Tempat Solat Nabi Muhammad S.A.W. DALAM KAABAH
Dikhabarkan alas putih diletakkan di tempat khas di lantai Kaabah bagi menandakan tempat solat Nabi ketika Baginda pertama kali memasuki Kaabah..Pemimpin besar Arab Saudi kebiasaannya solat disitu jika mereka memasuki Kaabah.
“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia”
- Surah Ali-Imran 3:96
Kaabah adalah tempat di atas dunia ini yang tidak akan surut dilawati manusia yang sentiasa hidup dengan ibadah dari dulu hingga sekarang pada bila² masa sahaja.
9 Fakta Tentang Kaabah
1. Kaabah Yang Asal Mempunyai 2 Pintu Dan 1 Tingkap
Kaabah pada binaan yang asalnya mempunyai 2 pintu. Satu pintu masuk dan satu lagi pintu keluar. Namun binaan baru Kaabah hanya mempunyai satu pintu sahaja dan tidak mempunyai tingkap.
2. Kaabah Pernah Dibina Semula Beberapa Kali
Kaabah pernah runtuh dan dibina semula beberapa kali disebabkan bencana alam seperti banjir dan juga akibat serangan.
Mengikut pendapat pakar sejarah dan para pengkaji, Kaabah pernah dibina semula antara 5 hingga 12 kali.
Dikatakan bahawa Kaabah pertama kali dibina ketika zaman Nabi Adam a.s, sebagai pusat pertama ibadah manusia kepada Allah. Kemudian ia dibina semula oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. pada zaman mereka. Pengubahsuaian terakhir dilakukan pada tahun 1996 menggunakan teknologi terkini.
3. Kaabah Pada Asalnya Bukan Berbentuk Segi Empat
Kaabah pada asalnya bukan berbentuk petak persegi seperti yang kita lihat sekarang. Bahagian Kaabah yang asal termasuklah bahagian melengkung di luarnya yang dipanggil ‘Hijr Ismail’.
Oleh sebab itu, tidak sah jika bertawaf di dalam Hijr kerana ia juga termasuk sebagai binaan Kaabah dan jika para jemaah ingin bersolat, mereka juga boleh bersolat dalam kawasan Hijr.
4. Kunci Pintu Kaabah Dipegang Oleh Satu Keturunan Sahaja
Hanya satu keturunan sahaja yang dipertanggungjawabkan memegang kunci pintu Kaabah iaitu Keturunan Bani Shaiba.
Rasulullah S.A.W. pernah menyuruh Osman bin Talha agar memegang kunci Kaabah dan Osman ketika itu berjanji bahawa kunci Kaabah hanya akan dipegang oleh keturunannya hingga hari kiamat.
5. Kiswah Kaabah Berwarna Hitam, Hijau, Merah Dan Putih
Warna kiswah atau penutup Kaabah bukan hanya berwarna hitam seperti sekarang.
Kiswah pertama dibuat dari kain tenunan Yaman berwarna merah dan berjalur². Manakala pada masa Khalifah Ma’mun ar-Rasyid, kiswah dibuat dengan warna putih.
Ketika zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah pula, kiswah pernah dibuat berwarna hijau dan ada masanya berwarna kuning. Ia bergantung kepada kehendak pemerintah pada setiap zaman tersebut.
Namun akhirnya Khalifah al-Mamun dari Dinasti Abbasiyah telah memutuskan bahawa kiswah Kaabah ditetapkan berwarna hitam, dan ia akhirnya kekal hingga sekarang.
6. Hajar Al-Aswad Berasal Dari Syurga
Menurut penceritaan sejarah dan juga riwayat-riwayat, Hajarul Aswad datang dari syurga dan warna asalnya adalah putih berkilauan tetapi ia telah bertukar hitam dipercayai kerana dosa² yang dilakukan oleh manusia.
Menurut riwayat daripada Sa’id bin Jubair r.a, daripada Ibnu Abbas, daripada Ubay bin Ka’ab r.a, menerangkan bahawa Hajarul Aswad telah dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia.
7. Apa Yang Ada Di Dalam Kaabah
Di dalam Kaabah terdapat tiga tiang dan pada dindingnya dicatatkan nama² tokoh yang pernah membangunkan Kaabah.
Jika anda perasan, terdapat bongkah di antara tiang. Itu adalah tempat disimpan campuran wangi²an yang berbagai jenis yang akan digunakan setiap kali membersihkan Kaabah.
Pada lantai Kaabah terdapat bahagian berwarna putih yang dipercayai tempat Nabi S.A.W. solat setiap kali masuk ke dalam Kaabah.
Terdapat juga pintu lain di dalam Kaabah iaitu pintu yang membolehkan para petugas naik ke bahagian bumbung untuk kerja² pembersihan.
Bumbung pula dibina daripada kayu yang sangat utuh kemudian dilapisi dengan perak asli.
Bahagian dinding atasnya juga terdapat kain kiswah berwarna hijau serta gantungan wangi²an.
8. Lingkaran Perak Dibuat Agar Hajarul Aswad Lebih Utuh
Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki, seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang memasang lingkaran perak di sekeliling Hajarul Aswad, setelah terjadi kebakaran pada Kaabah.
Pemasangan lingkaran perak seterusnya juga pernah dibuat pada tahun 189 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Harun ar-Rasyid.
Beliau memerintahkan seorang pengukir perak terkenal ketika itu yang bernama Ibnu at-Tahnan, untuk menyempurnakan pemasangan lingkaran perak dan menjadikannya lebih berkilat. Pemasangan lingkaran perak juga berlaku beberapa kali selepas itu ketika zaman Khalifah Uthmaniyyah.
9. Malaikat Juga Bertawaf Seperti Umat Islam Bertawaf Di Kaabah
Al-Azraqi meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain, beliau berkata bahawa Allah S.W.T. berfirman kepada malaikat :
“Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi.”
Kemudian para malaikat bertanya :
“Adakah Tuhan kami hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?” Kisah ini juga ada tercatat di dalam Al-Quran ketika Allah ingin menciptakan Nabi Adam a.s.
Kita semua tahu apa jawapan Allah selepas itu iaitu Allah mengatakan bahawa Dia lebih tahu berbanding para malaikat. Malaikat kemudian takut dimurkai oleh Allah lalu mereka bertawaf di sekeliling Arasy untuk memohon ampun kepadaNya.
Diceritakan bahawa Allah menjadikan sebuah rumah iaitu Bait Al-Ma’mur di mana para malaikat diarahkan bertawaf di situ dan bukan lagi di Arasy.
Allah juga mengutuskan para malaikat supaya membina Baitullah di bumi supaya manusia dapat bertawaf juga di bumi sebagaimana para malaikat bertawaf di Bait Al-Ma’mur.
Semoga dengan mengetahui 9 fakta ini, kita akan dapat lebih menghayati tempat suci Kaabah apabila kita menunaikan ibadah umrah dan haji kelak.In shaa Allah..Aamiin
Sumber : Pages FB Kembara Sahabat Haramain
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
"KAABAH ADA DUA PINTU ?"
https://normanhafizi.blogspot.com/2020/11/kaabah-ada-dua-pintu.html
No comments:
Post a Comment