. Al-Fatihah dibaca untuknya. Aamiin.

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

29 Mei 1973 Pemergian Allahyarham P. Ramlee buat selamanya

https://normanhafizi.blogspot.com/2020/05/29-mei-1973.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...